PTS Personal CBT

CBT (Computer Based Training) atau latihan berasaskan komputer adalah salah satu cara untuk melatih pengguna tanpa memerlukan pengawasan daripada pengajar. Dengan CBT juga pengguna dapat berinteraksi dengan perisian dan mendapatkan latihan secara “hands on” dengan lebih baik. Cara latihan ini juga menjimatkan masa, tenaga dan wang serta dapat dilakukan menurut pengguna kehendak dan keupayaan pengguna.

Kini anda boleh mendapatkan perisian bernama Personal CBT yang meliputi latihan perisian Microsoft Office 97. Dalam perisian terdapat latihan untuk enam jenis perisian iaitu Windows 95, Word 97, Excel 97, Access 97, Outlook 97 dan Powerpoint 97. Kesemua kerja kursus (courseware) yang disediakan dalam perisian ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pengenalan (intro) dan “advanced”. CD ini mempunyai 246 pelajaran yang meliputi lebih daripada pada 1742 topik.

Klik untuk imej yang lebih besar

Antaramuka

Anda tidak perlu melakukan sebarang pemasangan ketika hendak menggunakan perisian ini kerana ia menggunakan ciri “autorun”. Pada skrin permulaan anda akan dapat lihat Install, Run Personal CBT dan Information. Jika anda klik Install ia akan memasang sebahagian kecil daripada perisian itu supaya sistem pengoperasian dapat mengenali perisian itu.

Seterusnya jika anda klik pada Run Personal CBT dan sebuah tetingkap yang menyenaraikan latihan perisian yang terdapat di dalamnya seperti Windows 95, Word 97, Excel 97, Access 97, Outlook 97 dan Powerpoint 97.

Untuk menjalani CBT anda hendaklah memilih mana-mana perisian yang anda mahu dan klik bebutang CBT yang terletak di bahagian bawah kiri. Kemudian sebuah tetingkap akan muncul dan ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu matapelajaran (lessons) di sebelah kiri dan topik di kanan skrin itu. Pada bahagian atas skrin anda akan dapat lihat jenis aktiviti dan nama matapelajaran yang hendak diikuti. Seterusnya anda perlu klik pada sebarang topik dan kemudian pada Go To Selection untuk memaparkan topik tersebut.

Pada tetingkap topik ia akan memaparkan tajuk topik pada bahagian atas dan bebutang seperti Previous Topic untuk pergi ke topik sebelumnya, Next Topic untuk pergi ke topik selepas ini, Quiz untuk menguji anda mengenai matapelajaran yang sedang diikuti, Replay untuk mengulang semula matapelajaran yang diikuti, Demo untuk memaparkan animasi mengenai matapelajaran yang sedang diikuti dan Teacher untuk memberikan panduan langkah demi langkah kepada pengguna.

Semua topik yang dimuatkan dalam Personal CBT ini telah disusun dengan terperinci dan semuanya mempunyai perkaitan antara satu sama lain. Namun begitu anda tidak boleh meloncat secara terus daripada satu mata ke satu topik yang lain kerana anda perlu keluar dahulu daripada topik itu sebelum pergi ke topik yang lain.

Memberikan pembelajaran interaktif, pilihan latihan daripada berasaskan pengajar, pembelajaran masa nyata dan keupayaan untuk mengulangkaji pada bila-bila masa.

On-Demand 3.0

Dalam perisian ini terdapat sebuah sistem pertolongan perisian yang dinamakan On-Demand 3.0. Dengan perisian ini anda boleh mendapatkan pertolongan secara langsung daripada perisian jika anda menghadapi sebarang masalah ketika menggunakan perisian itu. On Demand mempunyai ciri-ciri seperti berikut iaitu antaramuka pengguna, carian kata kunci, glosari dan maklumat tambahan yang diambil daripada topik-topik dalam Personal CBT.

Ulasan

Secara amnya Personal CBT adalah perisian yang baik dan meliputi segala topik dalam Office 97 dengan terperinci. Dengan antaramuka yang mudah dicapai serta penjelasan yang ringkas, perisian ini adalah sesuai untuk pengguna daripada semua peringkat umur. Walaupun ia tidak mempunyai carian khusus untuk topik dan matapelajaran tetapi cara ia menyusun topik menurut kemahiran pengguna adalah menarik. Bagi anda yang mahu memahirkan diri dengan Windows 95 dan Office 97, dapatkanlah perisian ini.

Kehendak sistem minima untuk Personal CBT ialah komputer 486SX, 16MB RAM, Microsoft Windows v3.1, Windows 95, Windows NT v3.51 atau Windows NT v4.0, paparan 640x480 atau yang lebih tinggi, tetikus, kad bunyi dan pemacu CD-ROM 8x.

Perisian ini dihasilkan oleh PTS Learning Systems iaitu salah satu pelopor dalam penghasilan perisian latihan IT. Perisian lain yang dihasilkan oleh PTS meliputi pengurusan program latihan, pembinaan kerja kursus dan latihan teknikal bertauliah daripada Microsoft dan Lotus. Di Malaysia perisian ini diedar oleh Performance Learning Systems Sdn. Bhd. dan syarikat ini boleh dihubungi menerusi talian Tel : 603-2018122 Faks : 603-2018119.