PC Nasional perlu sokongan pengguna tempatan

Bagi kebanyakan pembaca, nama PC Malaysia Berhad (PC Malaysia) sama sekali baru dalam industri teknologi maklumat (IT) tempatan, bahkan nama ini mungkin terlalu asing bagi sesetengah orang. Sungguhpun begitu syarikat ini telah mendapat sentuhan ‘hikmat’ daripada Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Zulkifli Amin Haji Mamat yang berwawasan besar untuk meletakkan PC Malaysia sebaris dengan pengeluar PC yang sudah ternama di persada antarabangsa. Beliau turut berharap komitmen syarikat pimpinannya sebagai pengeluar PC Nasional mendapat sokongan padu para pengguna di negara ini. Walau bagaimanapun usaha untuk memperkenalkan PC tempatan kepada para pengguna yang sudah selesa dengan barangan import bukanlah mudah. Namun, dengan berpegang kepada prinsip sentiasa bersikap positif, terus mendorong ahli perniagaan ini untuk merealisasikan wawasan besar syarikat pimpinannya.

Dalam satu pertemuan dengan wakil Majalah PC baru-baru ini, beliau telah mengutarakan beberapa ‘formula’ yang dianggap berkesan untuk digunapakai dalam menjayakan wawasan tersebut. Ketika membuka tirai perbualan, beliau secara bersungguh menceritakan penubuhan PC Malaysia yang telah diperbadankan untuk menjadi sebuah syarikat pengeluar PC nasional. Idea ini muncul apabila inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) yang sering dicanangkan, dirasakan tidak sempurna tanpa wujudnya sebuah PC keluaran tempatan. Tambahan pula PC klon yang sedia ada ketika ini masih bermutu rendah dan sesiapa sahaja boleh memasangnya dengan membeli komponennya dari kedai-kedai komputer. “Kewujudan PC Nasional yang memakai jenama PC Suria adalah matlamat utama kami.

Memandangkan projek ini sebuah projek nasional, maka kami telah mewujudkan sebuah syarikat berhad di mana pihak yayasan dan kerajaan negeri boleh menanam modal. Strategi ini adalah untuk memastikan syarikat ini menjadi sebuah institusi yang lebih teguh, terutamanya segi modal dan kemampuan dalam perlaksanaan projek tersebut”, ujar beliau ketika mengulas rasionalnya penubuhan syarikat PC Malaysia Berhad. Kesedaran bertapa perlunya mewujudkan sebuah PC Nasional yang boleh dibanggakan samada di peringkat tempatan mahupun luar negara, menjadi pendorong utama beliau untuk membabitkan diri dalam projek ini. Perniagaan bagi Zulkifli bukanlah sesuatu yang baru, malah bidang mencabar ini telah diceburinya sejak 15 tahun yang lalu. Di sepanjang kerjaya, beliau pernah menanggung kerugian besar tetapi dengan kecekalan seorang usahawan tulen akhirnya beliau berjaya meneruskan langkah sehingga ke tahap ini. “Kami sering berfikiran positif kerana negara kita sendiri mampu membina lapangan terbang KLIA, menara berkembar Petronas di KLCC dan Putrajaya sedangkan sesetengah negara maju tiada bangunan dan infrastruktur seperti itu.

Dengan berpegang kepada prinsip inilah, kami di PC Suria yakin akan berjaya dalam projek ini. Jika kami berpeluang melangkah ke luar negara sekalipun, kami akan mengikuti jejak syarikat Proton dengan mengadakan kilang pemasangan PC di negara berkenaan”, tambah beliau sambil membayangkan akan berlakunya pemindahan idea dan teknologi tempatan ke negara tersebut selain pengadaptasian pelan pemasaran yang bakal diwujudkan. Apabila diminta mengulas mengenai idea PC nasional, ahli perniagaan dalam lingkungan usia pertengahan ini berpendapat bahawa, jika terlalu banyak PC klon di pasaran yang kualitinya tidak menepati kehendak pengguna, lambat laun akan memberikan kesan negatif kepada negara. Tidak mustahil jika suatu hari nanti, Malaysia dilabel sebagai pengeluar PC klon terbesar dan negara lain akan memandang rendah keupayaan kita. Dengan kewujudan inisiatif PC nasional sekurang-kurangnya dapat menghindarkan perkara ini. “Soal pengiktirafan dan pengeluaran PC Suria adalah tertakluk kepada piawaian kita. Ini untuk memastikan ia mampu bersaing dengan produk-produk dari pengeluar lain termasuklah yang sudah ternama seperti Dell dan Compaq.

