Make your own free website on Tripod.com
BeOS Release 4 : Perhebatkan Lagi Persaingan OS

Pada awal tahun lalu versi BeOS Resease 4.0 (R4) yang dibangunkan untuk Intel telah pun
dilancarkan dan merupakan salah sebuah sistem operasi (OS) bagi pengoptimaan media yang turut
memberi sokongan tambahan kepada perkakasan, antaramuka, kepenggunaan dan meningkatkan
kecekapan serta keseluruhan aplikasi komputer.

Be Inc yang bertanggungjawab sebagai  pembangun serta pengeluar perisian ini telah berusaha untuk
menyediakan lebih keupayaan pengkomputeran yang sebelum ini hanya boleh dilakukan pada sistem
berkuasa tinggi. Maklamat tersebut akhirnya tercapai apabila Be telah berjaya membuktikan keupayaan
perkomputeran yang tinggi juga boleh dilaksanakan pada sistem komputer yang rendah keupayaannya.

Sehubungan itu versi terbaru BeOS ini telah diuji pada sistem komputer Dual Pentium II/300 yang
turut disokong dengan memori 128MB dan sebuah cakera keras 6GB yang telah dipasangkan dengan
sistem operasi Windows 98. Manakala penggunaan perisian PartitionMagic di dalamnya juga telah
berjaya untuk memasangkan BeOS bersama-sama dengan Windows dalam cakera keras yang sama.

Pemasangan BeOS ke dalam cakera keras akan dipermudahkan lagi jika anda menggunakan disket boot
yang disediakan. Selain tempoh pemasangannya yang agak singkat, ia juga berkemampuan untuk
mengesan segala perkakasan yang terpasang dan di penghujung proses pemasangannya, pengguna akan
diberi pilihan samada untuk memasangkan pengurus boot kepunyaan BeOS ataupun Windows.
 
Rupa BeOS Setelah pembahagi Windows dan BeOS dipasangkan, rekod boot utama bagi Windows akan disimpan dan digantikan dengan pemuat (loader) boot daripada BeOS. Berdasarkan kepada ujian yang pernah dilakukan terhadapnya telah menunjukkan bahawa keseluruhan proses tersebut hanya akan memakan masa kurang daripada 15 minit di mana bahagian Windows masih boleh digunakan dengan sempurna.

Ciri lain yang tidak kurang menariknya di dalam R4 ialah pada keseluruhan antaramuka penggunanya yang telah dipertingkatkan dan ia memang direkacipta untuk meningkatkan keupayaan versi BeOS yang sebelumnya. Di samping itu terdapat juga beberapa ruang kerja tambahan yang telah meningkat bilangannya kepada 32 daripada sembilan sahaja sebelum ini.

Para pengguna juga boleh menjalankan BeOS pada resolusi yang berasingan begitu juga dengan
penentuan tahap warna bagi imej latarbelakang ‘bitmap’ miliknya. Pada masa yang sama pengguna
Windows juga boleh menggunakan kekunci pintasannya seperti Alt, Ctrl dan Twitcher (Task Switcher)
yang mana sama fungsinya seperti kekunci pintasan Alt+Tab pada sistem Windows.

Versi terbaru BeOS ini turut dilengkapi dengan beberapa aplikasi baru dan panel rujukan, misalnya
Systemwide Translators yang memberi keupayaan kepada setiap aplikasi untuk membaca dan menulis
format bagi data asing. Manakala panel terbarunya iaitu Devices memiliki persamaan dengan Device
Manager pada Windows yang memaparkan sumber semua peranti yang telah dipasang pada komputer.

Pengguna juga boleh mengkonfigurasi beberapa kayu bedik yang popular menerusi panel pusat yang
disediakan selain membuat beberapa ketetapan pada sistem bunyi komputer mereka. Sebuah panel
audio terbaru turut melengkapi R4 ini yang berfungsi mengawal semua aspek pengaliran audio samada
masuk ataupun keluar. Untuk keterangan lanjut kunjungilah laman Web miliknya di www.be.com.