Make your own free website on Tripod.com

Reviu kad bunyi

Berikut adalah reviu beberapa kad bunyi yang bagus dan harganya berpatutan. Kad bunyi hanya akan mengeluarkan bunyi jika sepasang pembesar suara disambungkan kepadanya. Jika pembesar suara itu berkualiti tinggi maka kualiti bunyi yang dihasilkan oleh kad bunyi akan dapat dirasai dengan lebih jelas.
 
Aztech Labs PCI 338-A3D
http://www.aztechlabs.com

Aztech PCI 338-A3D (Aztech338) adalah salah sebuah kad bunyi yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar peranti yang ternama iaitu Aztech. Kali ini dengan Aztech338 ia telah berjaya mengeluarkan sebuah kad bunyi yang mampu mengeluarkan kesan bunyi yang realistik, kualiti muzik yang baik dan menggunakan 64 sintesis "wavetable".

Dengan ciri posisi Audio 3D ia akan memberikan sebuah pendekatan bunyi dari semua arah. Ia menggunakan Aureal A3D Interactive yang sering digunakan untuk permainan komputer aksi 3D. Ia juga mampu mengalirkan lebih daripada 300 MIPS untuk pemprosesan bunyi dan ini secara tidak langsung membebaskan CPU untuk menjalankan tugas pemproses grafik. Selain daripada itu ia juga mencepatkan Microsoft DirectSound dan DirectSound3D yang membenarkan pengaliran fail .WAV dan campuran digital untuk meningkatkan ciri audio dan lebih kuasa.
 
Creative Labs Sound Blaster Live
http://www.soundblaster.com

Creative Labs dan produk Sound Blaster adalah merupakan piawaian utama yang sering menjadi perbandingan buat pengeluar kad bunyi lain. Pakej Sound Blaster Live merupakan salah sebuah kad bunyi yang terbaik pernah dihasilkan oleh Creative Labs. Dengan kad bunyi ini anda boleh melakukan pembangunan multimedia, produksi muzik tahap tinggi dan rakaman serta penyuntingan 24-bit pada kelajuan 96kHz. Ia juga menyokong pelbagai pembesar suara dan bunyi DVD.

Kualiti bunyi yang dihasilkan oleh kad ini adalah bagus dan ia mempunyai nisbah isyarat kepada kebisingan sebanyak 115-decibel. Dengan menggunakan dua pembesar suara dan dua pembesar suara digital dan sebuah subwoofer, ia pasti akan menghasilkan bunyi yang jelas dan kuat. Ia juga menyokong sehingga lapan pembesar suara digital dan menyokong Dolby Digital 5.1.

Kad ini menggunakan pemproses isyarat digital EMU10K1 yang mampu memproses pada 1000MIPS sehingga Sound Blaster Live boleh mengeluarkan lebih 256 suara yang berlainan. Tambahan daripada itu sebuah ciri tambahan yang terdapat pada kad bunyi ini ialah Special Edition Environmental Audio (EAX) iaitu sebuah kesan bunyi 3D yang mengabungkan perisian dan perkakasan. Selain daripada itu prisian yang disertakan dengan kad bunyi ini adalah Cakewalk Express Gold, Sonic Foundry's Sound Forge XP 4.0 dan beberapa aplet Creative Labs.
 
Diamond Multimedia Sonic Impact S90
http://www.diamondmm.com

Syarikat Diamond Multimedia ini terkenal dengan pengeluaran kad grafik yang baik tetapi kini mencuba pula untuk mengeluarkan kad bunyi yang berkesan. Antara ciri-ciri yang terdapat pada S90 adalah kesan audio A3D, mudah palam dan guna, posisi audio 3D dengan Aureal Interactive A3D, pencepat audio Aureal Vortex, sokongan interaktif A3D sehingga 60 orang, pencepat Accelerates DirectSound dan DirectSound 3D serta pencepat aliran 48 fail audio berkualiti tinggi.

S90 dengan teknologi Aureal A3D akan membolehkan anda mendapatkan kesan bunyi yang baik. Dengan itu ia akan memberikan sebuah pengalaman kepermainan 3D yang menyeluruh dan keberkesanan yang tinggi. Kad ini juga menggunakan Aureal A3D berasaskan teknologi HRTF (Head Related Transfer Functions) yang direka oleh NASA untuk menghasilkan kualiti dan persembahan yang unik.
 
Yamaha WaveForce 192XG
http://www.yamaha.com

"Membawa satu dimensi baru untuk PC", begitulah yang diperkatakan oleh para peminat permainan komputer tentang kad bunyi Yamaha WaveForce 192XG. Dengan menggunakan teknologi bas PCI super laju, pensintesis Yamaha XG dan teknologi posisi 3D, maka kad ini dikatakan sebuah kad terbaik. Ia mampu mensintesis sehingga 192 nota lagu dalam sebuah "wavetable" (polyphony) dan pensintesis WaveForce pula mampu menghasilkan 676 bunyi peralatan muzik dan 21 bunyi dram.

Teknologi Yamaha XG adalah berasaskan kepada format asas MIDI Am (General MIDI) yang memberikan keupayaan untuk menyunting suara, kesan bunyi dan ekspresi muzik. Ia juga mempunyai ciri akustik yang digelar Yamaha Sondius Virtual Acoustic (S-VA) dengan menggunakan peralatan yang dikenali sebagai Sondius-XG yang mampu menjalankan 256 suara mono dan penggunaan peralatan muzik yang canggih.

Oleh kerana Yamaha memang terkenal dengan pengeluaran peralatan muzik seperti piano dan keyboard maka reputasi kad bunyi ini juga adalah tinggi. Dengan keserasian Sound Blaster pada kad ini maka sebarang komputer boleh menggunakannya tanpa sebarang masalah. Kad ini juga mempunyai port untuk kayu bedik (joystick) dan sambungan untuk pembesar suara tambahan.
 
Pilihan MPC 

Creative Labs Sound Blaster Live 

Tiada siapa yang boleh mengenepikan keupayaan Creative Labs dan Sound Blaster dalam penghasilan kad bunyi yang baik. Walaupun ia disaing rapat oleh Yamaha WaveForce 192XG dan Diamond Multimedia Sonic Impact S90, Blaster Live masih mempunyai kelebihan yang ketara.