Mengenai rancangan pemasaran ke seluruh negara, kami akan melantik 200 pengedar di setiap bandar kecil dan besar, bergantung kepada faktor demografik”, kata beliau. Manakala pasaran SOHO yang turut membabitkan pelajar, kakitangan kerajaan dan ibubapa bakal menjadi tumpuan produk ini. Disebabkan produk berjenama PC Suria diberi penekanan, maka kedai-kedai PC Suria dikehendaki menjual komputer tersebut dan produk-produk yang berkaitan dengannya sahaja. Bagi peranti tambahan seperti pencetak, kabel, dan pengimbas akan ditempah terus daripada pengedar utamanya dan ia akan dilabelkan sebagai ‘dibuat untuk PC Suria’. Langkah ini untuk memastikan kualiti produk yang dijual lebih terjamin. “Kami juga mencari produk yang sinonim dengan nama PC Suria khususnya yang dapat menyatukan idea dan menambah nilai kepada PC tersebut. Contohnya penjualan PC Suria boleh dipakejkan bersama naskah Majalah PC. Malahan kami turut merancang untuk menubuhkan rangkaian kafe siber yang menggunakan nama Suria dan kami akan memberikan pinjaman sepenuhnya kepada para pengusaha yang berminat”, kata beliau lagi yang turut percaya idea-idea tersebut mampu memberikan satu kelebihan kepada PC Suria. Sebagai produk tempatan, syarikat ini telah merancang untuk membuat sendiri sebahagian daripada komponen PC tersebut seperti papan kekunci, tetikus, casing monitor dan casing untuk unit pemprosesan pusat (CPU). Manakala rekabentuk casing yang bakal dikeluarkan adalah berdasarkan kepada rekaan tempatan dan mencerminkan corak keMalaysiaan. Namun, beberapa komponen utama seperti papan induk, CPU dan RAM sahaja yang akan dibekalkan terus kepada syarikat ini daripada pihak pengeluarnya.

Menurut beliau lagi, syarikat-syarikat yang akan mengeluarkan komponen tempatan telah dikenalpasti dan ia merupakan anak syarikat PC Malaysia sendiri. Apabila kilang pengeluarannya yang bakal dibina di Cyberjaya mendapat status MSC, maka kilang-kilang tersebut akan disatukan di bawah satu bumbung. Ini membolehkan proses pengeluaran berjalan lebih lancar dan tempoh untuk sampai ke pasaran juga lebih singkat. Selain itu kawalan kualiti turut diperketatkan sebelum ia diedarkan menerusi PC Suria Sdn Bhd. Bagi memastikan pengguna meminati produk PC Suria, secara ringkas beliau telah menggariskan beberapa ciri penting. Antaranya tahan lasak dan kesesuaian pembuatan dengan cara penggunaan para pengguna komputer tempatan.

Selain itu pembelian PC Suria dengan pembiayaan sepenuhnya akan disediakan apabila 200 rangkaian pengedarnya di seluruh Malaysia telah dilantik. Tambahan pula khidmat lepas jualan yang akan dibekalkan kepada pengguna menerusi kakitangannya yang terlatih dalam semua peringkat. “Di Malaysia, masalah industri PC biasanya melibatkan perbezaan harga jualan. Dalam hal ini pihak pengeluar tidak dapat mengawal harga yang ditawarkan (pengedar atau penjual) kepada para pengguna akhir. Jadi, tidak hairanlah jika ada pembeli yang berasa tertipu apabila mendapati dua buah PC yang sama spesifikasinya ditawar pada harga yang jauh berbeza”.

Beliau turut melahirkan rasa kesalnya apabila penjual PC acap kali meletakkan harga yang tinggi, semata-mata untuk mengaut keuntungan yang lebih. Meskipun begitu, beliau percaya para pengguna tempatan semakin bijak membuat pilihan PC mengikut keperluan mereka. Apa yang menjadi batu penghalang ketika ini ialah rangkaian pengedar PC sedia ada sering menawarkan harga yang berbeza mengikut lokasi. Kata beliau, seorang pembeli mungkin mendapati harga sesebuah PC di Terengganu jauh lebih mahal berbanding harga PC di Kuala Lumpur. Menyedari hakikat ini, rangkaian PC Suria akan menjual produknya dengan harga yang seragam di seluruh negara. “Kami akui saingan dalam industri PC di negara ini terlalu hebat walaupun potensi pasarannya semakin membesar. Bayangkan sebahagian besar daripada seluruh penduduk Malaysia yang melebihi 20 juta orang, adalah golongan belia yang masih perlukan pendedahan IT”, tegas beliau ketika membayangkan bertapa besarnya potensi sesebuah perniagaan yang berteraskan IT di negara ini. Sebelum mengakhiri temubual singkat bersama Majalah PC, beliau turut menyatakan harapan syarikatnya agar projek yang sedang dilaksanakan ini mendapat sokongan padu dari seluruh rakyat Malaysia.

PC Malaysia Berhad
Level 35, Menara Shahzan Insas,
30, Jalan Sultan Ismail,
50250 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel : 603-2438000, 2489502
Fax : 603-2489605

(cover Majalah PC Ogos 1999 adalah Ketua Pegawai Eksekutif PC Malaysia Berhad, Tuan Haji Zulkifli Amin)