Make your own free website on Tripod.com

Jeff Gordon XS Racing

Jeff Gordon merupakan seorang pelumba NASCAR yang terkenal dan ia pernah menjadi model iklan dalam iklan ESPN dan banyak lagi komersial lain. Nampaknya sekali lagi Jeff Gordon menjadi model tetapi kali ini dalam sebuah permainan komputer iaitu Jeff Gordon XS Racing. Syarikat ASC Games dan Real Sports telah mengeluarkan sebuah permainan perlumbaan arked yang cantik, mudah dimainkan dan mampu membuatkan anda ketagih. Walaupun Jeff Gordon adalah pelumba NASCAR tetapi permainan ini tidak ada langsung kena mengena dengan NASCAR kerana ia menggunakan kereta futuristik.

Kereta yang disediakan adalah berbentuk aerodinamik dan berwarna-warni serta anda akan berlumba dengan 39 pelumba dalam 10 litar. Manakala litarnya pula mempunyai rekabentuk yang agak menarik dan mempunyai banyak selekoh lebar. XS Racing membenarkan anda melanggar dan menghentam kenderaan lain dalam usaha untuk menang. Setiap kereta dalam XS Racing mempunyai keupayaan untuk membaiki kerosakan sendiri kerana ia dibuat daripada polimer khas yang boleh membentuk semula kereta anda jika dilanggar atau melanggar. Namun begitu anda tidak akan perasan bila kereta anda itu dibaiki kerana anda akan berlumba dengan kelajuan 300 batu sejam.

Terdapat dua jenis pilihan perlumbaan iaitu kejohanan atau perlumbaan individu dalam mod arked. Dalam mod kejohanan anda hendaklah memilih kereta dan penaja dan cuba menamatkan 10 perlumbaan dengan mendapat tempat pertama untuk memenangi keseluruhan kejohanan. Anda boleh menukar kereta di antara satu perlumbaan dengan satu perlumbaan yang lain kerana litar yang lain memerlukan kereta yang berlainan. XS Racing juga menyediakan beberapa kereta tambahan jika anda berjaya mendapatkan kejayaan dalam beberapa litar tertentu. Kereta-kereta ini juga mempunyai kepak yang membolehkannya terbang untuk melepasi halangan kenderaan yang perlahan di hadapan.

Setelah anda melengkapkan satu kejohanan, anda akan terus pergi ke kejohanan kedua di mana kali ini Jeff Gordon akan menjadi lawan anda. Dalam kejohanan kedua ini masih terdapat 40 pelumba termasuk anda dan Jeff. Bila berlumba dengan Jeff yang akan menggunakan kereta berwarna merah, cabarannya adalah lebih tinggi kerana Jeff lebih agresif. Contohnya pada trek Cloverleaf, Jeff akan menggunakan jalan pintas dengan kelajuan yang tinggi dan ini tidak akan dilakukan oleh lawan-lawan anda semasa dalam kejohanan pertama. Jika anda dapat menewaskan Jeff, maka anda akan bertemu semula dengan Jeff dalam kejohanan ketiga dan kali ini hanya anda dengan Jeff sahaja dan tiada kereta lain.

XS Racing memaparkan skrinnya pada resolusi 640x480 dan ini merupakan paparan yang kurang baik untuk sebuah permainan arked seperti XS Racing. Lebih-lebih lagi pemain yang mempunyai kad paparan yang canggih dan monitor yang besar. Pada saya adalah lebih baik ia menggunakan paparan 800x600 jika tidak mampu mencapai resolusi 1024x768.

Kesan bunyi XS Racing adalah memuaskan dan muzik latarnya pula adalah menyerupai muzik tekno bercampur heavy metal. Sayangnya muzik latar ini agak pendek dan terdapat pengulangan jika anda masih berlumba dalam litar yang sama. Oleh kerana permainan ini menggunakan konsep CD Audio maka tiada sebarang pemberhentian dibenarkan.

XS Racing adalah sebuah permainan yang bagus dan menyeronokkan. Permainan ini telah mendapat markah yang amat tinggi dari segi grafik, kesan bunyi dan kepermainan. Jika anda ingin mengubah angin kepada sebuah permainan perlumbaan yang membolehkan anda berlanggar tanpa sebarang kerosakan, dapatkanlah XS Racing.

Yang menarik : Menyeronokkan. Kepermainan. Grafik, kesan bunyi dan muzik latar. Berlumba dengan 40 orang pelumba.
Yang kurang menarik : Tiada pause. Paparan 640x480 sahaja.

Kehendak sistem minima : Pentium Celeron 233, 32 MB RAM, pemacu CD-ROM 20x, kad video 2MB VRAM, papan kekunci, kayu bedik dan sistem multimedia.