Make your own free website on Tripod.com
F-22 Lightning III

NovaLogic merupakan salah sebuah syarikat yang mula-mula mengeluarkan permainan simulasi penerbangan dan antara permainannya yang terkenal ialah Comanche. Kini NovaLogic telah mengeluarkan sebuah permainan kapal terbang perang F-22 Lockheed iaitu salah sebuah pesawat perang yang terbaik buatan Amerika Syarikat.

Permainan F-22 Lightning III adalah sebuah permainan yang ringkas dan menghidangkan sebuah simulasi yang mudah. Anda boleh menetapkan resolusi skrin sehingga 1024x768 namun begitu resolusi 800x600 sudah mencukupi untuk pengguna kad 3D. Walaupun ia berfungsi dengan baik tetapi menghasilkan kesan khas cuaca seperti kabus, hujan, salji ribut petir yang agak lemah. Dalam keadaan apa pun rupabentuk pesawat adalah memuaskan dan memaparkan lanskap yang jelas.

Kepermainan F-22 ini telah dipermudahkan dan senang untuk dipelajari. Kawalan yang disediakan adalah piawai dan diciplak daripada permainan simulasi penerbangan NovaLogic yang terdahulu. Beberapa perintah tambahan telah ditambah dan ia memperkenalkan kombinasi kekunci yang menggunakan kekunci Ctrl. Anda boleh membentuk sendiri kawalan pada papan kekunci atau kayu bedik menurut kehendak anda. Pada mulanya, anda akan berada pada kedudukan pandangan “cockpit” tetapi anda juga boleh memilih pandangan luar kapalterbang seperti pandangan sasaran dan paparan radar.

Misi-misi yang anda perolehi adalah berbentuk objektif dan anda hendaklah terbang ke sasaran menurut laluan anda sendiri serta pulang semula setelah anda melengkapkan misi anda itu. Antara misi yang terdapat ialah meletupkan bangunan, menembak jatuh pesawat musuh atau membantu rakan anda yang diserang musuh. Anda juga akan diberikan kelengkapan senjata yang secukupnya seperti senapang 20mm Vulcan Gatling, roket, pelbagai jenis bom dan bom nuklear jatuh bebas B61 10-kiloton. Semua tembakan dan roket yang anda lepaskan pasti akan menepati sasaran kerana perisian akan membantu anda menghalakannya dengan tepat.

Terdapat tiga mod permainan dalam F-22 iaitu misi, kempan dan pelbagai pemain. Dalam mod misi, anda akan diberikan satu set latihan dan 22 buah misi situasi yang dijalankan di beberapa tempat seperti Nevada dan Eropah. Anda juga boleh merekabentuk misi anda sendiri dengan menggunakan penyunting misi yang disertakan dengan perisian permainan ini.

Dalam mod kempen pula terdapat enam kempen yang menyediakan 46 misi kesemuanya. Kempen ini meliputi beberapa negara seperti Libya, Chad, Indonesia, Syria dan Kola Peninsula. Kempen-kempen ini juga mempunyai tahap kepayahan yang berbeza tetapi semua kempen-kempen yang disediakan adalah tidak sukar untuk diselesaikan.
 
 

Mod pelbagai pemain pula adalah sebuah ciri yang memerlukan anda memasuki pelayan Internet NovaWorld.net. Setelah anda berjaya memasukinya, anda perlu memilih salah satu daripada tiga jenis permainan iaitu Deathmatch, RAW, dan Cooperative. Deathmatch adalah sebuah permainan yang mempunyai pelbagai jenis senjata dan jumlah peluru tanpa had. RAW pula adalah untuk mengebom pengkalan musuh sebelum pengkalan anda dibom oleh musuh dan Cooperative pula membenarkan anda bergabung dengan tujuh pemain lain dalam sebuah misi khas. Jika anda mempunyai mikrofon, anda boleh menggunakan teknologi Voice-Over-Net untuk berkomunikasi dengan pemain lain ketika bermain.

Secara keseluruhannya F-22 adalah sebuah simulasi yang agak baik serta perisian yang memuaskan. Permainan ini sebenarnya lebih kepada aksi peperangan daripada simulasi sebenar dan bagi sesetengah pemain ia adalah sesuatu yang menarik. Ia juga menyediakan pelbagai jenis kempen dan misi yang membolehkan anda bermain berulang kali tanpa merasa bosan. Ciri pelbagai pemain dalam F-22 juga berfungsi dengan lancar dan kepermainannya tidak menghadapi sebarang masalah.
 
Pro :  Grafik dan lanskap yang baik  Kontra : Kepermainan yang tidak realistik Kehendak sistem minima :Pentium II 266MHz, 32MB RAM, 220MB ruangan cakera keras, 8x pemacu CD-ROM, kayu bedik dan sistem multimedia yang baik.