Shark! Hunting the Great White

Permainan ini merupakan permainan pemburuan yang disulami tembak-menembak di mana ia menawarkan sebuah suasana yang baru dan musuh yang berlainan. Ia merupakan gabungan kebebasan pergerakan (seperti dalam Descent), mood yang segar dan keupayaan menyerang yang tangkas dan merbahaya. Semuanya membayangkan sebuah dunia yang penuh dengan keganasan.

Jika anda pernah bermain permainan pemburuan anda pasti mengatakan bahawa Shark! juga membosankan. Nasihat saya jangan dulu kerana Shark! merupakan sebuah permainan yang menawarkan cabaran yang besar. Jerung-jerung akan mencari anda dan anda hendaklah mencederakannya atau membunuhnya. Anda juga hendaklah pastikan diri anda selamat.

Shark! telah menyediakan sebuah platform permainan yang menarik. Shark! juga mudah dikendalikan. Ia juga mempunyai struktur dan antaramuka yang mudah dicapai dan ia telah digarap dengan baik. Bagi anda yang ingin tahu lebih lanjut mengenai jerung anda boleh pergi ke ruangan Sharkopedia.

Apabila berada di dalam air, skrin akan memaparkan maklumat yang ringkas dan padat. Bahagian bawah kiri terdapat kompas, jam, penyukat dalam, status senjata dan meter nyawa. Manakala bahagian bawah kanan pula terdapat pengesan jarak jerung, jenis dan nyawa jerung. Kawalan permainan adalah mudah iaitu bergerak dengan papan kekunci dan menembak dengan tetikus.

Anda boleh mengubahsuai tahap kepayahan dalam Shark! bagi menyesuaikannya dengan tahap kemahiran anda. Pilih "Easy" untuk memudahkan anda membunuh jerung itu tetapi anda juga tidak mempunyai kemahiran yang tinggi dan kemungkinan anda juga boleh dibunuh. Manakala "Hard" pula adalah lebih susah kerana kekuatan jerung menjadi lebih tinggi tetapi kelebihan anda juga semakin naik.

Permainan Shark! mempunyai kepermainan yang lebih mendalam daripada apa yang disangkakan. Anda boleh pilih samada mod Career atau Random Mission, kemudian pilih kelengkapan (senjata, tangki, sut dan sirip). Setelah itu anda boleh berhadapan dengan jerung dan menembak mereka dengan senjata yang ada.

Nampak mudah tetapi sebelum itu anda memerlukan wang untuk membeli kelengkapan. Dengan itu anda hendaklah melengkapkan misi demi misi dalam mod Career dan mendapatkan kelengkapan yang lebih baik. Selain daripada itu anda boleh mendapatkan beberapa ruang rahsia yang tersimpan dalam enam misi terawal mod Career. Setelah itu anda boleh mendapatkan kelengkapan yang lebih baik untuk mod Random Missions.

Random Missions memberikan peluang kepada anda untuk mencuba konfigurasi yang berlainan bagi menghadapi pelbagai jenis jerung. Jika anda mahukan jerung yang besar, anda hendaklah menyusun strategi dan bersabar menunggu. Anda juga hendaklah pastikan yang anda tidak menembak sebarang jerung jika anda mahu menang.

Pemandangan di dasar laut juga kelihatan menarik dengan kehadiran kapal karam, kuil terbiar, terumbu karang, gua dan fauna yang menarik. Ilusi berada di bawah air telah dimodel dengan baik dan dilengkapi dengan visual yang memuaskan. Semasa berenang anda akan dapat merasakan pergerakan anda terbatas dan ruang pandangan anda juga terbatas.

Anda boleh berenang melepasi sekawan ikan, mengejar penyu dan ikan pari serta melihat paus atau sotong. Animasi jerung adalah hidup dan pergerakan ikan tersebut adalah lancar. Nampaknya pembangun permainan ini telah benar-benar mengkaji pergerakan jerung secara terperinci.

Jika anda kehilangan arah, cuba bernafas dan perhatikan buih-buih yang keluar. Buih-buih itu akan terus pergi ke permukaan. Jika anda mahu ke permukaan, ikut buih itu dan pasti anda akan sampai ke permukaan.

Anda juga pastikan anda tidak berada di ruang air terbuka terlalu lama kerana ia akan mendedahkan anda pada bahaya. Anda hendaklah memerhatikan meter pengesan jerung bagi mengetahui kedudukan dan jarak sebenar jerung. Akhir sekali pastikan anda sering melihat sekeliling anda bagi memastikan kehadiran jerung.

Dalam Shark! terdapat beberapa ciri permainan yang menimbulkan tandatanya dan jika difikirkan ia agak melucukan. Berikut adalah beberapa ciri Shark! yang dimaksudkan :

1: Sembuh dengan menakjubkan
Jika anda kehabisan peluru atau udara atau mengalami kecederaan, anda boleh kembali ke bot dan mendapatkan semula peluru atau memenuhkan udara dan membaikpulih kecederaan. Kesembuhan ini adalah satu keajaiban dan sungguh tidak realistik.

2: Gaya Star Trek
Dalam Shark! terdapat satu penamat misi yang menarik (mod Career). Jika anda kehabisan udara dan berjaya menamatkan misi, kejayaan anda akan dirai dengan muzik latar yang rancak dan mesej tahniah akan muncul. Menariknya anda tidak perlu bersusah-payah untuk ke permukaan!

Shark! merupakan permainan yang mudah dimainkan dan agak realistik. Ia juga melibatkan seekor ikan yang paling ditakuti seluruh dunia. Sebuah permainan yang patut diberikan peluang untuk dicuba.

Spesifikasi yang dicadangkan : Pentium II 400MHz, memori 64MB RAM dan 250MB ruang cakera keras.
Pro : Suasana yang menarik. Musuh yang ditakuti. Mod permainan yang bagus. Sharkopedia yang penuh dengan ilmu.
Kontra : Ada kecacatan kecil dari segi kepermainan.
Peratusan : 69%