Mengenal AMD Athlon

Pada 10hb Ogos 1999 lalu, Athlon atau yang juga pernah dikenali sebagai AMD K7 telah dilancarkan oleh syarikat AMD. Secara tidak langsungnya AMD Athlon ini telah berjaya memecah rekod kelajuan PC dengan kelajuan 650MHz di mana Pentium III hanya mampu mencapai 600MHz. Malah pelbagai pihak seperti editor majalah komputer dan laman-laman Web perkakasan komputer, mengatakan bahawa Athlon ini adalah CPU yang terbaik ketika ini dengan menggunakan rekabentuk mikro yang termaju serta membolehkan platform x86 paling berkuasa digunakan secara langsung.

Dengan ujian "benchmark" yang dijalankan oleh beberapa pihak yang termasuk orang ramai, Athlon telah berjaya menghasilkan sebuah keputusan yang luar jangkaan dengan keupayaan untuk menewaskan Pentium III 550Mhz atau Pentium III Xeon. Secara amnya Athlon dirumuskan mempunyai keupayaan titik apungan (floating point), keupayaan integer dan keupayaan multimedia 3D yang tertinggi berbanding dengan Pentium III. Berikut adalah sebahagian daripada sessi soaljawab AMD dengan pihak media.

MAJALAH PC : Bagaimanakah Athlon boleh didapati oleh orang ramai?

AMD: Athlon akan dikeluarkan dalam bentuk komputer atas meja tahap tinggi (high-end). Ia tidak boleh pergi lebih jauh lagi daripada itu.

MAJALAH PC : Berapa jauhkah kelajuan K6-3 boleh dicapai dan akan ia akan dihentikan pengeluarannya setelah Athlon dikeluarkan.

AMD: Tiada perancangan untuk menghentikan K6-III bila Athlon diperkenalkan. Kedua-duanya penting dan mempunyai peranan masing-masing dari segi harga dan keupayaan. Dalam satu jangkamasa tertentu K6-III akan dihentikan dan Athlon akan ambil alih. Pada tahun 2000 kami masih mensasarkan lebih sejuta unit K6-2/III dijual.

MAJALAH PC : Berapakah harga Athlon?

AMD: Pada mulanya terdapat pelbagai spekulasi tentang harganya, ada yang mengatakan harganya akan mencapai US$2,000, tetapi itu tidak benar. Anda hendaklah melihat komputer yang akan dihasilkan dengan Athlon adalah komputer tahap tinggi dan harganya pasti seperti yang dijangkakan. Untuk harga industri (kuantiti 1000), Athlon 650MHz (US$849), 600MHz (US$615), 550MHz (US$449) dan 500MHz (US$249).

MAJALAH PC : Sehingga kini kelajuan cache L2 masih tidak dapat diketahui? Adakah ia 1.3 daripada kelajuan asas CPU?

AMD: Kelajuan L2 itu tidak dapat kami nyatakan. Yang boleh kami katakan ialah platformnya berskala dan menawarkan sebuah keupayaan yang sesuai untuk pasaran tertentu. Dengan memberikan variasi kepada cache L2 ini bermakna ia akan menawarkan kuasa yang berbeza.

MAJALAH PC : Dengan pemproses Intel manakah Athlon disesuaikan dari segi harga dan keupayaan?

AMD: Dari segi keupayaan, ia merupakan generasi ketujuh CPU x86. Berbanding dengan Intel ia agak susah hendak diperkatakan. Athlon sepatutnya tidak bersaing dengan Pentium III. Jika anda perhatikan bahawa K6-III adalah setara dengan PIII. Ini bermakna K6-III melawan PIII dan K6-2 berlawan dengan Celeron.

MAJALAH PC : Kini Intel sudah kembali kepada pembinaan "socket" CPU untuk mengurangkan kos kerana cache L2 sudah diintegrasikan. Adakah AMD juga menuju ke arah itu?

AMD: Setahun yang lalu tiada sebarang inisiatif ke araf platform soket kerana ia tidak mampu menyaingi Slot A. Kini Intel telah memulakan semula pembinaan soket maka ini mengiyakan apa yang kami percaya selama ini iaitu keupayaan tinggi harga dan keupayaan. Platform Super7 masih merupakan sebuah soket yang baik dan kami mahu mengeluarkan jutaan CPU soket ini ketika menuju ke alaf baru.

MAJALAH PC : Apakah kelajuan asas bas Athlon?

AMD: Ia akan melebihi 500MHz dan mempunyai sistem bas 200Mhz. Kini Athlon dikeluarkan dalam 650, 600, 550 dan 500Mhz. Athlon 650MHz adalah pemproses x86 yang terpantas di dunia ketika ini.

MAJALAH PC : Adakah memori akan berfungsi secara serentak (asynchronously) daripada 200MHz kelajuan bas? Adakah ia mampu menggunakan ram "PC100"?

AMD: Tiada sebarang maklumat khas akan diberikan tentang memori yang disokong Athlon. Semua komputer yang digunakan untuk ujian Athlon menggunakan PC100 RAM. Tiada sebarang masalah. Dengan itu jawapannya ialah ya!

MAJALAH PC : Adakah AMD melihat bahawa rekabentuk 64-bit adalah suatu rekabentuk komputer di masa hadapan?

AMD: Jawapan kami ialah ya. Kira-kira 10 tahun lalu ramai pengguna inginkan sebuah komputer dengan cakera keras 6GB dan 128MB RAM. Setelah ia berjaya dicapai kini mereka inginkan yang lebih daripada itu. Adalah sifat semulajadi industri komputer untuk melakukan inovasi dan bergerak dengan pantas, oleh itu membawa kuasa superkomputer ke dalam komputer biasa adalah salah satu cara yang betul. Dengan itu pengguna boleh memainkan Quake III dengan lancar tanpa sebarang masalah. Bilakah ini akan berlaku, semuanya bergantung kepada kehendak semasa dan ia mungkin melebihi 64-bit.