Make your own free website on Tripod.com
Teknologi Penghantaran Data

Dunia Internet terus mengalami perkembangan dari segi pembangunan aplikasi, peningkatan pengguna dan pembangunan teknologi penghantaran telekomunikasi. Dengan jumlah bilangan pengguna yang telah melebihi 1.5 juta orang di Malaysia, maka permintaan kepada keperluan lebar jalur (bandwidth) yang pantas dan besar amat diperlukan. Sementelahan pula kandungan World Wide Web terkini banyak mengandungi elemen multimedia.

Sama ada kita sedar atau tidak, masyarakat Malaysia telah dan sedang menerima teknologi Internet seadanya. Dengan nilai-nilai dan kandungan yang baik yang disediakan, saya percaya bahawa Internet akan membawa perubahan besar kepada kehidupan kita. Justru, kali ini ruangan ini berbesar hati membawa dua perkembangan penting yang telah berlaku di negara Malaysia. Sudah tentu, pastinya perkembangan tersebut berkaitan dengan teknologi pembawa kandungan (carrier) Internet.

Teknologi Pengedaran Pelbagai Saluran (MMDS)

Dengan kebolehan membawa maklumat 35 hingga 100 kali lebih pantas berbanding dengan sistem berwayar yang ada sekarang, teknologi pengedaran pelbagai saluran atau sistem Multi-Point Multi Distribution (MMDS) merupakan saluran penghantaran data berkelajuan tinggi yang menjanjikan banyak kebaikan. Sistem MMDS mempunyai kebolehan menghantar sebanyak 15 klip video secara langsung pada kelajuan pantas serentak. Perkara ini dimungkinkan dengan adanya jalur luas (broadband) yang pantas.

Bagaimana pengguna Internet mendapat manfaat? MMDS adalah teknologi tanpa wayar yang lebih murah berbanding dengan talian telefon yang ada sekarang. Penggunaan yang paling ketara ialah bagi pendidikan di sekolah-sekolah di Malaysia. Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, semasa hadir di satu sesi pertunjukan sistem MMDS di Kuala Lumpur sedikit masa dahulu, "Teknologi tanpa wayar adalah sesuai dalam pesekitaran Sekolah Bestari kerana ia membenarkan sidang video secara langsung di antara para pelajar dan pensyarah pada banyak tempat yang berbeza, termasuk kawasan pendalaman."

Jika dilihat kepada penggunaan talian telefon yang sedia ada di sekolah-sekolah, secara sedar kita harus mengakui bahawa talian tersebut sudah kurang mampu menampung peningkatan mendadak maklumat dan data untuk dihantar pada kelajuan tinggi. Kajian penggunaan teknologi MMDS ini telah berjaya ditunjukkan di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jerman, Belgium, Sweden, Denmark, Kanada, Brazil dan Jepun. Antara ciri yang menarik ialah MMDS tidak perlukan prasarana wayar tembaga yang mahal.

Melalui penggunaan MMDS ini, pelajar boleh berinteraksi dengan guru secara langsung menerusi Internet. Pastinya mereka boleh bertukar nota kuliah dan terlibat dalam sesi interaktif yang membolehkan semua orang dalam rangkaian mendengar atau mengambil bahagian dalam perbincangan.

Kebanyakan teknologi MMDS menggunakan kaedah pancaran digital. MMDS beroperasi pada spektrum frekuensi antara 2.5 GigaHertz hingga 2.68 GigaHertz dengan kuasa antara 2 hingga 100 watt. Kelebihannya? Ia mempunyai frekuensi lebih tinggi dari frekuensi penghantaran isyarat televisyen. Jadi di sinilah terletaknya jalur lebar yang tinggi tersebut. Di samping itu, MMDS turut menawarkan beberapa kelebihan lain seperti penyelerakan pantas (fast deployment ), capaian lebih baik terutamanya di kawasan pendalaman yang tiada talian komunikasi, kos prasarana lebih murah, dan pastinya penghantaran data/maklumat yang pantas. Selain capaian Internet, teknologi ini juga membenarkan lain-lain perkhidmatan seperti CATV, rangkaian setempat/rangkaian kawasan metropolitan tanpa wayar, penyiaran data (datacasting), sidang video, telefon Internet, panyaluran video dan audio, VPN (Rangkaian Persendirian Maya) dan pembelajaran jarak jauh.

