Make your own free website on Tripod.com
Sports Car GT

Pada penghujung tahun 1998, permainan Sports Car GT telah diwar-warkan sebagai sebuah permainan bakal menyaingi NFS3. Ketika itu terdapat suara yang pesimis mengenai kebenaran kata-kata ini. Namun begitu apabila permainan ini telah dikeluarkan baru-baru ini, ramai para peminat permaina perlumbaan memuji permainan ini.

Permainan yang dimaksudkan ialah Sports Car GT iaitu sebuah permainan simulasi perlumbaan “endurance” yang menyerupai TOCA 2. Perlumbaan ini adalah berdasarkan kepada kepantasan mengejar masa dan bukan jumlah pusingan yang dilakukan. Sports Car GT mempunyai tiga mod permainan iaitu Single Player, Championship dan Multiplayer dimana semua mod ini mempunyai kaitan antara satu dengan yang lain. Contohnya dalam Single Player anda hanya boleh menggunakan tiga kereta sahaja. 

Untuk mendapatkan pilihan yang lebih menarik anda hendaklah memenangi perlumbaan dalam mod Championship dahulu dan kemudian menggunakannya dalam mod Single Player.Pada mulanya anda akan diberi tiga kereta pilihan yang mempunyai spesifikasi asas. Dengan kereta ini anda akan mendapat mata kredit jika anda memenangi setiap perlumbaan yang anda masuki. Mata-mata yang dikumpulkan ini membolehkan anda membeli perkakasan kereta untuk meningkat upaya kereta yang anda ada sekarang. Perkakasan yang dimaksudkan ialah Turbo-Chargers, Intercoolers, Braking Systems dan Body Modifications. Setiap peningkatan upaya mempunyai kos yang berbeza contohnya Turbo-Charger yang berkos 50,000 kredit mempunyai kuasa yang lebih tinggi daripada Turbo-Charger yang berkos 10,000 kredit. Semua kereta boleh diubahsuai tetapi tidak semuanya boleh dikendalikan dengan realisitik seperti NFS.

Ia mempunyai siri kereta yang dibahagikan kepada empat kategori. Lebih tinggi kelas anda dan lebih tinggi kereta yang bakal anda pandu. Kategori paling rendah ialah GTQ di mana ia mempunyai kereta kuasa yang rendah, kendalian yang mudah dan hanya mampu mencapai 250 bhp. Tahap seterusnya ialah GT3 dan GT2 yang mana ia mempunyai kereta yang berkuasa lebih tinggi berbanding dengan kereta-kereta GTQ. Apabila anda berjaya melengkapi ketiga-tiga tahap tadi maka anda akan menjejakkan kaki kepada tahap GT1. Pada tahap ini, anda akan mendapat kereta-kereta idaman anda seperti Mercedes CLK GTR, Panoz GT1, Mosler Raptor, Porsche GT1 dan Lister Storm GT1.

Tujuan Sports Car GT menyusun corak permainan seperti ini adalah untuk membolehkan pemain menyesuaikan diri dan belajar cara untuk mengawal kereta dengan lebih baik. Lebih-lebih lagi jika anda mencapai tahap GT1, anda perlu memandu kereta anda dengan lebih laju iaitu melebihi 900bhp dan juga dapat mengawal kereta anda daripada berpusing atau kemalangan.
Grafik yang dipaparkan oleh Sports Car GT adalah memuaskan dan menggunakan teknik grafik yang inovatif yang tidak boleh didapati pada permainan lain sebelum ini. Contohnya tayar kereta itu akan kelihatan seperti 3D dan tidak sekadar gambar yang mendatar walaupun kereta itu dipandu pada kelajuan 100 batu sejam. Kesan bunyi seperti kesan brek, deruman enjin kereta anda dan kereta lawan, hentaman kereta dan kemalangan dapat didengar dengan jelas. Walaupun ia mempunyai lagu latar yang berubah pada setiap litar namun ia tidak menganggu kesan bunyi yang lain. Malah bunyi seperti kesan brek juga mempunyai variasi dan berubah-berubah daripada satu selekoh ke satu selekoh yang lain. Cara ini akan menambahkan kadar realistik kepada Sports Car GT.
Sports Car GT merupakan sebuah permainan yang memuaskan jika menurut keseluruhan struktur permainannya. Ia mempunyai gabungan kepermainan arked dan simulasi serta penggunaan pelbagai jenis kereta yang mempunyai keupayaan yang berbeza. Kedua-dua mod permainan iaitu Single Player dan Multiplayer dalam Sports Car GT adalah menarik. Malah permainan ini juga boleh membuatkan anda tidak mahu bangun daripada kerusi anda!

Yang menarik : Grafik, kepermainan, mod permainan, kepelbagaian kereta dan kesan bunyi.
Yang kurang menarik : Mod perlumbaan Single yang rumit dan corak mendapatkan kenderaan yang unik.
Spesifikasi minima sistem : Komputer Pentium 200, 32MB RAM, 8x CD-ROM, 320MB ruangan cakera keras, kad grafik 3D dan sistem multimedia yang baik.