Panduan membeli

Umax Astra 1220U

Pengimbas ini adalah sebuah produk daripada pengeluar pengimbas terbesar di dunia iaitu UMAX. Ia mempunyai koleksi perisian yang baik, buku panduan yang lengkap dan pemacu antaramuka yang mudah digunakan. Kualiti imej adalah memuaskan walaupun 1220U mempunyai masalah dengan port USB. Pemasangan adalah cepat dan tidak menyusahkan pengguna. Pemacu antaramuka UMAX menggunakan fungsi satu bebutang yang memudahkan imbasan. Sistem Magic Match UMAX daripada Kodak boleh menyatukan warna pengimbas dengan pencetak atau monitor. Namun begitu warna yang dipaparkan adalah kurang tepat dan kurang tajam walaupun setelah dipertingkatkan daya imbasan.

Perisian yang disediakan adalah VistaScan, Adobe PhotoDeluxe 2.0, Presto! PageManager, dan Caere's OmniPage LE. Penggunaan port USB dalam 1220U tidak dapat membantu keberkesanan imbasan dan warna imej walaupun USB sepatutnya memudahkan perkakasan dan pengguna. Jika prosedur pemasangan dan kualiti imej dipertingkatkan ia mampu menjadi pengimbas terbaik.

HP Scanjet 6200C

HP ScanJet 6200C mengimbas dengan baik tanpa melalui prosedur yang susah. Pengimbas ini sesuai digunakan di pejabat di mana banyak dokumen perlu diimbas, memerlukan kualiti yang tinggi serta kawalan imej yang tinggi. Kombinasi mudah guna, kuasa dan kecanggihan kualiti imbasan pada harga yang berpatutan membuatkan pengimbas ini dipilih oleh Majalah PC sebagai pemgimbas pilihan.

Resolusi imbasan 6200C adalah baik dan mampu memperincikan skala imbasan kepada bit yang tertinggi. Pemacu 6200C menawarkan kebijaksanaan automasi dengan memudahkan imbasan dan buku panduan yang terperinci. Anda juga boleh mengubahsuai bayangan, midton dan warna secara individu. Menu Tools juga mudah digunakan dan pengguna baru tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk menggunakannya.

Perisian yang disediakan adalah Adobe PhotoDeluxe (suntingan imej) dan OmniPage LE (OCR). Ia juga mempunyai ScanJet Copy Utility yang boleh menukarkan pengimbas dan pencetak kepada sebuah mesin fotokopi. Dengan kualiti foto yang baik dan harga yang memuaskan, 6200C adalah antara pengimbas yang terbaik keluaran HP setakat ini.

Mustek Paragon PowerPro

Pengimbas Paragon PowerPro adalah sebuah pengimbas yang mampu menghasilkan kualiti imbasan yang beresolusi tinggi. Ia mempunyai saiz yang besar dan berat sesuai untuk imbasan yang terbaik. Ia mempunyai pembentuk profil yang sesuai dengan pengimbas dan boleh disesuaikan dengan pencetak dan monitor. Pemasangan adalah mudah dan cepat serta ia mempunyai bebutang ujian bagi menentukan kualiti gambar. PowerPro mempunyai resolusi optik yang tinggi dan memberikan kualiti yang diminati oleh para profesional.

Perisian yang dimasukkan dalam pakej ialah Picture Publisher 5.0 dan 6.0, versi awal Adobe Acrobat, iPhoto Plus 1.2, iPhoto Plus 4.0a dan perisian TextBridge Classic OCR. Ia juga menggunakan Color Match Mustek dan pilihan Color Balance untuk meningkatkan kontras, menajamkan warna dan meningkatkan imbangan warna. Mustek PowerPro adalah sebuah pengimbas yang berkuasa tinggi dan sesuai untuk pereka grafik.

AGFA DuoScan T1200

AGFA DuoScan T1200 sesuai digunakan oleh grafik artis professional, dan harganya juga memuaskan. Sayang sekali kualiti imej kurang baik dan menggunakan sebuah set perkakasan imej dalam perisian pemacu asal pengimbas. Perisian FotoLook AGFA menawarkan warna yang menarik dan ia boleh dicampur aduk. Pengguna biasa juga boleh menggunakan T1200 dengan mudah walaupun kawalannya tidak ramah pengguna.

Kualiti imej adalah memuaskan walaupun ia tidak sebaik HP Scanjet 6200C. Dengan penggunaan penyunting imej seperti Photoshop ia membolehkan anda mengubah suai pada sebarang kawasan pada imej. Ia mempunyai resolusi yang baik dan mempunyai julat dinamik yang baik. Perisian yang disediakan bersama ialah ColorTune 3.0, iaitu sebuah utiliti pengurusan untuk membuat profil ICC. T1200 adalah sesuai untuk pengguna yang biasa dan professional.

CanoScan FB 320P

Pengimbas berasaskan CIS iaitu Canon CanoScan FB 320P mempunyai saiz 2.5 x 10 x 15 inci dan ia mempunyai harga yang murah. Kualiti imej adalah sederhana dan imej imbasannya adalah gelap dan kontrasnya terlalu lemah. Output imej juga agak sederhana bagi kertas biasa dan kertas foto. Julat dinamik resolusi juga adalah rendah dan keputusan ujian warna merupakan yang terlemah.

Ia menggunakan perisian pemacu yang sama dengan pengimbas CanoScan yang lain termasuklah ciri pengubahsuaian imej. TextBridge Plus merupakan salah satu perisian yang dimasukkan dalam 320P. Teknologi pengenalan aksara optikal atau OCR (optical character recognition) pengimbas ini mempunyai 90% ketepatan. Ia merupakan pengimbas yang bersaiz kecil dan ringan sesuai dengan ciri-cirinya juga yang agak sederhana.

Pilihan Majalah PC

HP ScanJet 6200C

Sebuah pengimbas (scanner) yang teguh, mudah digunakan untuk penggunaan harian. Pengimbas HP ScanJet 6200C, merupakan pilihan pengarang Majalah PC untuk perkakasan pengimbas. Ia mempunyai bentuk yang menarik dan menawarkan dua jenis sambungan iaitu SCSI dan USB. Ia juga mempunyai perisian pemacu yang menawarkan imbasan satu bebutang dan juga kawalan imbasan imej yang canggih. Output imbasan adalah yang terbaik antara kelima-lima pengimbas yang direviu.