Teknologi berinovasi ini telah dipelopori oleh Cable View Services Sdn. Bhd. (Mega TV), Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dan MIMOS Berhad. Dengan adanya teknologi MMDS sekolah di seluruh negara mendapat faedah besar daripadanya kerana selagi isyarat boleh diterima, kandungan aplikasi program Sekolah Bestari dapat disampaikan dengan berkesan.

Prasarana Tulang Belakang Internet Terpantas

Perkembangan yang mendapat perhatian ramai pihak dalam komuniti Internet, khususnya organisasi ialah perletakan dan siapnya prasarana tulang belakang terpantas di dunia di Malaysia. SuperJARING yang mempunyai kepantasan membawa kandungan pada kadar 2.5 Gigabit sesaat (Gbps), sesungguhnya menyediakan negara Malaysia bersedia menerima ekonomi digital yang disebut-sebut akan menerajui alaf depan.

Kita selalu mendengar kepantasan modem dengan 56 Kilobit sesaat (Kbps), talian rangkaian digital perkhidmatan bersepadu (ISDN) pada kelajuan 56Kbps hingga 128Kbps dan ADSL sepantas 1.5 Megabit sesaat (Mbps) sehingga 6.2Mbps. Kepantasan 56Kbps membawa maksud dapat memindahkan data pada kelajuan 56,000 bit sesaat. Manakala kepantasan 6.2Mbps dapat memindahkan data sebanyak 6.2 juta bit dalam masa satu saat. Kelajuan Gigabit merujuk kebolehan membawa data pada kelajuan 1 bilion bit sesaat. Dengan kepantasan 2.5Gbps, SuperJARING boleh memindahkan data pada kelajuan 2.5 bilion bit dalam masa satu saat.

SuperJARING merupakan rangkaian gentian menerusi IP (Internet Protocol) yang merentasi Semenanjung Malaysia, bermula dari Pulau Pinang (Bayan Baru), Kuala Lumpur (Bukit Jalil) dan berakhir di Johor Bahru sepanjang lebih dari 700 km. Rangkaian terpantas di dunia ini menggunakan sambungan prasarana tulang belakang OC-48 yang boleh menampung lebih 175,000 pengguna dail bagi menerima dan menghantar fail pada satu masa.

SuperJARING menggunakan teknologi rangkaian IP yang sedang hangat dibincangkan. Antara yang penting ialah SuperJARING berkeupayaan menyediakan perkhidmatan generasi mendatang seperti telefon Internet, rangkaian persendirian maya IP atau Internet Protocol Virtual Private Network (IP VPN), video dalam permintaan (video-on-demand), pembelajaran jarak jauh dan teleperubatan. Para peniaga dan pengguna umum akan beroleh manfaat daripada pemasangan SuperJARING tersebut. Buat permulaan SuperJARING mempunyai tiga GigaPops (Point of Presence) yang telah beroperasi di tempat yang disebutkan.

Menurut Dr. Mohamed Awang Lah, Naib Presiden Pembangunan Teknologi MIMOS Berhad, "Teknologi maklumat (IT) dan secara khususnya Internet akan menjadi penggerak Malaysia. Pihak kerajaan telah mengenal pasti IT sebagai salah satu elemen utama untuk kejayaan masa depan. Peranan kami ialah untuk membangunkan prasarana yang akan menjadi asas kepada perkembangan tersebut. Dengan siapnya SuperJARING, kami telah menghampiri matlamat tersebut."