Maklumat sepantas kilat

Dalam Internet terdapat jutaan maklumat yang terdiri daripada pelbagai jenis topik dan subjek. Masalah mengenai maklumat yang terlalu banyak ialah mendapatkan maklumat yang baik dan menepati ciri-ciri maklumat yang anda perlukan. Biasanya anda akan menggunakan enjin pencari yang akan menyenaraikan keputusan carian dalam bentuk yang tidak tersusun. Akhirnya anda akan membuang masa dengan cuba mengklik satu persatu sambungan (link) yang disenaraikan.

Oleh itu adalah penting untuk mendapatkan alternatif kepada enjin pencari bagi menapis maklumat yang penting daripada yang kurang penting. Untuk membantu anda dalam pelayaran dunia Web, terdapat beberapa perisian yang menawarkan maklumat yang relevan dengan kehendak anda. Perisian ini akan menghalakan anda kepada laman-laman Web yang berkaitan dengan topik yang anda mahu. Walaupun ada di antaranya tidak sepantas enjin pencari tetapi ia mampu memberikan anda maklumat yang tepat dan mengurangkan masa yang terbuang.

Alexa
Percuma
http://www.alexa.com
Kehendak sistem : Windows 95/98/Me/NT /2000, Internet Explorer 5.0 (ke atas) dan Netscape 4.0 (atau lebih)

Alexa akan meletakkan maklumat terus ke hujung jari anda tanpa menganggu pelayaran Web anda. Ia mempunyai bebutang untuk laman Web, reviu produk, membeli-belah, senarai sambungan laman Web, berita dan fungsi carian. Walaupun Alexa memberikan kemudahan yang menarik tetapi ia akan melambatkan sedikit kepantasan pelayaran Web anda. Jika anda sering melayari Web dan memerlukan maklumat yang tepat maka Alexa adalah jawapannya.

Atomica
Percuma
http://www.atomica.com
Kehendak sistem: Win9x/Me/NT/2000; berfungsi dengan semua jenis pelayar Web utama.

Aplikasi ini dahulunya dinamakan sebagai GuruNet. Perisian ini menyenaraikan pelbagai topik seperti akronim, istilah komputer, kewangan, peta, berita, cuaca dan pelbagai maklumat. Ia berfungsi dengan kebanyakan aplikasi Windows, perisian e-mel dan aplikasi Web. Aplikasi ini juga akan memperlahankan keupayaan pelayaran Web tetapi hasilnya akan membuatkan anda tersenyum.

Copernic 2000
Percuma
http://www.copernic.com
Kehendak sistem : Win9x/Me/NT/2000; IE3.0 and above and Netscape 3.0 and above

Copernic 2000 adalah sebuah perisian yang mampu mencapai beberaoa enjin pencari serentak untuk mendapatkan maklumat yang anda perlukan. Hasil carian akan dipaparkan dalam bentuk yang ringkas dan mudah dibaca.

Ia boleh mencapai sehingga 80 enjin pencari (versi percuma ) yang dikumpulkan dalam tujuh kategori manakala versi Plus atau Pro mampu mencapai lebih daripada itu. Perisian ini mudah digunakan dan mempunyai beberapa ciri "skin" bagi menambah daya tarikan kepada paparan perisian.

Ciri yang paling menarik dalam Copernic ialah cariannya yang akan menyenaraikan hasil carian dalam bentuk yang menurut keutamaan. Ia juga akan membuang segala pertindihan carian dan menyenarainya sebagai satu carian sahaja.

FirstClassSites
Percubaan 30 hari (AS$18)
http://www.firstclasssites.com
Kehendak sistem : Win9x/NT/2000

Perisian ini mempunyai pelayar Web khas yang menyenarai lebih 17,000 laman Web yang telah diulas dan diletakkan dalam 176 kategori. Ia mempunyai direktori yang mudah dicapai hasil daripada 100,000 jam masa pembangunan perisian. Walaupun ia masih membenarkan anda melayari Web tetapi sambungan yang dipaparkan adakalanya mengganggu tumpuan anda ketika melayari Web.

flyswat
percuma
http://www.flyswat.com
Kehendak sistem : Win9x/NT/2000; IE4.0 (ke atas), Netscape dan AOL

Perisian ini merupakan antara yang paling popular dan terkenal dalam kategori ini. Walaupun perisian ini kecil tetapi ia mempunyai keupayaan yang memuaskan. Keupayaan flyswat ialah untuk mencari topik menerusi perkataan yang ada dalam teks pada sesuatu laman Web itu. Untuk mencari laman-laman lain yang berkaitan dengan sesuatu perkataan itu, anda hanya perlu klik pada perkataan itu ketika menekan kekunci ALT.

Sebuah menu akan muncul pada pelayar Web anda di mana terdapat fungsi untuk membentuk aplikasi, melakukan carian dan menukar kemunculan senarai sambungan. Ia juga boleh digunakan pada perisian e-mel dan dokumen Word. Perisian flyswat juga mempunyai perisian tambahan untuk meningkatkan lagi keupayaan perisian.

Google Toolbar
Percuma
http://www.google.com
Kehendak sistem : Win9x/Me/NT/2000; IE5.0 ke atas.

Google merupakan salah satu enjin pencari yang terbaik. Dengan menggunakan keupayaan carian yang tinggi maka senarai carian laman Web yang dipaparkan adalah tepat dan ringkas. Selain dari itu ia mempunyai kaedah PageRank yang akan menyenaraikan laman Web menurut kualiti maklumat.