Teknologi Kad Grafik

Monitor merupakan satu antaramuka di mana komputer akan bekomunikasi dengan penggunanya. Kad grafik yang menyambungkan papan induk (motherboard) kepada monitor juga memainkan peranan penting bagi mendapatkan paparan yang menarik.

Ketika komputer peribadi mula popular, sistem bas ISA adalah sistem bas yang digunakan di mana paparan monokrom (satu warna) sahaja boleh didapati dengan menggunakan kad Monochrome Display Adapter (MDA) manakala paparan warna pula menggunakan kad Color Graphics Array (CGA). Paparan CGA hanya boleh memaparkan empat warna sahaja (2 bit data) pada resolusi 320x200 dengan kelajuan 60Hz yang memerlukan 128,000 bit data atau leih kurang 937 kbps.

Kini sistem bas adalah lebih laju dan lancar seperti PCI Peripheral Component Interconnect) dan AGP (Accelerated Graphics Port) telah muncul. Maka paparan grafik yang dihasilkan adalah lebih baik dan jelas. Sistem bas AGP sahajalah yang digunakan untuk mengendalikan aliran data-data grafik daripada papan induk kepada monitor.

Bagaimana ia berfungsi?

Seperti yang telah diketahui kad grafik adalah perantara di antara CPU dengan monitor dalam proses pemaparan imej kepada monitor. Dalam sebuah kad grafik terdapat dua komponen penting iaitu memori video (video memory) dan cip video (video chip). Tugas memori video adalah untuk menyimpan dan memproses data asas imej, kemudian cip video pula memproses data imej itu sebelum dihantar kepada monitor untuk dipaparkan.

Memori video atau disebut juga VRAM (Video RAM) adalah merupakan gabungan dinamik RAM (DRAM). Ia mempunyai sistem dwi-port yang menyediakan dua laluan alamat memori untuk CPU dan cip video. Dengan cara ini kedua-duanya dapat mencapai alamat memori serentak dan kepantasan capaian dapat ditingkatkan supaya lebih banyak imej disimpan dan digunakan dalam masa yang singkat.

Keupayaan paparan kad grafik juga bergantung kepada jumlah memori video kerana ia akan menentukan jumlah resolusi dan warna yang boleh dipaparkan oleh monitor. Contohnya kad VGA dengan 256K memori video hanya mampu memaparkan sehingga 640x480 resolusi pada 16 warna manakala kad VGA dengan 8MB memori video boleh memaparkan sehingga 1280x1024 resolusi pada jutaan warna.

Jenis-jenis VRAM yang terdapat ialah Windows RAM (WRAM), SDRAM (Synchronous Dynamic Random Access Memory), SGRAM (Synchronous Graphics RAM), Multibank Dynamic RAM (MDRAM) dan Rambus Dynamic RAM (RDRAM). Kesemua jenis VRAM ini mempunyai tugas yang serupa iaitu untuk mengalirkan data imej kepada cip video tetapi yang membezakannya ialah keupayaan dan kepantasan yang berbeza.

Tugas cip video pula ialah untuk menukar (convert) data dalam memori video kepada sebuah bentuk yang boleh dipaparkan oleh monitor. Cip video ini memasukkan data ke dalam memori video dalam format digital dan menggunakan penukar digital kepada analog yang juga disebut DAC (digital-to-analog converter) kerana CRT hanya boleh menerima data analog sahaja. Antara cip-cip grafik yang digunakan ialah Nvidia RIVA TNT, MGA G200, S3 Savage 3D, 3Dfx Voodoo3, ATI Rage18 dan Voodoo Banshee.

Satu lagi ciri utama yang perlu diambil berat ialah keupayaan untuk memaparkan kadar imbasan melintang dan juga menegak pada monitor. Jika kad anda berkeupayaan tinggi maka ia akan memberikan kadar imbasan yang tinggi pada resolusi yang tinggi juga. Contohnya pada resolusi 1280x1024 kadar 32-bit ia akan memaparkan dengan baik jika monitor anda mampu menampungnya, sebaliknya ia akan memberikan sebuah lapisan dan paparan yang menyakitkan mata jika resolusi itu adalah di luar kemampuannya. Dengan itu anda perlulah mendapatkan sebuah monitor yang baik (lebih kecil daripada atau sama dengan 0.28 dpi) jika anda hendak menggunakan kad paparan yang berkuasa tinggi.
 
Sistem bas kad grafik 

AGP

AGP adalah sebuah spesifikasi bas dan antaramuka khas yang membolehkan aliran grafik 3D (contohnya daripada laman Web atai CD-ROM) dipaparkan dengan lebih cepat dan lancar. Sebelum ini corak aliran grafik ini hanya boleh didapati daripada komputer stesyen kerja grafik seperti Silicon Graphics (SGI) sahaja. Antaramuka AGP juga memberikan keupayaan grafik tiga dimensi yang tinggi kepada komputer peribadi dengan harga yang murah.

Antaramuka ini akan menggunakan memori utama komputer iaitu RAM untuk menyegarkan imej paparan serta menyokong pemetaan tekstur, “z-buffering”, dan penyatuan (blending) alpha untuk imej 3D. Penggunaan memori AGP yang lebih dinamik membolehkan jumlah memori yang telah digunakan itu dikembalikan untuk kegunaan sistem pengoperasian. Dengan penggunaan komputer yang berkeupayaan tinggi, AGP mampu memberikan paparan grafik tiga dimensi kepada satu tahap realisma visual dan persembahan 3D yang tinggi.
 


PCI

PCI ialah sistem intrasambungan antara mikropemproses dan peranti yang disambungkan menerusi slot yang diletakkan berhampiran antara satu sama lain. Bas PCI merupakan sistem yang tidak “local” di mana ia bergantung kepada rekaan mikropemproses dan ia mempunyai kelajuan masa di antara 20 hingga 33 Mhz.

PCI digunakan pada semua jenis komputer atas meja dan ia bukan sahaja berasaskan kepada pemproses Pentium sahaja tetapi juga PowerPC. PCI berfungsi pada 32 bit sesaat pada sambungan 124-pin  dan 64 bit sesaat pada sambungan 188-pin. Pada masa yang terdekat ini spesifikasi PCI terbaru akan menggunakan kelajuan bas 66-MHz dan mempunyai truput peranti sebanyak 264MBps iaitu 33 kali lebih pantas daripada bas ISA.