Make your own free website on Tripod.com
Akimbo: Kung Fu Hero

Permainan arked 2D seperti Pitfall, Mario Brothers, Super Mario Brothers, Donkey Kong Country, Duke Nukem, Abuse dan Jazz Jackrabbit 2 telah menempa sejarahnya tersendiri dalam industri permainan. Namun begitu tidak semuanya dihasilkan dalam versi baru dan menawarkan sebuah permainan yang bernafas baru. Permainan Akimbo: Kung-Fu Hero telah memilih platform ini dengan menawarkan kombinasi larian, loncatan, pertarungan dan teka-teki mudah, segalanya memberikan inovasi baru kepada permainan arked seperti ini.

Akimbo mengisahkan seorang hero Kung-Fu yang menikmati kehidupan yang aman di sebuah tempat dan kemudian beliau telah dipanggil untuk ke Turtle Island untuk menewaskan naga jahat bernama Fang. Penduduk pulau itu telah dikuasai oleh Fang kecuali 20 orang alim yang telah lari bersembuyi. Tugas Akimbo ialah untuk melalui enam bahagian pulau itu dan mengumpulkan sebuah mentera magis untuk menewaskan Fang dan kembali ke Turtle Island.

Akimbo akab berhadapan dengan ramai penduduk yang telah menjadi hamba kepada Fang dan menewaskan mereka dengan kemahiran Kung-Fu yang dimilikinya. Namun begitu Akimbo hanya mempunyai tiga nyawa untuk digunakan sepanjang perjalanan dan ia tidak boleh menerima lebih daripada satu pukulan daripada musuhnya. Untuk mengelakkan ini Akimbo boleh meloncat dan lari daripada berhadapan dengan musuh-musuhnya. Akimbo juga mempunyai stamina yang terhad dan ia akan kehausan tenaga setelah melakukan aksi Kung-Fu. Untuk mendapatkan semula tenaganya Akimbo boleh memakan makanan yang terdapat sepanjang perjalanan seperti epal, pisang dan ceri.

Akimbo juga boleh mendapatkan kuasa tambahan dengan mendapatkan beberapa penambah tenaga (powerups) yang terdapat di sekitar pulau itu di mana ia disorokkan dalam peti-peti besi. Ini termasuklah senjata seperti pedang katana, bahan letupan dan bintang. Akimbo juga boleh mengutip emas bagi mendapatkan nyawa tambahan. Selain itu Akimbo juga boleh mendapatkan bantuan daripada binatang-binatang untuk melalui halangan. Contohnya Akimbo boleh mendapatkan bantuan seekor kura-kura untuk melintasi sebuah ranjau berduri.

Turtle Island dibahagikan kepada enam bahagian di mana setiap satunya mempunyai lima segmen. Enam bahagian utama itu ialah Caribbean Capers, Spooky Caverns, Living Forest, Lost Ruins, Nightmare Scare dan Misty Mountains. Setiap bahagian mempunyai kesan bunyi, muzik, musuh, halangan dan ruang rahsia tersendiri. Dalam setiap segmen anda akan dibantu oleh seorang orang alim bagi memberikan panduan dan mentera untuk menewaskan Fang. Namun begitu Akimbo akan dihalang oleh musuh-musuh utama seperti Rhino Rabies, Caliban Rock, Bone Templar dan Donjon Shard.

Akimbo juga akan berhadapan dengan lanskap pulau yang merbahaya seperti lubang besar dan lurah yang dalam. Adakalanya Akimbo hendaklah menggunakan meriam untuk melontarkan dirinya ke sebelah sana. Ada juga Akimbo dikehendaki memanjat tali yang terbakar di samping platform bergerak dan ruang berjalan yang berliku.

Akimbo memberikan rupa watak yang menarik dan mengabungkan watak 3D di samping latarbelakang 2D yang menarik. Visual yang dipaparkan memberikan sebuah elemen aksi dan seram apabila berhadapan dengan musuh-musuh utama dan juga Fang.

Ulasan

Akimbo: Kung-Fu Hero memberikan sebuah permainan yang menghiburkan terutamanya untuk glongan muda. Ia juga memberikan sebuah permainan yang sesuai untuk merehatkan minda. Dengan kombinasi grafik menarik, jalan cerita yang baik dan tiada aksi ganas, maka Akimbo merupakan sebuah permainan yang menarik.

Stats
Spesifikasi sistem (minima) : Pentium 166, 32MB RAM, Win 9x dan papan kekunci atau pad permainan.
Positif : Mudah dimainkan. Jalan cerita menarik. Grafik yang baik. Kepermainan yang memuaskan.
Negatif : Terlalu mudah.