RealJukebox

RealNetworks telah melancarkan sebuah utiliti yang mengurus dan memainkan koleksi muzik digital anda seperti fail MP3 atau RAM digelar RealJukebox. Ciri-ciri lain ya ng terdapat pada RealJukebox ialah pemain CD, pengenkod MP3 dan pemain MP3. Perisian juga ini telah dimuatkan ke dalam perisian RealPlayer G2 versi terbaru.

Mula-mula RealJukebox kelihatan seperti sebuah pemain CD biasa, di mana apabila anda memasukkan CD audio ke dalam pemacu CD-ROM anda ia akan mula memainkan muzik. Jika anda telah bersambung dengan Internet maka ia akan pergi ke pengkalan data CDDB (CD database) dan mengambil maklumat lagu, artis, album dan genre ke dalam perisian pemain CD itu. Ini kerana RealJukebox mempunyai keupayaan untuk memastikan lagu yang dimainkan itu lagu asli atau tidak. Ia juga mempunyai ciri-ciri biasa sebuah pemain CD iaitu volum, aturan lagu dan paparan maklumat lagu.

RealJukebox juga akan bertindak sebagai sebuah perakam CD dan kemudian menukarkannya kepada format MP3 atau RealAudio. Ia menyediakan tiga jenis kualiti rakaman iaitu 56 Kbps, 64 Kbps, dan 96 Kbps. Rakaman pada 96 Kbps ia akan mengambil ruangan sebanyak lebih kurang 50MB untuk merakam sebuah CD yang mengandungi 12 buah lagu. RealJukebox juga boleh mengira berapa jumlah lagu yang boleh anda rakam melalui jumlah keluasan cakera keras yang anda ada.

Proses rakaman yang dilakukan adalah pantas walaupun anda menggunakan sebuah komputer yang mempunyai kuasa pemproses yang rendah. Pada rakaman 96-Kbps, RealJukebox melakukan rakaman dengan pantas berbanding dengan perakam lagu yang lain pada kelajuan yang sama. Jika menggunakan kelajuan yang lebih rendah, ia mampu merakam empat atau lima kali lebih pantas.

Apabila anda telah mengenkod lagu-lagu kegemaran anda, ia perlu diuruskan dengan baik. Pada RealJukebox terdapat ciri Music Library yang akan menyusun semua lagu anda menurut abjad, artis, album atau genre. Semua klasifikasi ini boleh disunting menurut kehendak anda. Anda juga boleh membina senarai mainan dengan mudah iaitu dengan “drag and drop”. Ia juga boleh mengimport senarai lagu M3U, PLS dan aliran CD.

Ciri ini juga boleh digunakan untuk semua lagu-lagu yang telah berada di dalam koleksi anda. Selain daripada MP3 dan RAM, RealJukebox juga boleh mengendalikan format-format fail seperti RA, RM, RMP, RMJ, dan fail WAV.

RealJukebox bukan sahaja akan menukar PC anda kepada sebuah kekotak muzik tetapi ia juga boleh mengeksport senarai mainan kepada pemain MP3 seperti Diamond Multimedia Rio atau Creative Nomad. Dengan ciri ini anda boleh menyambungkan PC anda kepada sistem hiburan di rumah dengan mudah.

Komponen ketiga yang penting dalam RealJukebox ialah keupayaan memindah terima muzik daripada Internet. Sambungan yang telah disediakan oleh RealNetworks dalam perisian ini membolehkan anda terus pergi kepada laman-laman Web terbaik untuk mendapatkan pemindahan terima secara percuma. Malah menerusi perisian ini RealNetworks telah membina sebuah piawai muzik yang terjamin daripada cetak rompak. Contohnya apabila anda memainkan sebuah lagu MP3 yang diciplak maka ia akan dapat mengesannya dan secara langsung akan memaparkan status lagu itu. RealJukebox juga akan membolehkan anda membeli lagu MP3 yang asli daripada laman-laman Web yang dicadangkannya dengan harga yang berpatutan.

Berserta dengan pelancaran RealJukebox, sebuah perisian pengurusan tapak Web lagu telah dikeluarkan iaitu RealSystem MP. Perisian ini direka untuk menentukan piawai untuk pengkalan data muzik, pemain MP3 bimbit dan tapak Web e-dagang. Dengan seramai 60 juta pengguna berdaftar RealPlayer, RealJukebox pasti akan berjaya meletakkannya sebagai peneraju MP3.

Anda boleh dapatkan RealJukebox daripada laman Web RealNetworks