Make your own free website on Tripod.com
Oni

Permainan ini disetkan pada tahun 2032 dan sebuah gabungan yang dipanggil sebagai The World Coalition Government telah menguasai 80% daripada seluruh dunia dan mampu mengecam kedudukan anda di mana sahaja. Dengan keadaan begini terdapat dua kumpulan manusia iaitu yang berada di kawasan mewah dan bebas, manakala yang kedua pula berada di kawasan bertoksik yang dikuasai oleh sekumpulan manusia yang dikenali sebagai Syndicate yang diketuai oleh Boss Muro.

Anda sebagai Konoko yang tidak mengenali siapakah dirinya yang sebenar dan apakah tujuan sebenar beliau berada di situ. Dengan dikelilingi oleh kejahatan dan kepincangan anda hendaklah mendapatkan maklumat mengenai diri anda dan menentang kejahatan untuk mengembalikan kemanusiaan.

Oni merupakan sebuah permainan aksi seorang pemain yang dipengaruhi oleh siri animasi Jepun seperti Akira dan Samurai-X. Namun begitu yang paling utama ialah kelancaran, animasi dinamik, aliran pertarungan yang menarik dan jalan cerita yang baik.

Konoko mahir dalam seni mempertahankan diri dan penggunaan senjata api. Tugas anda ialah menuntun Konoko melalui beberapa siri jalanan dan menentang musuh yang dihadapi. Sepanjang perjalanan anda akan berdialog dengan watak-watak lain atau mendapatkan klu berteks bagi meneruskan perjalanan anda. Setiap dialog dan watak adalah lancar serta disesuaikan dengan personaliti setiap watak dengan baik.

Animasi permainan adalah baik terutamanya semasa bertarung. Konoko bergerak dengan realisitik ketika menyepak, meloncat, menumbuk, berguling dan menahan pukulan. Terdapat juga beberapa pergerakan yang sukar dan kombinasi pergerakan seperti "backbreaker" dan "chockhold". Pergerakan-pergerakan ini sungguh menarik dilihat dan ia menyerupai aksi filem kung-fu.

Watak-watak jahat dalam Oni adakalanya kelihatan lebih menarik daripada Konoko. Ada di antara musuh memakai baju ala Matrix lengkap dengan baju kalis peluru dan topi atau topeng. Bagi Konoko pula beliau mempunyai beberapa pasang pakaian yang akan ditukarganti sepanjang perjalanan, malangnya ia tidak secanggih pakaian musuh-musuhnya.

Oni mempunyai kesan visual yang cantik dan mempunyai aksi sekeliling yang memuaskan contohnya kesan pecahan kaca yang bertaburan. Rupabentuk dan aksi Konoko dan musuh-musuhnya juga kelihatan baik dan mempunyai variasi tekstur serta pencahayaan bagi memberikan kesan dramatik kepada suasana permainan.

Sepanjang perjalanan Konoko juga akan berhadapan dengan beberapa laluan dan jalan yang berliku di samping cerita yang berpusing-pusing. Anda mungkin akan berasa bosan tetapi sebenarnya itulah ciri permainan Oni yang menyediakan cabaran yang maksimum kepada anda. Tahap permainan pada Oni juga berubah-ubah dan ada di antara tahap permainan yang telah diubahsuai dengan tidak menarik. Adakalanya anda akan berasa hairan dan bingung mengenai kedudukan anda dalam permainan kerana kesinambungan permainan agak lemah.

Akhirnya Oni telah menjadi sebuah permainan yang hanya mampu memberikan 50% kepuasan kepada pemainnya. Sistem pertarungan dalam Oni adalah baik berbanding dengan permainan tetapi ia telah dicacatkan oleh kelemahan kesinambungan tahap dan pencirian permainan. Oni masih mampu menarik perhatian pemain yang menyukai siri animasi Jepun dan grafik yang menarik. Bagi anda yang ingin mencuba tidak salah untuk mendapatkan Oni.

Spesifikasi sistem (minima) : Pentium II 266MHz, 64 MB RAM, 20X CD-ROM, pencepat 3D, 4MB VRAM, 800 MB ruang cakera keras, kad bunyi dan DirectX v7.0a.
Positif : Sistem pertarungan yang baik
Negatif : Tiada penyimpanan tahap permainan. Rekabentuk tahap permainan yang ketinggalan.