X-COM Enforcer

Permainan XCOM yang pertama ialah X-COM: UFO Defense dan ia merupakan sebuah permainan strategi yang baik. Seterusnya dua perisian susulan telah dikeluarkan di mana satu daripadanya berjaya dan yang satu lagi pula gagal.

XCOM adalah singkatan kepada "eXtraterrestrial COMbat unit" telah dihidupkan semula dalam variasi tema yang baru iaitu permainan aksi 3D tembak-menembak. Ini merupakan satu keputusan yang mengecewakan para peminat XCOM kerana asalnya XCOM adalah sebuah permainan strategi.

Dunia X-COM bermula dengan penerangan mengenai kejadian UFO di Roswell dan pelbagai kejadian penculikan oleh makhluk asing semakin kerap berlaku. Akhirnya sebuah organisasi telah dibentuk untuk memerangi makhluk asing ini.

X-COM Enforcer terus dijejaki daripada salah sebuah peperangan yang sedang berlaku dan segalanya bermula daripada aktiviti seorang professor. Professor ini telah membina robot-robot daripada teknologi makhluk asing yang diperolehi di Roswell dan menugaskan robot-robot ini untuk memerangi makhluk-makhluk asing. Hasilnya ialah sekumpulan askar yang dikenali sebagai X-COM.

Plot dalam permainan ini merupakan salah satu bahagian yang terdapat dalam permainan strategi asal tetapi ia dibentangkan dalam bentuk permainan video. Jika anda pernah bermain MDK2, anda akan dapati X-COM Enforcer mempunyai persamaan di mana ia diselitkan dengan humor dan banyak aksi tembak-menembak. Namun begitu X-COM Enforcer ini tidaklah sehebat Serious Sam (Bioware).

Secara amnya, X-COM Enforcer tidak memberikan kepermainan yang mencabar tetapi agak mengecewakan. Namun begitu bagi individu yang mahukan aksi dan kepermainan yang menyeronokkan, X-COM Enforcer mampu memberikannya. Anda perlu tahu bahawa objektif utama X-COM Enforcer ialah hapuskan musuh dan menyelamatkan orang ramai.

Terdapat 30 tahap permainan dalam X-COM Enforcer yang mempunyai peta dan lokasi yang berbeza iaitu daripada pejabat moden hinggalah kawasan industri yang canggih. Jika anda merasakan diri anda tidak mahir, anda boleh berlatih dalam beberapa misi dan setiap satunya berlangsung selama tiga minit. Setelah anda memahirkan diri anda boleh memulakan misi anda dengan tenang.

Kebaikan X-COM Enforcer ialah ia penuh dengan aksi walaupun tidak sehebat Serious Sam. Adakalanya terlalu banyak musuh yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan saiz, datang menyerang anda. Dengan itu anda perlulah mempertahankan diri dan membunuh musuh anda sebelum anda pula ditumbangkan. Pemilihan senjata juga agak menarik dan ia berkuasa untuk membunuh musuh dalam jumlah yang besar.

Namun begitu anda hanya boleh membawa sebuah senjata sahaja pada satu masa, dengan itu anda haruslah berhati-hati memilih senjata. Tetapi setelah anda melalui beberapa tahap anda akan mengetahui bahawa semua senjata yang anda pilih pasti mempunyai kuasa pemusnah yang serupa. Manakala semua musuh boleh dibunuh dengan sebarang senjata dan tiada di antara mereka yang kebal terhadap sesuatu senjata.

Sebuah lagi elemen dalam X-COM Enforcer ialah makmal pembangunan dan penyelidikan (R&D) yang anda lawati di antara setiap misi. Setiap kejayaan yang anda dapati dalam setiap misi akan dikreditkan kepada anda dan anda boleh menggunakannya untuk membeli senjata baru atau mendapatkan kuasa tambahan. Setiap nilai tambahan yang dibeli boleh digunakan secara langsung dan hasilnya adalah jumlah kemusnahan yang lebih besar. Setiap senjata baru dan teknologi yang anda temui dalam X-COM Enforcer adalah merupakan elemen yang menarik.

Secara visualnya setiap tahap dalam X-COM Enforcer adalah sederhana. Ia menggunakan enjin perisian Unreal Tournament dan ini memberikan grafik dan antaramuka yang agak dikenali. Setiap tahap dipersembahkan dalam bentuk yang berwarna-warni dan sesuai dengan ton warna permainan. Manakala kesan letupan dan pembunuhan adalah menarik untuk dilihat. Namun begitu audio dalam X-COM Enforcer adalah lemah tetapi ia boleh ditingkatkan dengan sistem audio yang baik.

X-COM Enforcer juga mempunyai dua mod pelbagai pemain iaitu "deathmatch" dan "cooperative". Ia mempunyai sebuah senarai pelayan yang boleh anda sambung kepada dan bermain dengan pemain lain. Mod "cooperative" adalah sebuah penambahan yang menarik kepada X-COM Enforcer dan ia memberikan peluang kepada anda bergabung dengan rakan anda untuk memusnahkan musuh.

X-COM Enforcer merupakan sebuah permainan tidak lengkap dan dibina separuh siap. Watak-watak lain selain daripada anda dan musuh anda adalah tidak beranimasi dan tidak bergerak. Adalah lebih menarik jika keadaan kelam-kabut yang dipaparkan lebih hidup dan beraksi.

X-COM Enforcer bukanlah sebuah permainan bagi pemain yang serius dan yang telah mahir. X-COM Enforcer merupakan sebuah permainan yang sesuai untuk mereka yang ingin relaks dan bersantai.

Spesifikasi yang dicadangkan ialah Pentium III 500MHz, 128MB RAM dan sekurang-kurangnya 500MB ruang cakera keras. Sistem komputer yang mempunyai sistem audio yang baik adalah lebih baik.
Pro : Penuh aksi. Banyak senjata. Banyak musuh.
Kontra : Tidak mendalam. Grafik lemah. Audio lemah
.
Peratusan : 55%