Final Fantasy 8
Oleh Cloud

Nama "Final Fantasy", merupakan sebuah nama yang dipilih secara spontan oleh sekumpulan pembangun perisian permainan ketika cuba untuk mendapatkan sebuah nama yang sesuai dan menarik. Sejak itu permainan ini telah terjual lebih 10 juta keping di mana Final Fantasy 7 telah terjual hampir enam juta keping. Kini Final Fantasy sudah mencapai siri yang ke lapan dan siri yang ke sembilan akan muncul pada akhir tahun ini.

Dalam setiap siri Final Fantasy terdapat sebuah cerita latar belakang dan kepermainan yang terperinci serta menarik. Malah ia mempunyai sebuah jalan cerita yang baik dan ia membentangkan sebuah epik fantasi yang tidak terhad. Setiap permainan membentangkan sebuah kisah tentang sekumpulan pengembara yang berani mati di mana mereka akan menentang musuh dan menyelamatkan dunia. Perbezaan dalam Final Fantasy 8 berbanding dengan Final Fantasy sebelumnya ialah terdapat sebuah kisah percintaan dan di samping itu bertugas untuk menyelamatkan dunia.

Kisah cinta

Watak utama dalam Final Fantasy 8 ialah Squall, sebuah watak hero yang biasa dan kacak. Ia merupakan watak yang hampir serupa dengan Cloud dalam Final Fantasy 7 di mana Cloud suka berlagak sombong, manakala Squall pula berwatak dingin dan bersendiri. Dalam Final Fantasy 8, Squall akan cuba mengenali dirinya di samping cuba menyintai Rinoa iaitu watak kedua dalam Final Fantasy 8. Watak ketiga dalam permainan ini pula ialah Seifer, sebuah watak yang berkarisma dan merupakan pesaing Squall.

Setiap watak telah berjaya dibangunkan dengan baik oleh pembina permainan ini dan ini termasuklah beberapa watak dalam kumpulan pengembara tersebut. Selain itu terdapat juga watak-watak jahat dan watak-watak berdimensi dalam setiap personaliti yang muncul. Hampir kesemua watak dalam Final Fantasy 8 adalah watak remaja dan ia merupakan sasaran permainan ini. Dengan berwatak remaja maka cara pergerakan, dialog dan aksi mereka juga dinamik dan muda.

Jalan cerita Final Fantasy 8 hampir sama dengan Final Fantasy 7 iaitu penuh dengan klise dan konflik dalaman. Perbezaan yang terdapat dalam Final Fantasy 8 adalah lebih menarik, terutamanya watak Squall yang sering berada di dalam dunia mimpinya yang di mana beliau akan membawa watak Laguna dan melalui beberapa kisah tersendiri. Malangnya saya sendiri tertanya-tanya siapakah Laguna dan apakah tujuan kemunculan watak itu.

Mari kita berbalik kepada Final Fantasy 8. Semasa melalui senario dalam Final Fantasy 8 anda akan dapat merasakan yang jalan ceritanya akan meleret dan berbelit. Malah anda pasti tidak akan dapat meramalkan apa yang bakal terjadi seterusnya. Watak musuh dalam setiap siri Final Fantasy adalah yang terbaik pernah saya lihat. Contohnya watak Kefka dalam Final Fantasy 6 dan Sephiroth dalam Final Fantasy 7 merupakan watak musuh jahat yang terbaik. Malangnya tiada watak jahat yang dapat menandingi mereka berdua dalam permainan Final Fantasy 8 ini.

Pilihan

Dalam setiap watak terdapat keupayaan magik, sumpahan, berlawan dan ciri-ciri tersendiri watak, yang boleh diubahsuai menurut kehendak pemain. Kombinasi segalanya memberikan sesuatu watak itu sebuah keupayaan yang baik dan membolehkan anda tahu apakah kekuatan watak-watak masing-masing. Namun begitu pengemaskinian watak ini akan menjadi sebuah proses yang membosankan bagi pemain baru.

