B-17 Flying Fortress : The Mighty 8th

Apabila mengimbas kembali peperangan dunia kedua (WWII), tentu ada yang membayangkan bertapa
sengitnya pertempuran di antara pihak bersekutu dan berikat pada ketika itu. Malah, pejuang dari pihak-
pihak tersebut telah berusaha bermati-matian untuk menewaskan lawan masing-masing. Apa pun, peristiwa
itu telah menjadi sejarah yang sukar dilupakan dan hanya dihidupkan kembali di layar perak atau kaca TV.

WWII bukan sahaja menarik minat pengarah atau penerbit filem, malah peristiwa pahit itu turut menjadi
tema pilihan dalam beberapa permainan (games). Salah satu daripadanya berjudul B-17 Flying Fortress:
The Mighty 8th, yang merupakan permainan simulasi penerbangan dengan tema WWII. Permainan hasil
kreativiti MicroProse ini cuba menghidangkan kepada pemain bagaimana simulasi peperangan di udara.

Pengarangnya menampilkan pesawat pengebom model terdahulu, sebagai mesin utama untuk digandingkan
dengan kebijaksanaan pemain sebagai juruterbangnya. Pesawat ini memainkan peranan penting dalam
pasukan U.S Army Air Force (USAAF) 8th Air Force semasa WWII, maka pemain boleh berbangga jika
mera dapat mengendalikannya dengan cekap seperti menembak, memandu, menjadi krew, dan sebagainya.

Tidak seperti permainan lain, Mighty 8th memberi lebih pergerakan di dalamnya. Peluang seperti ini boleh
menarik minat pemain kerana tumpuan mereka tidak hanya kepada penerbangan atau perlindugan pesawat
daripada serangan musuh. Pesawat ini boleh dikendalikan secara automatik sepenuhnya dari menghidupkan
enjin yang merumitkan, berlepas dan berlegar di ruang udara sehinggalah kembali semula ke pengkalan.

Kebebasan bergerak juga berguna semasa pemain berlatih dalam permainan ini. Misalnya mereka boleh
beralih ke dalam mana-mana pesawat sepasukan yang mungkin mengiringi pesawat pengebom mereka.
Dalam keadaan tertentu, pemain juga boleh bergantung kepada 'kepintaran buatan' permainan ini misalnya
ketika mengawal penerbangan, pengeboman, pertahanan, pengawasan ruang udara dan mengesan musuh.

Bagi pengemar permainan simulasi penerbangan yang bertemakan peperangan di udara, mereka berpeluang
menghayati beberapa misi bersejarah yang terdapat di dalamnya. Pada masa yang sama pemain juga perlu
mengurus sebuah squadron dengan 12 pesawat, atau memantau sekumpulan pengebom yang mereka ketuai.
Ini bermakna pemain tidak terikat dengan aksi-aksi tertentu, sekaligus mengelak kebosanan masa bermain.

Sekiranya pemain berada pada tahap kumpulan pengebom, mereka bertanggungjawab untuk menentukan
sasaran, merancang misi, memilih bekalan, memeriksa pesawat pengebom, dan memilih krew untuk setiap
pesawat. Semuanya ini adalah mengikui parameter yang ditentukan di dalam pasukan 8th Air Force yang
sebenar. Selain itu, terdapat rakaman imej bagi sesuatu misi yang boleh ditayang dalam bilik operasinya.

Nilai estetika permainan ini cuba ditampilkan dalam setiap bahagian. Misalnya terdapat bahagian pesawat
yang rosak, kotoran minyak pada cermin, pemadangan teres yang kelihatan realistik, kesan asap yang
realistik, dan letupan berkuasa yang disusuli dengan kesan bunyi yang cukup kuat. Kemusnahan akibat
pertempuran juga diperlihatkan dengan baik, samada pada pesawat yang digunakan atau di persekitarannya.

Di bahagian dalam pesawat B-17 misalnya, kedudukan peralatan panel kawalan kelihatan agak terperinci
dan tersusun dengan baik, seperti mana di dalam kokpit pesawat sebenarnya. Bagaimanapun, kelemahan
seperti gangguan grafik semasa permainan tetap ada walaupun hanya sekali-sekala. Untuk menguasai
permainan ini, boleh dikatakan mengambil masa, tambahan pula bahagian tutorialnya agak mengecewakan.

Pendek kata, B-17 Flying Fortress : The Mighty 8th boleh dijadikan satu lagi koleksi untuk mereka yang
meminati kategori simulasi penerbangan bertemakan peperangan. Seperti mana permainan yang lain dalam
kategori ini, peranan aktif pemain masih diperlukan untuk mengendalikan pesawat yang disediakan. Cuma,
judul ini cuba menampilkan beberapa perubahan seperti memberikan lebih kebebasan kepada pemainnya.

Sesetengah pengguna mungkin tidak tertarik dengan permainan ini kerana keluk pembelajarannya yang
sukar. Selain itu, ia tiada menyediakan fungsi berbilang pemain untuk diketengahkan. Walaupun Mighty
8th dirasakan tidak lengkap sepenuhnya, namun ia cuba menampilkan beberapa perubahan yang menarik.

Kelebihan : Grafik yang menarik, peluang menerbangkan pelbagai pesawat, persekitaran yang kelihatan realistik dengan kesan-kesan khas.
Kelemahan : Tiada fungsi berbilang pemain, tutorial mengecewakan, seidkit gangguan grafik, keluk
pembelajaran yang sukar.
Keperluan minima : Pentium II-300, 128MB RAM, 700MB ruang cakera, kad pemecut video 3D dengan 8MB VRAM, 8X CD-ROM
Penilaian : 8/10