Make your own free website on Tripod.com

Dungeon Keeper 2

Dungeon Keeper yang pertama merupakan sebuah permainan strategi di mana anda memegang watak jahat dan cuba memusnahkan sesiapa sahaja yang dianggap musuh. Walaupun ia dianggap antara yang terbaik, versi pertamanya kurang memuaskan dari segi grafik dan kesan bunyi. Oleh itu Dungeon Keeper 2 telah diubahsuai untuk melengkapi sebarang kekurangan atau kelemahan yang ada pada versi pertama. Dengan peningkatan paparan yang terperinci dan rekabentuk yang lebih baik maka Dungeon Keeper 2 diharapkan berjaya menyaingi kualiti versi yang pertama. Dengan itu sekarang mari kita lihat aksi Dungeon Keeper 2 dalam reviu di bawah dan anda boleh buat keputusan sendiri.

Dungeon Keeper 2 masih membawa rekabentuk yang kurang menakutkan tetapi kali ini ia sudah dipertingkatkan dengan amat baik sekali. Kali ini pencahayaan telah dilakukan dengan baik dan keadaan sekeliling juga telah berjaya diwarnakan dengan memuaskan. Tekstur yang digunakan untuk tembok dan terowong adalah lebih cantik dan ini membuatkan suasana permainan lebih dramatik. Semasa anda menjelajah dalam Dungeon Keeper 2, anda akan bertemu dengan pelbagai watak yang ganjil serta menakutkan seperti Wimpy, Wiry Goblins, Skeletons, Trolls, Vampires dan Dark Angels. Semua watak ini mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing dan tindakan mereka biasanya agak melucukan.

Kesan bunyi Dungeon Keeper 2 juga telah dipertingkatkan dan secara keseluruhannya bunyi yang dihasilkan adalah baik. Namun begitu terdapat beberapa kelemahan pada sebahagian daripada kesan bunyinya kerana ia akan mengeluarkan bunyi yang berlainan daripada yang sepatutnya. Contohnya Vampire akan mengeluarkan sebuah bunyi hentakan ketika terbang atau Trolls bercakap dalam cara yang langsung tidak dapat difahami. Kemudian muzik latar yang dipaparkan oleh Dungeon Keeper 2 adalah dalam bentuk muzik tekno yang mungkin tidak sesuai dengan zaman permainan ini. Ia juga mempunyai suara latar belakang yang garau dan menakutkan yang akan memberitahu anda sebarang maklumat yang anda perlukan ketika menjelajah sesuatu tahap itu.

Kepermainan dalam Dungeon Keeper 2 tidak banyak berubah berbanding dengan yang asal. Ia juga tidaklah terlalu terbuka seperti yang dijangkakan kerana ia masih tidak fleksibel. Apabila anda membina rumah atau bangsal saiz bilik atau ruangan akan dibina dengan menggunakan blok yang berbentuk empat segi sama. Dengan itu anda boleh mengerahkan para pekerja anda untuk bekerja dengan lebih pantas. Lama kelamaan anda akan menjadi bosan kerana tugas anda hanya tertumpu kepada pengerahan tenaga. Seterusnya anda sentiasa berharap yang anda akan mempunyai kuasa yang lebih daripada yang sedia ada.

Setelah berjaya membina bangunan dan empayar pada sesuatu kawasan, anda pasti akan bertemu dengan pihak musuh yang berdengki atau sentiasa bermusuh dengan anda. Peperangan yang direka dalam permainan ini telah mengambarkan bahawa terdapat beberapa kelemahan pada gerombolan askar anda. Mereka sentiasa mendedahkan diri mereka kepada bahaya dan adakalanya mereka lari bertempiaran jika pihak musuh semakin hampir. Sepatutnya askar-askar ini bertindak dengan lebih berani dan mempertahankan kubu mereka walaupun mereka akan mati. Dengan itu anda diberi peluang untuk memasang jerat dan jerangkap samar supaya kekuatan anda kembali seimbang dengan musuh anda.

Dungeon Keeper 2 merupakan sebuah permainan yang baik tetapi terdapat beberapa kecacatan yang kurang menyenangkan. Antaranya ialah tiada watak baru diperkenalkan, kepermainan yang mudah dan tiada elemen baru dimasukkan ke dalam ciri permainannya.  Jika anda pernah bermain Dungeon Keeper pertama maka anda akan berasa kecewa sedikit dengan Dungeon Keeper 2. Anda boleh mencubanya jika anda mahu, bagi saya mungkin tidak.

Yang menarik : Menyeronokkan. Peningkatan yang baik. Anda sebagai orang jahat.
Yang kurang menarik : Persamaan yang ketara dengan Dungeon Keeper asal. Perisiannya agak perlahan.
Kehendak sistem minima : Pentium II 266MHz, 64 MB RAM, 16X kelajuan CD-ROM, paparan SVGA dengan 2MB VRAM, ruangan cakera keras 300MB dan sistem multimedia.