Make your own free website on Tripod.com
Kenali Linux menerusi Internet

Linux adalah sejenis sistem pengoperasian yang telah dibangunkan oleh seorang pelajar dari Universiti Helsinki, Finland yang bernama Linus Torvalds. Kerja-kerja pembangunan bagi sistem pengoperasian ini dimulakan oleh Linus pada tahun 1991 dan beliau melancarkan versi 0.02 pada tahun yang sama. Pada tahun 1994 pula beliau melancarkan versi 1.0 dan seterusnya versi 2.0 iaitu versi yang digunakan sekarang ini.

Sistem pengoperasian Linux ini dibangunkan di bawah GNU General Public License atau Lesen Awam Umum dan kod perisiannya boleh didapati secara percuma oleh sesiapa jua. Namun begitu ini tidak bermakna Linux dan semua variasinya adalah percuma kerana sesiapa yang membangunkan variasi Linux berasaskan kod Linux ini boleh menjualnya secara terbuka. Linux telah digunakan untuk pelbagai kegunaan seperti rangkaian, pembangunan perisian dan platform bagi kegunaan am. Berdasarkan kepada kepelbagaian kegunaan Linux ia agak popular di seluruh dunia dan banyak digunakan oleh para pengaturcara untuk kegunaan peribadi. Malah kini terdapat pelbagai projek untuk memvariasikan sistem pengoperasian Linux bagi membolehkan ia digunakan dengan pelbagai jenis perkakasan.

Berdasarkan kepada kepopularan sistem pengoperasian ini maka terdapatlah beberapa laman Web yang dibangunkan semata-mata untuk berkongsi maklumat tentang variasi Linux dengan pengguna lain. Hampir kesemua laman Web ini membentangkan sejarah Linux dan maklumat am mengenai Linux. Selain daripada itu terdapat juga sebuah laman Web tempatan yang berkisar tentang Linux dan ianya dibangunkan oleh sekumpulan pengguna Linux di Malaysia.

Laman Web seterusnya ialah Linux Documentation Project (http://www.ibiblio.org/mdw/) yang terbahagi kepada General Linux Information, Linux Documentation Project, Linux Development Projects, Commercial Linux Products, Linux Links, Linux Usenet Newsgroups dan LDP Search. Bahagian Linux Documentation Project akan membentangkan maklumat berkenaan projek pendokumentasian Linux seperti panduan, cara menggunakan Linux dan buletin Linux Gazette. Manakala bahagian Commercial Linux Products pula menyenaraikan peta pengedaran Linux, CD-ROM, buku, perisian dan perkakasan serta sistem kelengkapan yang menggunakan Linux.

Laman Web kedua yang kita akan singgah ialah Linux Online (http://www.linux.org/) yang dikatakan laman Web rasmi berkenaan Linux dalam Internet. Laman Web ini mempunyai pelbagai maklumat mengenai Linux, termasuklah senarai pemacu perkakasan dan penjual perisian berasaskan Linux. Laman Web ini juga menyediakan perkhidmatan mendapatkan maklumat berkaitan Linux daripada pelbagai syarikat yang menggunakan atau membangunkan variasi Linux.

Laman Web Linux Online ini terbahagi kepada General Info, Help Center, Distributions, News, Coming Events, User Groups, Applications, Hardware, Projects, Vendors, Services dan Search. Bahagian yang paling menarik adalah General Info di mana terdapat pelbagai maklumat teknikal mengenai Linux dan juga temuramah khas dengan Linus Tervolds. Menurut laman Web ini terdapat seramai 60830 pengguna Linux yang berdaftar dan 28033 buah sistem komputer yang menggunakan Linux. Walaubagaimanapun pengguna Linux yang tidak berdaftar adalah dianggarkan melebihi lima juta orang di seluruh dunia. Menurut laman Web ini juga terdapat 120 pengguna berdaftar di Malaysia dan lebih kurang 30000 pengguna yang tidak berdaftar.

Laman Web seterusnya yang terdapat dalam senarai saya ialah Linux Resources (http://www.linuxjournal.com) yang juga dikenali sebagai The Linux Journal. Laman Web ini terbahagi kepada About Linux, In The News, Support, Community, Business dan Software. Dalam senarai yang disediakan dalam laman Web ini terdapat cara-cara untuk mendapatkan Linux dan variasinya serta beberapa panduan penggunaannya.

Laman Web seterusnya ialah Linux V2 Headquarters (http://www.linuxhq.com) yang memaparkan pengemaskinian perisian sistem operasi Linux, perisian tambahan dan pelbagai variasi perisian tersebut. Dalam laman Web ini anda boleh memindah terima tiga versi Linux iaitu Linux 2.1.95, Linux 2.1.94 dan Linux 2.1.93. Tidak terkecuali anda juga boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai versi terbaru Linux iaitu versi 2.1.

Seterusnya kita singgah pula di laman Web Red Hat Software (http://www.redhat.com/) iaitu pembangun bagi sistem pengoperasian Red Hat Linux 7.0 iaitu sistem pengoperasian yang telah berjaya memenangi anugerah sistem operasi rangkaian terbaik daripada majalah Infoworld. Syarikat Red Hat adalah sebuah syarikat pembangunan perisian komputer yang menjual produk dan menyediakan perkhidmatan yang berkaitan dengan Linux.

Syarikat Red Hat ini juga menyediakan perkhidmatan pembangunan perisian berasaskan Linux dengan harga yang berpatutan. Selain daripada itu laman Web ini juga menyediakan maklumat am mengenai Linux, manakala syarikat Red Hat pula menerbitkan buku, perisian applikasi dan bantuan teknikal yang berkaitan dengan sistem pengoperasian ini. Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentangnya silalah singgah di laman Web ini.

Selepas itu mari kita singgah di laman Web Linux Now (http://www.linuxnow.com) iaitu sebuah laman Web yang mempunyai simpanan dokumen, panduan pemasangan dan perbandingan sistem pengoperasian. Di samping itu ia juga mempunyai segmen panduan mengenai penggunaan Linux dan sebuah ruang perbincangan bagi para pengguna Linux.

Laman Web yang terakhir untuk anda kunjungi ialah My Linux (http://www.my-linux.org) iaitu laman Web para pengguna Linux di Malaysia. Laman Web ini terbahagi kepada kategori projek, arah Linux, sukarela, sumber, perkhidmatan dan FTP. Laman Web ini masih belum lengkap lagi dan mengharapkan para sukarelawan untuk melengkapkan laman Web ini dengan maklumat terkini serta bahan-bahan yang berkaitan dengan Linux. Jika anda adalah pengguna dan peminat Linux tempatan bertandanglah ke laman Web ini.