Make your own free website on Tripod.com
Menilai MSC

Sejak adanya MSC, Malaysia telah dilihat sebagai pengerak inisiatif IT di rantau sebelah sini dan sebuah paradigma ekonomi digital baru. Malah dengan rangkakerja yang lengkap dan teratur segalanya kelihatan jelas dan nyata bagi semua penduduk dunia tentang apa itu MSC.

E-dagang dan berita berasaskan Internet muncul hampir setiap hari di dada-dada akhbar. Malah anjakan itu telah berubah kepada sebuah semangat yang membara terutamanya di seluruh Asia. Selain daripada MSC terdapat inisiatif lain yang serupa iaitu Singapore One dan Hong Kong Digital Port. Dengan itu terdapat pelbagai peluang di Asia terutamanya untuk memainkan peranan utama dalam ekonomi digital.

Nampaknya anjakan dan semangat sahaja tidak mencukupi kerana persoalannya adakah minda rakyat Malaysia bersedia untuk menerima dan mencapai paradigma baru itu. Terdapat ramai individu yang berkata tentang era maklumat tetapi tidak benar-benar faham apa yang sedang berlaku dan bagaimana hendak melakukannya. Ini berlaku terutamanya di kalangan ahli politik negara ini. Adalah sedih untuk melihat wawasan IT tersebut dicemari oleh ketidakfahaman wawasan itu sendiri.

Kemudian Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ada menyatakan yang ia akan melesenkan tapak Web dan Rang Jaminan MSC juga ada menyatakan tidak akan menapis kandungan web. Pelesenan laman Web adalah suatu yang tidak boleh dilakukan kerana dunia web adalah sebuah dunia yang terbuka dan ia dibina tanpa prejudis dan bebas daripada segala halangan. Namun begitu kebebasan web juga hendaklah ada kekangannya kerana tidak semua kandungan itu bersesuaian dengan norma dan etika hidup sesuatu masyarakat. Walaupun etika penggunaan internet dan penekanan moral di dalam internet tetapi ia merupakan suatu tugas yang rumit dan lambat.

Aplikasi perdana

Pada permulaan MSC, tujuh aplikasi perdana telah dibentangkan dan akan diusahakan di dalam MSC. Setelah empat tahun MSC dijayakan adakah ia sudah berjaya dibina dengan meluas atau masih di tahap yang rendah. Adalah diakui dengan pusat-pusat inkubator yang terdapat di seluruh negara, tidak mencukupi untuk menghasilkan tenaga dan produk yang baik. Namun begitu adalah lebih baik kawalan dan idea dilakukan pemantauan dengan baik.

Dunia IT adalah suatu alam yang sering cepat berubah dan siapa yang lambat pasti akan ketinggalan. Dengan itu MSC tidak boleh dilekakan dengan kerenah birokrasi atau sikap tidak profesional sesetengah pihak kerana MSC merupakan suatu alam yang berbeza daripada dunia tradisional. Rangkakerja yang telah dibina untuk MSC adalah suatu panduan yang jelas dan terperinci tentang apa yang perlu dilakukan dalam MSC. Malangnya panduan itu seperti tidak diikuti oleh para teknokrat yang terlibat secara langsung sehinggakan MSC telah berjalan dalam kadar yang perlahan.

Sesetengah aplikasi perdana seperti sekolah bestari, kerajaan elektronik dan teleperubatan boleh dibina di atas platform infrastruktur yang sedia ada atau yang boleh ditingkatkan. Dengan teknologi yang ada kini dan peningkatan infrastruktur, kemudahan dan aplikasi dapat dibina dengan baik tanpa menganggu keadaan fizikal tempat di mana hendak dibina seperti bangunan pejabat. Faktor kemanusiaan juga hendaklah diambil kira contohnya sekolah yang hendak dibestarikan tidak semestinya memerlukan infrastruktur baru. Sekolah merupakan sebuah kemudahan komuniti yang boleh dijadi sebuah komuniti dan jika ia dipindahkan daripada tempat asal ke sebuah tempat yang jauh maka komuniti tersebut akan berpecah.

