Make your own free website on Tripod.com

Perkakasan IT alaf baru

Ketika hendak memasuki alaf baru ini segalanya akan berubah, mungkin cara kita berpakaian, cara kita bekerja dan mungkin seluruh dunia teknologi maklumat (IT) juga akan mengalami arus perubahan. Teknologi komputer dan antaramukanya adalah di antara teknologi yang akan mengalami sebuah perubahan yang besar kerana pengguna memerlukan sebuah aliran data yang lebih lancar dan keluasan jalur lebar yang lebih tinggi. Untuk itu dua jenis antaramuka terbaru yang telah dihasilkan ialah USB (Universal Serial Bus) dan FireWire (IEEE 1394).

Selain daripada itu ciri keselamatan juga amat dipentingkan di mana penggunaan kata laluan (password) tidak lagi diperlukan. Oleh kerana penggunaan kata laluan sudah tidak relevan lagi maka beberapa cara lain telah dibentuk dengan menggunakan ciri-ciri fizikal pada badan contohnya cap jari, retina mata dan suara.
 
USB

PC yang dilengkapi dengan USB sudah berada di pasaran kira-kira 3 tahun tetapi perkakasan USB tidak banyak berada di pasaran. Walaupun PC anda tidak mempunyai port USB, anda boleh menambahnya pada slot PCI yang tidak digunakan di mana slot PCI itu hendaklah mempunyai tahap 2.1 atau lebih. Win98 telah menyokong USB, begitu juga dengan Win2000 (NT 4.0 tidak menyokong). Anda boleh menambahkan USB pada Win95 tetapi ia merupakan sebuah proses yang remeh. Saya cadangkan gunakanlah Win98 jika anda mahu menggunakan USB. 

Hampir kesemua peranti USB boleh disambungkan kepada sebuah rangkaian atau dengan peranti USB yang lain. Malah terdapat juga hub USB yang boleh mengabungkan lebih daripada satu peranti USB pada satu masa.
 

kabel USB
USB mampu menggantikan port bersiri dan selari serta boleh melakukan palam dan guna (plug & play atau PnP) dengan berkesan. Peranti-peranti USB yang kini berada di pasaran ialah pengimbas (scanner), kamera, modem, pencetak, papan kekunci dan tetikus. Inovasi di masa hadapan ialah untuk membuatkan peranti dan rangkaian menjadi palam dan guna sepenuhnya serta menambahkan port selari dan bersiri menerusi USB. Malah peranti berciri keselamatan juga boleh menanfaatkan penggunaan port USB ini.
FireWire (IEEE 1394)

FireWire berjanji untuk membawa PnP dalam kelajuan yang tinggi dan penggunaan peranti dengan jalur lebar tinggi kepada perkakasan seperti storan dan pengimejan video. Kadar pemindahan data mampu mencapai 400Mbps tanpa mengganggu pemproses pusat dan tidak menggunakan kawalan luaran. Dengan itu FireWire (IEEE 1394) adalah sesuai untuk intrasambungan antara PC dan kekotak Internet dengan menyediakan ciri-ciri seperti dwi arah, kelajuan tinggi, kualiti video tinggi, HDTV, DVD-ROM dan DVD-RAM.

Kini terdapat juga PC dan komputer bimbt yang telah membina port FireWire dalaman atau anda boleh dapatkan kad port FireWire berjenama Adaptec. Oleh kerana FireWire merupakan yang baru maka tidak terdapat banyak peranti FireWire yang berada di pasaran. Pada ketika artikel ini ditulis hanya kamera digital sahaja yang terdapat di pasaran. Malah sistem pengoperasian dari Microsoft atau set cip daripada Intel juga tidak menyokong FireWire. Mungkin Intel akan menyokong FireWire pada tahun hadapan dan Microsoft pula dalam sistem pengoperasian Win2000 yang bakal keluar nanti.

Versi piawai FireWire yang dikemaskini iaitu IEEE 1394.B dikatakan boleh mencapai kelajuan 800Mbps. Jika FireWire berjaya menuruti langkah USB, mungkin kita akan dapat melihat lebih banyak peranti FireWire pada tahun 2000.
 
Biometrik

Pembaca cap jari, pengimbas retina dan pelbagai lagi peranti keselamatan yang kita lihat di filem-filem barat itu bukanlah fiksyen. Banyak agensi kerajaan (bukan Malaysia) dan syarikat korporat menggunakannya sebagai tanda pengenalan individu. Kini peranti-peranti seperti ini boleh didapati untuk komputer peribadi dan dijual dengan harga yang murah. Contohnya komputer Digital dan Compaq telah mengeluarkan perkakasan pengesan cap jari yang menggunakan port USB. Malah terdapat juga idea untuk menggunakan tanda pengenalan peribadi bagi mengekang cetak rompak perisian. Jika anda tidak mahu bersusah payah untuk menjalankan pengurusan sistem kata laluan (password) yang baik maka cara biometrik adalah untuk anda.