Teknologi Pengimbas

Pengimbas (scanner) digunakan untuk mengimbas atau menangkap gambar dalam bentuk cetakan untuk dimasukkan ke dalam komputer dalam format fail seperti JPEG, TIFF, GIF atau BMP.  Pada  lima atau enam tahun dahulu agak sukar hendak mendapatkan pengimbas atas meja (desktop) berwarna dan jenis "flatbed"   kerana yang ada hanyalah pengimbas kecil yang dipegang dengan menggunakan tangan dan tidak mampu mengimbas warna. Ketika itu harga sebuah pengimbas warna adalah mahal sehingga mencecah RM5,000 sebuah.

Pengimbas menggunakan dia jenis enjin pengimbas iaitu CIS (contact image sensor) dan CCD (charge-coupled device). CIS adalah sebuah teknologi baru yang membolehkan pengimbas yang dihasilkan lebih ringan dan kecil. CCD pula adalah teknologi yang mula-mula digunakan untuk membina pengimbas.

Dengan kehadiran lebih banyak komputer peribadi (PC) murah di pasaran, perisian suntingan imej mudah guna dan penggunaan pencetak warna  yang murah harganya membuatkan pengimbas semakin penting dan banyak digunakan. Malah dengan kehadiran Web, pengguna pasti ingin memasukkan  gambar-gambar ke dalam laman Web mereka dengan menggunakan pengimbas. Kebanyakan  pengimbas sekarang berharga antara RM300 dan RM3,000, bergantung kepada jenis teknologi yang digunakan dan juga perisian-perisian yang disediakan dalam pakej.

Selain daripada mengimbas gambar, pengimbas juga digunakan untuk mengimbas teks dengan menggunakan perisian pengenalan aksara optikal atau OCR (optical character recognition). Malah dengan perisian pengimbas terkini pengguna boleh mengimbas gambar dan teks sekaligus, kemudian ia akan mengasingkannya kepada format-format tersendiri seperti teks disimpan dalam bentuk TXT dan gambar disimpan dalam format JPEG. Selain daripada itu pengimbas berpotensi tinggi mampu mengimbas daripada negatif filem atau slaid.

CCD

CCD vs CIS

Jantung utama sebuah pengimbas warna jenis "flatbed" ialah cip semikonduktor fotosensitif yang dipanggil CCD. Imbasan dengan menggunakan enjin CCD memerlukan sistem yang terdiri daripada cermin dan lensa untuk memfokuskan imej kepada CCD. Cara ini adalah mahal dan bahan optik yang berada dalam pengimbas boleh terkeluar daripada posisi dan memberi kesan kepada kualiti imbasan.

Teknologi CIS mampu mengantikan imbasan dengan CCD pada masa depan dengan barisan sensor sebanyak 300 atau 600 baris yang meliputi seluruh ruang kaca pengimbas. CIS tidak memerlukan  lensa optik seperti CCD dan juga tiub lampu katod dengan sensor-sensor. Dengan cara ini  pengimbas dapat dibina dengan lebih nipis dan ringan.

CIS tidak memerlukan kuasa elektrik yang tinggi dan ini bermakna ia boleh menggunakan bateri atau port USB (Universal Serial Bus). Kualiti imej dan ketajaman warna adalah lebih baik berbanding dengan pengimbas CCD. Malah CIS juga sesuai untuk mengimbas teks dengan baik melalui perisian OCR.

CIS
Pilih pengimbas

Biasanya pengguna hanya melihat tiga ciri sahaja iaitu resolusi optik, resolusi "interpolated" dan ketajaman bit warna. Pengguna biasanya melihat pada resolusi "interpolated" yang berdasarkan resolusi perisian iaitu 4,800 x 4,800 atau 9,600 x 9,600. Manakala resolusi optik pula memberikan jumlah imbasan per inci yang boleh diimbas seperti 2,000 x 1,500 dpi (dot per inch), iaitu lebih besar jumlah titik lebih tajam gambar.

Untuk mendapatkan gambar yang menarik dan cantik anda tidak perlukan pengimbas yang beresolusi tinggi kerana 300 x 600 dpi sudah mencukupi. Malah ketajaman gambar bergantung kepada optik dan ketepatan imbasan iaitu ianya lebih penting daripada resolusi. Apabila mengimbas juga tentukan saiznya dan pastikan imbasan anda itu mampu dilakukan oleh pengimbas tersebut, jika pengimbas anda tidak mampu maka seluruh sistem anda akan perlahan dan mampu menganggu perjalanan sistem.

Ketajaman bit warna biasanya 24 bit, 30 bit, atau 36-bit. Lebih tinggi nombor bit warna lebih cantiklah warna dan bayangan yang boleh ditangkap oleh pengimbas. Pengimbas yang mahal biasanya menyediakan keupayaan warna 30-atau 36-bit color manakala pengimbas yang murah menggunakan warna bit 24-bit. Walaupun diimbas dengan warna bit 30 bit atau 36 bit tetapi ia disimpan ke dalam fail ia masih disimpan dalam bentuk 24-bit.

Selain daripada tiga ciri yang telah dinyatakan di atas, saiz pengimbas juga penting kerana ia menentukan saiz imbasan dan saiz dokumen yang boleh diimbas. Pengimbas dibina dalam tiga saiz iaitu saiz "letter", saiz "legal" dan saiz tabloid. Jenis sambungan juga memainkan peranan kerana pengimbas SCSI adalah lebih pantas daripada pengimbas USB dan pengimbas port selari (parallel port).

Terdapat juga pengimbas yang menggunakan pemuat dokumen automatik (automatic document feeder atau ADF). Dengan cara ini secara tidak langsung fungsi pengimbas dan pencetak boleh diubah kepada mesin fotokopi peribadi. Antaramuka sesetengah pengimbas membolehkan imbasan dilakukan dengan mudah dan pantas. Pakej perisian yang disediakan juga perlu diambilkira. Sesetengah model menawarkan antaramuka yang ramah pengguna yang tidak memerlukan seorang yang professional untuk mengimbas gambar dengan baik.
 
Teknologi BET

BET ( Bit Enhancement Technology) adalah sebuah algoritma yang telah direka khas untuk pemacu pengimbas. Dengan BET data yang diinput daripada pengimbas boleh disimpan menerusi proses pengimejan dengan meningkatkan jumlah bit efektif. Biasanya pengimbas akan menurunkan bit efektif apabila proses imbasan sedang berjalan. BET juga meningkat julat dinamik gambar dan mengurangkan gangguan pada imej imbasan untuk menghasilkan ton warna yang lebih licin. Hasil imej adalah lebih baik dan segala carta warna boleh diubahsuai pada histogram imej dan ini boleh menajamkan serta mencantikkan lagi imej imbasan.