Make your own free website on Tripod.com

Cara membina animasi komputer

Tentu anda pernah tertanya-tanya bagaimana perisian-perisian multimedia dan filem-filem animasi komputer seperti Toy Story, Dragon Heart atau Casper dihasilkan.  Sebenarnya ianya tidaklah sesusah mana, langkah-langkah di bawah menerangkan bagaimana ianya dilakukan. Selain daripada itu anda juga memerlukan komputer grafik berkuasa tinggi seperti dari Silicon Graphics Inc atau Intergraph, perisian-perisian animasi komputer seperti dari Alis|Wavefront, Lightwave dan 3D Studio Max dan yang paling penting sekali ialah imaginasi dan kreativiti yang banyak!

Langkah Pertama : Penyiapkan Lakaran Cerita (Storyboards)
 
Ia merupakan sebuah lakaran seperti sebuah siri kartun atau buku komik yang mengambarkan jalan cerita dan adegan-adegan yang hendak dimuatkan dalam satu-satu filem atau persembahan multimedia. Sesebuah filem animasi itu memerlukan lebih daripada 1,000 lakaran storyboard contohnya filem animasi A Bug's Life memerlukan lebih 4,000 storyboard dan Toy Story pula 3,800 storyboard. Storyboard ini juga digunakan untuk mengambarkan setiap aksi yang diperlukan dan sebagai rujukan semasa proses pembangunan animasi. 

Langkah Kedua : Membina Model (Modeling)
Semasa proses modelling ini sebuah perisian atau lebih akan digunakan untuk membentuk sebuah model atau jasad 2 dimensi (2D) atau 3 dimensi (3D) untuk setiap watak yang terdapat dalam filem tersebut. Jika animasi itu 3D maka sebuah model 3D perlu dibina manakala jika ia sebuah watak 2D maka sebuah model 2D diperlukan. Antara perisian yang digunakan dalam proses ini adalah 3D Studio Max dan LightWave. Kedua-dua perisian ini digunakan dalam pembikinan filem-filem popular seperti Lost in Space dan Titanic. Tetapi dalam pembikinan sebuah filem animasi komputer sepenuhnya seperti A Bug's Life dan Toy Story, perisian yang lebih canggih perlu digunakan contohnya Marionette yang dibina khas oleh syarikat animasi Pixar untuk membina watak, set dan props. Perisian-perisian ini  juga mempunyai kebolehan untuk menghasilkan pergerakan dan ekspresi muka watak yang dibina. 

Langkah Ketiga : Animasi
 
Setelah segala model-model siap dibina, model-model itu akan dimasukkan pula ke dalam sebuah perisian animasi yang membolehkan para penganimator menghasilkan pergerakan dalam setiap bingkai paparan (frame scene) atau pose. Secara automatik komputer akan membentukkan segala pergerakan daripada bingkai pertama kepada bingkai pergerakan terakhir dalam sesebuah pose itu. Kemudian penganimator akan mengubahsuai pergerakan yang telah dihasilkan itu mengikut apa yang dikehendaki oleh  pengarah filem animasi itu. Terdapat satu lagi teknik animasi di mana penganimator akan merakamkan segala pergerakan dengan mengerakkan angota-angota model sedikit demi sedikit. 

Langkah Keempat : Shading
Setelah proses animasi selesai dilakukan, maka proses shading hendaklah dilakukan ke atas setiap watak dan objek-objek lain seperti  bangunan, pokok, pemandangan dan lain-lain lagi yang perlu diletakkan di belakang setiap adegan. Objek-objek yang tidak bergerak dalam paparan selalunya dipanggil props.  Setiap objek prop ini walaupun tidak bergerak dengan banyak, masih perlu mempunyai warna dan  tekstur yang sesuai dengan objek itu dan persekitarannya. Dengan proses ini ciri-ciri permukaan seperti tekstur, warna dan aksi ditambah kepada setiap objek dalam paparan itu. Aturcara yang digunakan dipanggil "shaders" atau pembayang di mana ia menghasilkan ciri-ciri yang sesuai untuk setiap objek seperti papan, besi, kain, gelas, rambut dan kulit. Jika suasana paparan itu memerlukan sesuatu yang berlainan daripada biasa seperti hujan atau air maka objek-objek tersebut akan dimodelkan dan ditambah kepada paparan tersebut. 

Kelima : Pencahayaan (Lighting)
 
Sama juga seperti dalam pembikinan filem biasa, pencahayaan (lighting) juga memainkan peranan penting dalam sesebuah filem animasi komputer. Dengan menggunakan cahaya digital, setiap paparan akan disuaikan dengan suasana dan keadaan sekeliling adegan tersebut.  Samaada adegan tersebut berlaku di dalam bilik atau di luar, pencahayaannya akan disesuaikan. Pencahayaan digital ini boleh dilakukan oleh perisian pembina model tersebut atau dengan menggunakan perisian-perisian yang khusus untuk melakukannya seperti Lightscape dan lain-lain lagi. 

Langkah Keenam : Rendering
Ini adalah proses terakhir yang perlu dilakukan bagi menghasilkan sebuah animasi komputer. Dalam  proses ini segala model, bayangan, animasi dan pencahayaan akan dicampurkan serentak seperti yang telah dirancangkan pada mulanya di storyboard dalam satu proses yang dipanggil "render". Setelah melalui proses render ini,   video animasi tersebut akan kelihatan hidup dan realistik. Apabila disambungkan segala klip-klip video animasi, ditambahkan bayangan pergerakan (motion blur) untuk menunjukkan pergerakan yang pantas, dialog, bunyi-bunyian lain dan muziknya maka lengkaplah pembikinan sebuah animasi komputer itu. Setiap bingkai (frame) paparan sebenarnya memerlukan masa sehingga 20 jam untuk mengubahnya daripada lakaran asal di storyboard hinggalah kepada paparan video yang menakjubkan. Akhir sekali selepas klip video yang telah siap itu akan disimpankan kepada storan berkapasiti tinggi seperti CD-R dan tape sebelum di pindahkan pula kepada format video VHS atau filem jika perlu.