Ruangan Soal Jawab Majalah PC

Soalan 1

Pak Kasah, Saya baru sahaja membeli sebuah cakera keras berkapasiti 4.3.Gb untuk menggantikan cakera keras lama saya yang berkapasiti 1.7 Gb. Apakah langkah yang harus saya lakukan setelah menggantikan cakera keras yang lama itu?

Azlan Muhammad Pekan Baru, Teluk Intan Perak D.R.

Dari soalan anda tadi, anda menyatakan bahawa anda telah pun memasang cakera keras baru yang anda beli itu. Setelah memastikan pemasangannya adalah betul langkah berikutnya ialah memastikan maklumat mengenai cakera keras itu dimasukkan pada CMOS SETUPnya yakni BIOS. Untuk mendapatkan skrin CMOS SETUP, kaedah lazimnya ialah dengan menekan kekunci DEL apabila komputer dimulakan. Untuk pengetahuan anda, selain daripada menekan kekunci DEL, turut terdapat BIOS serta sistem komputer yang menggunakan samada kekunci Alt + F2, Ctrl + Alt + Esc ataupun Ctrl + S (untuk pengetahuan anda, tanda + menunjukkan kekunci tersebut haruslah ditekan serentak). Sejurus menekan kekunci tersebut, anda akan mendapati skrin CMOS SETUP akan dipaparkan. Rupa skrin paparan bergantung kepada jenama serta jenis BIOS yang digunakan. Secara umumnya skrin itu akan menyediakan pilihan untuk anda menetapkan serta memilih perkakasan serta butiran sistem seperti masa, tarikh, jenis paparannya dan sebagainya. Berbalik kepada soalan anda tadi, hampir kesemua BIOS yang mutakhir mampu untuk mengesan kehadiran serta kewujudan cakera keras yang baru di dalam sistem komputer tersebut. Apa yang perlu anda lakukan ialah memilih pilihan AUTO DETECT HARD DISKS atau pun pilihan-pilihan yang membawa makna yang serupa dengannya. Sesudah mengesan cakera keras tersebut, setujuilah pilihan tersebut dan simpankan maklumat pada CMOS dengan memilih SAVE dan seterusnya keluarlah daripada SETUP tersebut. Sekarang mulakan semula komputer anda dan anda akan mendapti cakera keras baru anda akan dapat digunakan. Dalam soalan anda tadi, anda turut menyatakan bahawa anda mempunyai cakera keras lama anda yang berkapasiti sebanyak 1.7 Gb, sebenarnya anda masih boleh terus menggunakannya bersama dengan cakera keras baru anda. Ini adalah dengan memasang cakera keras tadi sebagai cakera keras kedua anda yakni sebagai SLAVE DISK. Sebelum menetapkannya sebagai cakera keras kedua, anda perlu mengubahkan susunan lelompat (JUMPER) pada cakera keras tadi. Selalunya susunan lelompat akan ditunjukkan pada rajah yang dilampirkan di atas cakera keras anda. Langkah seterusnya ialah pergi kepada CMOS SETUP semula dan gunakan ciri AUTO DETECT HARD DISKS untuk mengesan cakera keras kedua anda.

Soalan 2

Pak Kasah, Sejak kebelakangan ini, saya menghadapi masalah apabila menggunakan komputer peribadi saya iaitu setiap kali ia membuka Windows 95, ia akan terhenti serta memulakan semula komputer saya (REBOOT). Apakah yang harus saya lakukan?

Hashim B. Ali, Kuantan. Pahang

Masalah sedemikian sering kali dihadapi oleh para pengguna apabila perisian Windows 95 mereka mengalami kerosakan. Kerosakan pada perisian itu terjadi oleh sikap pengguna yang menutup komputer peribadi tanpa terlebih dahulu keluar daripada perisian Windows yakni menggunakan kaedah untuk keluar daripada perisian Windows dengan cara yang betul. Ada kemungkinan ianya juga berpunca daripada program pemacu serta perisian yang rosak ataupun tidak serasi dengan perisian Windows menyebabkan perisian Windows tidak dapat lancarkan. Untuk menghadapi masalah ini, dapatkan perisian Windows anda dalam bentuk SAFE MODE, caranya ialah dengan memulakan semula komputer anda dan kemudiannya menekan kekunci F8, pada skrin paparan pilih pilihan SAFE MODE. Sesudah membuat pilihan SAFE MODE, anda akan mendapati ia akan memasuki program, Windows seperti biasa. Langkah seterusnya ialah padamkan perisian ataupun perisian pemacu yang terakhir anda pasangkan sebelum ini. Tutupkan perisian Windows dan masuk semula ke dalam perisian Windows seperti biasa. Besar kemungkinan masalah tersebut tidak wujud lagi. Jika anda mendapati masalah sedemikian masih terus berlaku apabila anda memilih pilihan SAFE MODE, kemungkinan besarnya ada kerosaka pada perisian Windows dan eloklah anda memasang semula perisian tersebut.

Soalan 3.

Pak Kasah, Baru-baru ini saya telah menggantikan papan litar (MOTHERBOARD) pada komputer peribadi tetapi apa yang menjadi masalahnya ialah selepas saya menggantikan papan litar tersebut, saya mendapati cakera keras saya tidak berfungsi. Apakah yang harus saya lakukan?

Shaharudin Alias, Kelang, Selangor D.E.

Pertama sekali pastikan bahawa kesemua kabel serta sambungan di antara cakera keras dengan papan litar adalah betul serta tersambung. Kemudiannya semakkan pada CMOS SETUPnya untuk memastikan maklumat mengenai cakera keras adalah betul. Sesudah itu cuba mulakan komputer anda dan lihat samada cakera keras anda sudah mampu berfungsi seperti biasa. Jika belum, ia mungkin berpunca dari masalah ketidak selarian BIOS dengan sektor pada cakera keras anda. Simpankan maklumat yang terdapat pada cakera keras dan kemudian gunakan program FDISK untuk membuat proses pembahagian (PARTITION) dan formatkanlah cakera keras tersebut. Jika masalah sedemikian masih wujud, rujuklah pada manual yang diberikan bersama dengan papan litar yang anda beli itu ataupun hubungilah pengedar papan litar tersebut. Mereka mungkin dapat membantu.

hantar kemusykilan anda kepada pak cik kasah