Ketika berhadapan dengan musuh, anda boleh menggunakan keupayaan-keupayaan yang ada pada watak untuk melakukan pertahanan atau menyerang musuh. Dengan menggunakan pelbagai jenis magik dan sumpahan anda akan meningkatan statistik watak anda dan seterusnya mendapat penambahan keupayaan lain yang lebih berkuasa. Kini dalam Final Fantasy 8, anda perlu membunuh musuh yang tahu atau ada keupayaan tertentu supaya anda boleh mendapatkan keupayaan tersebut dan menggunakannya.

Dengan adanya ciri pilihan tersebut, anda boleh mencapai keupayaan magik yang lebih berkuasa. Contohnya keupayaan Full-Life, memberikan sejumlah kusa yang tinggi serta mata yang banyak, kemudian anda boleh mendapatkan keupayaan yang lain seperti sumpahan Haste yang memberikan keupayan kepantasan. Dalam masa yang sama anda juga boleh mendapatkan sumpahan Sleep dan Fire ketika berhadapan dengan musuh. Malah dengan cara pilihan ini anda boleh melakukan ujikaji dan membina kombinasi yang menarik.

Siri Final Fantasy sering memuatkan beberapa siri permainan kecil (mini-games) bagi memberikan sedikit daya tarikan kepada permainan. Dalam Final Fantasy 8 terdapat "mini-games" yang menarik. Pertama, Triple Triad, iaitu sebuah permainan kad yang menyerupai Dominoes dan Magic: The Gathering. Anda akan diberi sejumlah kecil kad dan anda boleh mengumpulkannya dengan mengalahkan pemain lain. anda akan berhadapan dengan pelbagai jenis musuh dan tiada sebarang syarat ketat dalam Triple Triad. Permainan kedua ialah Chocobo World, sebuah permainan yang bakal menguji kecekapan anda.

Grafik dalam Final Fantasy 8 adalah bercampur-baur, adakalanya terdapat animasi yang dipaparkan dengan grafik berkomputer yang terbaik manakala visual permainannya pula kelihatan tersangat ringkas. Nampaknya watak-watak dan keadaan sekeliling telah di"render" dalam warna 8-bit yang menghasilkan paparan yang kurang menarik.

Watak-watak yang dipaparkan dalam Final Fantasy 8, adalah realistik dan setiap aliran video adalah yang terbaik pernah saya lihat. Ia juga telah melakukan gabungan yang baik kepada kepermainan Final Fantasy 8 dan dapat dialirkan dengan lancar. Secara amnya watak dan keadaan sekeliling dapat disatukan dalam antaramuka grafik berkomputer yang baik.

Malang sekali watak-watak dalam Final Fantasy 8 tidak dapat dikawal dengan sepenuhnya dari segi aksi dan dialog. Adakalanya anda akan dapat merasakan yang anda hanyalah sebagai pemerhati sahaja walaupun sepatutnya anda terlibat secara langsung dalam pengawalan watak.

Fantasi berakhir

Final Fantasy 8 adalah sebuah cara penceritaan sebuah kisah cinta dan pengembaraan. Dengan jalan cerita yang sebegitu, Final Fantasy 8 merupakan satu pembentangan cerita yang berbeza daripada permainan RPG yang lain. Dengan watak-watak yang kacak dan cantik serta skil watak-watak yang tinggi maka Final Fantasy 8 merupakan sebuah permainan yang memuaskan. Jika anda seorang pengikut Final Fantasy maka dapatkanlah permainan ini jika anda terpikat dengan Rinoa atau Squall.... cubalah dapatkan Final Fantasy 8.

Kebaikan : Sebuah permainan yang besar dan kompleks. Grafik yang baik. Mampu membuatkan anda tidak bangun dari kerusi anda.
Kelemahan : Payah untuk dikuasai bagi pemain baru. Terdapat plot yang tergantung. Watak tidak dapat dikawal sepenuhnya.

Statistik

Kategori : Permainan berasaskan watak (Role playing game atau RPG)
Grafik : 640x480 menerusi Direct3D.
Audio: DirectSound dan EAX.
Spesifikasi sistem minima : Pentium II-266MHz, 64MB RAM memori dan 600MB ruangan cakera keras.