Kluster R&D, rangkaian pengilangan sedunia dan pemasaran tanpa sempadan adalah aplikasi perdana yang menampakkan hasil yang positif. Malah e-dagang kini telah menjadi satu topik hangat di kalangan komuniti perniagaan dan banyak seminar diadakan bagi memperkenalkan e-dagang dengan lebih luas. Penggunaan kad pintar tidak meluas kerana tiada penekanan di dalam penggunaan dan teknologi tersebut dikatakan mahal. Jika hendak melihat kejayaan kad pintar, murahkan teknologi tersebut, perluaskan penggunaannya pada kad pengenalan, urusan perniagaan dan urusan harian penduduk serta integrasikan semua rangkaian bagi memudahkan penggunaan satu kad untuk semua urusan.

Industri IT dan Multimedia tempatan

Syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) IT dan multimedia tempatan merupakan penyemarak kegiatan IT di dalam MSC. Berbanding dengan tahun 1998, pada tahun 1999 jumlah SME IT dan multimedia telah meningkat sekali ganda. Pada tahun 1998 sejumlah 297 SME telah direkodkan dan pada tahun 1999 pula 586 SME IT dan multimedia direkodkan.

Namun begitu jumlah itu adalah lebih kecil berbanding dengan negara-negara lain seperti Taiwan (lebih 4000 SME IT) dan Singapura (lebih kurang 1000 SME IT), manakala Lembah Silikon mempunyai lebih daripada 7000 SME IT di mana jumlah itu meningkat antara 500 dan 600 syarikat setiap tahun.

Dengan adanya Rangkaian Inkubator Kebangsaan (NIN), semua inkubator dapat dipusatkan dan menghasilkan idea serta produk yang bertaraf dunia. Malah dengan adanya NIN segala tenaga dan sumber dapat disatukan bagi mengelakkan pertindihan keputusan dan hasil yang boleh dicapai.

Dengan NIN juga sokongan dalam bentuk infrastruktur, perkakasan dan perisian IT, latihan, sumber luar, nasihat kewangan dan undang-undang dan mendapatkan modal permulaan menerusi biaya niaga atau individu. Selain itu juga SME IT hendaklah berfikiran global dan tidak terhad kepada kehendak tempatan sahaja bagi meletakkan diri sebagai peneraju teknologi sedunia.

Gunaan teknologi

Penggunaan teknologi web di Malaysia adalah tidak berbeza dengan yang ada di luar negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. Malah penggunaan dan impelentasi teknologi adalah memuaskan dan sektor perniagaan menggunakan teknologi yang searas dengan dunia maju lain.

Malangnya tahap profesionalisme dalam industri IT masih jauh lagi kerana mereka masih kurang mempraktikkan kaedah dokumentasi yang sesuai dalam tugas-tugas mereka. Malahan dokumentasi merupakan sebuah kaedah untuk merekodkan capaian atau penghasilan perisian dan seterusnya digunakan untuk membuat buku panduan.

Selain itu kualiti perkhidmatan web tempatan juga tidak selaras dengan kecanggihan teknologi yang digunakan. Malah jarang kita dengar bahawa syarikat-syarikat besar dalam telekomunikasi atau penyedia Internet tempatan melakukan kaji selidik pelanggan secara besar-besaran. Malah salah sebuah ISP tempatan telah memberikan tindakbalas yang lambat apabila capaian rakyat Malaysia telah dihalang oleh rangkaian IRC Undernet.

Jika Malaysia mahu menjadi peneraju teknologi maklumat, sikap profesionalisme yang tinggi hendaklah ditanam di dalam industri mulai hari ini. Janganlah tunggu sehingga aduan dibuat atau ada sikap "dah terhantuk baru nak terngadah". Akhir kata, perluaskan dunia IT tempatan kepada seluruh negara dan bukan sahaja bertumpu di Lembah Kelang kerana 90% rakyat Malaysia tidak berada di Lembah Kelang.