Make your own free website on Tripod.com
Malaysia dan Ekonomi Pengetahuan

Malaysia adalah sebuah negara yang kecil dan membangun dengan 22 juta penduduk. Sejak merdeka 42 tahun lalu, Malaysia telah beralih daripada sebuah negara berasaskan pertanian kepada ekonomi berasaskan industri yang mana ia telah menyumbang kepada 37 peratus KDNK negara. Kini Malaysia sedang bergerak kepada ekonomi berasaskan pengetahuan atau k-ekonomi di mana seluruh rakyat negara ini akan melibatkan diri secara aktif.

Komitmen Malaysia dalam era digital tidak boleh disangkalkan lagi. Dengan mengubah corak persaingan dengan adanya globalisasi, rangkaian dan perkaitan telah memendekkan kitar produk, penggunaan modal, perniagaan dan menembusi ruang masa yang terhad. Malaysia sedar akan kepentingan era k-ekonomi dan cuba mengelakkan perbezaan yang lebih luas.

Malaysia memasuki era maklumat dengan pelancaran Wawasan 2020 iaitu bertujuan menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020. Dengan Wawasan 2020, Malaysia akan menjadi negara yang mempunyai moral dan nilai etika yang tinggi, mampu berdiri atas kaki sendiri menerusi maklumat dan pengetahuan.

Malaysia telah membina Multimedia Super Corridor (MSC), iaitu sebuah kawasan seluas 15 km x 50 km selatan Kuala Lumpur. Dengan strategi bahawa MSC akan mengabungkan segala elemen yang unik dan membina sebuah suasana multimedia yang baik.

MSC mensasarkan untuk menarik syarikat teknologi bertaraf dunia menggunakan MSC sebagai pusat untuk mengujian teknologi. Tujuh aplikasi perdana telah dibentuk untuk mengujudkan aktiviti di dalam MSC. Ianya terdiri daripada sekolah bestari, kad pintar, teleperubatan, kluster R&D, kerajaan elektronik, rangkaian pengilangan sedunia dan pemasaran tanpa sempadan.

Gabungan susanan ini adalah campuran dan kepelbagaian infrastruktur, undang-undang, polisi dan penggunaan di mana syarikat IT dan multimedia, kerajaan dan orang ramai akan menyelongkar potensi era maklumat. Dengan itu Malaysia telah memperkenalkan sebuah senarai yang dikenali sebagai Rang Jaminan (Bill of Guarantees) untuk menarik syarikat berstatus MSC. Antara kandungan Rang Jaminan itu adalah :

1. Menyediakan infrastruktur fizikal dan maklumat bertaraf dunia
2. Membenarkan pengambilan pekerja maklumat tanpa had
3. Hakmilik bebas
4. Bebas untuk mencari pembiayaan di luar
5. Menjadi pendahulu serantau dalam perlindungan hakmilik intelektual dan undang-undang siber
6. Menyediakan cukai pendapatan, elaun cukai pelaburan dan tarif telekomunikasi yang menarik
7. Tiada penapisan Internet

Sehingga kini lebih 230 syarikat telah menerima taraf MSC di mana 24 peratus daripadanya mempunyai rakan niaga daripada Amerika Syarikat (AS). Yang paling menarik ialah kerjasama MSC dengan HUBS pada September 1999, yang mana ia akan terlibat dalam teleperubatan, sekolah bestari dan e-dagang. Adalah sesuatu yang menarik melihat sebuah sekolah rendah di Dengkil bertukar fikiran dengan pelajar di New Jersey.

Jika dibandingkan dengan AS, kejayaan dan pengunaan Information and Communication Technology (ICT) di Malaysia masih jauh ketinggalan dan perlahan. Di Malaysia terdapat 4.5 juta talian telefon untuk 22 juta penduduk. Seramai 2.45 juta orang adalah pelanggan telefon selular dan lebih 1.45 juta pengguna Internet dengan 600,000 pelanggan Internet. Statistik juga menyatakan hanya 11 peratus daripada semua rakyat Malaysia mempunyai PC dan 6 peratus sahaja yang melayari Internet. 65% daripada pengguna Internet bermastautin di Lembah Kelang.

Oleh kerana pengguna Internet yang rendah di Malaysia, objektif utama adalah untuk meningkatkan jumlah pengguna PC dan Internet di Malaysia. Pada bulan Februari, sebuah kempen pemilikan PC, telah dilaksanakan oleh sebuah konsortium komputer dan Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia. Sepanjang kempen, para penjual hendaklah menyediakan promosi dan harga yang berpatutan kepada pengguna.

Kerajaan juga menyediakan pinjaman mudah kepada kakitangannya, memberikan potongan cukai dan kemudahan pengeluaran wang daripada KWSP untuk membeli komputer. Untuk meningkatkan kemahiran Internet, PC diletakkan pada tempat awam termasuklah di kawasan luar bandar dan pembukaan kafe siber di pusat membeli-belah. Syarikat-syarikat yang berada di dalam MSC juga digalakkan untuk melakuan tugas sosial dengan mengambil sekolah angkat dan menyediakan komputer untuk kawasan luar bandar.

