Make your own free website on Tripod.com
Corsairs

Permainan Corsairs telah dihasilkan oleh Microids dan ia merupakan sebuah permainan strategi yang mengisahkan peperangan di zaman peperangan Perancis dan Britian pada pertengahan abad ke 19. Anda akan memegang watak sebagai seorang nakhoda dan mengetuai armada anda untuk menakluk sesuatu pengkalan atau mendapatkan harta karun. Anda akan diberi dua watak pilihan iaitu Cartier (Perancis) dan Captain Blood (Britain) dan memulakan pelayaran dengan kapal laut anda dengan membawa sebuah kertas yang mengandungi misi-misi anda.
 
Tugas pertama anda ialah untuk membentuk sebuah angkatan laut yang baik, setelah itu memulakan pelayaran dengan lebih jauh lagi. Ini boleh dicapai setelah anda berlabuh di salah sebuah pusat perdagangan dan membina sebuah penempatan di sana. Setelah itu anda boleh memilih salah satu daripada 12 kapal yang disediakan di mana setiap satunya berbeza dari segi bilangan meriam, jumlah muatan, bilangan anak kapal, kelajuan dan ketahanan.

Untuk mendapatkan sebuah kapal yang lengkap, anda perlu membayar dengan harga yang tinggi. Walaupun wang anda telah kehabisan wang ketika membeli kapal tetapi anda pasti akan mendapat pulangan apabila berjaya menjual barangan seperti sutera, kopi, tebu, barang kemas dan herba atau terjumpa harta karun di tepi pantai. Setelah berjaya membentuk sebuah armada, kini sudah sampai masanya untuk anda menjalankan misi-misi seperti berperang dengan lanun, menyerang pusat perdagangan musuh dan mencari harta karun.
 

Grafik, kesan bunyi dan antaramuka

Saya tertarik dengan jalan ceritanya ketika membaca daripada sebuah majalah permainan komputer. Corsairs adalah sebuah permainan strategi yang dinamik tetapi rekabentuk produksi permainan ini agak mengecewakan, kerana ia berasaskan lukisan kartun yang kurang artistik. Microids mungkin cuba meletakkannya sebagai sebuah permainan yang menggunakan kartun artistik tetapi ia gagal. (Maksud artistik di sini ialah kartun yang dilukis seperti Batman atau X-Men). Kesan bunyi dalam Corsairs seperti peperangan, suara watak-watak dan muzik latar agak mengecewakan kerana ia kurang jelas dan agak hambar. Namun begitu saya akui bahawa muzik latarnya agak menarik dan sesuai dengan jalan cerita Corsairs.
 
Antaramuka Corsairs juga adalah satu lagi bahagian yang telah melumpuhkan permainan ini. Antaramuka dalam Corsairs banyak melakukan pengulangan sehinggakan anda boleh merasa bosan. Contohnya anda perlu berlabuh sebanyak dua kali untuk membolehkan anda menjual atau membeli dengan banyak kerana perlabuhan pertama membolehkan anda menjual sebahagian sahaja barang dagangan anda. Kemudian anda perlu melakukan pemunggahan menurut sukatan yang telah ditetapkan, contohnya jika anda mempunyai 55 tan tebu, anda perlu mengklik tetikus anda sebanyak 55 kali sehingga semua tebu itu habis dipunggah. Bayangkan jika anda mempunyai 2000 tan barangan, anda perlu mengklik sebanyak 2000 kali!

Semasa berperang juga tidak realistik kerana watak-watak tidak dapat bergerak dengan lancar walaupun di bawah kawalan pemain. Contohnya anak kapal anda, tidak dapat bertindak dengan pantas semasa diserang musuh sehingga membuatkan anda cemas. Enjin perisiannya juga tidak dapat membezakan kelajuan antara kapal-kapal yang disediakan kedua-dua buah kapal itu tidak jauh berbeza di antara satu sama lain.

Corsairs adalah sebuah permainan strategi yang agak mengecewakan kerana terdapat kelemahan ketara dari segi grafik, kesan bunyi dan antaramuka. Keseluruhan permainan ini tidak mampu memberikan kepuasan kepada saya atau peminat permainan strategi yang lain walaupun ia mempunyai jalan cerita yang baik.
 
Pro :  Jalan cerita yang menarik.  Kontra : Grafik, kesan bunyi dan antaramuka yang lemah.  Kehendak sistem minima : Pentium 233MHz, 32 MB RAM, 8x kelajuan CD-ROM, mod video VGA dengan 4MB memori video, 100MB ruangan cakera keras, tetikus dan sistem multimedia.