Untuk meningkatkan ICT, kerajaan dengan pertolongan pihak swasta, akan terus mengalakkan rakyat Malaysia untuk melayari Internet, meningkatkan penggunaan e-dagang dalam perniagaan dan menambah perkaitan antara pengeluar, pengguna dan pengedar. Dengan cara ini Malaysia akan lebih cepat meloncat ke alam digital daripada yang dijangkakan.

Dengan Rang Jaminan, Malaysia yakin akan menjadi pendahulu di dalam perlindungan hakmilik intelektual dan undang-undang siber. Malaysia telah komited dan percaya kepada kepentingan perlindungan hakmilik intelektual iaitu salah satu elemen perkembangan e-dagang dan industri yang berkaitan seperti pembinaan kandungan dan pembangunan perisian.

Salah satu masalah yang terbesar industri komputer di Malaysia ialah cetak rompak perisian. Kerajaan telah melakukan pelbagai tindakan untuk menentang cetak rompak dan pergantungan kepada barangan ciplak. Pada tahun 1996, lebih RM300 juta telah dapat dijana daripada cukai industri perisian dan ia akan meningkatkan kepada RM700 juta menjelang 2001. Cetak rompak perisian di Malaysia adalah satu kesalahan dan boleh dihukum sehingga lima tahun penjara atau denda maksima RM250,000 atau kedua-duanya sekali.

Adalah diharapkan bahawa peperangan menentang cetak rompak akan meningkatkan pembangunan kandungan tempatan dan aplikasi berasaskan komputer di Malaysia. Dengan itu kerajaan Malaysia telah merancang untuk mengadakan undang-undang bagi penghasilan cakera optik dengan pembentangan Undang-undang Cakera Optikal pada tahun ini.

Pada tahun 1998, Malaysia telah memperkenalkan Akta Komunikasi dan Multimedia bagi meletakkan negara sebagai pusat sedunia bagi komunikasi dan maklumat multimedia. Selain daripada itu terdapat satu set undang-undang siber iaitu Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Tandatangan Digital 1997, Akta Teleperubatan 1997 dan Akta Hakcipta Pindaan 1997.

Potensi e-dagang juga hendaklah dilihat dengan terperinci. Oleh kerana Asia Pasifik merupakan sebuah benua dengan ekonomi yang sedang membangun dan capaian Internet adalah salah satu aspek untuk meningkatkan dagangan. Kerajaan Malaysia menganggarkan jumlah e-dagang akan meningkat daripada RM16 juta (1999) kepada RM200 juta untuk tahun 2000. Kini lebih banyak laman web e-dagang tempatan muncul dan ini merupakan satu petanda yang baik.

Kontrak dan urusniaga digital adalah merupakan format yang berbeza daripada bentuk tradisional. Namun begitu kontrak digital haruslah dilihat sebagai sah dan sama dengan kontrak berdokumen. Dengan itu undang-undang perlu untuk melindungi pembangunan e-dagang dan juga hak pengguna dengan samarata. Kerajaan juga tidak mahu mengadakan cukai khas dan mengadakan ruangan bebas cukai untuk e-dagang. Malah agak sukar untuk kerajaan mengawal dan memantau aliran wang di dalam internet kerana terlalu banyak transaksi yang berlaku.

Kemudian isu mengenai kebersendirian (privacy) dalam internet juga adalah penting dan ia harus dilihat penting oleh undang-undang siber. Contohnya dalam pengamalan teleperubatan, maklumat sensitif tentang seseorang pesakit hendaklah dijaga dan tidak boleh didedahkan kepada orang lain. Malah dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, adalah menjadi satu kesalahan untuk memintas komunikasi elektronik.

Oleh kerana kandungan di dalam internet tidak dapat dikawal maka persoalannya di manakah relevannya Rang Jaminan MSC yang tidak akan menapis internet. Polisi tiada penapisan ini adalah untuk memastikan dan mempromosikan ICT tanpa had seterusnya membentuk sebuah masyarakat yang berpengetahuan dan berilmu. Namun begitu kegiatan yang menyalahi undang-undang seperti perjudian, penipuan, pembersihan wang, penjualan ubatan secara haram, pornografi dan kegiatan subversif, adalah tidak sesuai dengan masyarakat Malaysia. Sebelum undang-undang bertindak dan digunakan, pengenalan kod etika penggunaan internet adalah suatu yang sesuai dan tepat pada masanya. Isu ini akan terus diperkatakan bukan sahaja di Malaysia tetapi diseluruh dunia.

Undang-undang siber diwartakan untuk menyediakan sebuah infrastruktur di dalam MSC di mana e-dagang dan aktiviti internet akan dilakukan. Namun begitu undang-undang sentiasa tidak selari dengan teknologi. Dengan itu pihak industri dan masyarakat hendaklah memastikan yang suasana digital tersebut akan dikaji semula bagi mengemaskini dan menentukan relevannya dalam konteks semasa.