Teknologi storan kecil termaju

Saiz yang besar adalah satu kesalahan besar untuk rekabentuk sebuah peranti kecil. Jika anda ingin membeli kamera digital, PDA atau pemain MP3, anda pasti mahukan saiz yang kecil kerana ia lebih menarik dan mudah dibawa.

Bagi pengeluar saiz yang kecil pasti akan menarik pembeli tetapi ia pasti perlukan storan untuk menyimpan data bagi memberikan kemudahan kepada pengguna. Tidak mungkin ia menggunakan cakera keras atau CD-R atau CD-RW atau cakera Zip kerana saiz storan-storan ini lebih besar daripada saiz peranti itu.

Ada di antara peranti kecil ini menggunakan storan dalaman yang tidak boleh dialih atau ditukar. Biasanya anda hendaklah menyambungkan peranti ini kepada komputer untuk memindahkan data. Ada di antara peranti boleh digunakan dengan storan luar seperti kad memori iaitu sejenis storan cip silikon. Ia tidak meruap dan boleh menyimpan data walaupun bekalan kuasa terputus. Kad memori mudahalih mudah digunakan kerana ia kecil dan ringan serta mudah menyimpan gambar dan fail.

Memori Flash

Kad memori menggunakan memori "flash", di mana ia akan menulis data dalam blok dan tidak dalam bentuk bait-bait kecil. Istilah "flash" adalah merujuk kepada keupayaan kad memori menerima dan membuang kandungannya dengan mudah.

Kad memori pantas dan mampu menulis setengah megabyte sesaat atau lebih dan membaca dengan kepantasan yang sama. Kad memori juga mempunyai rekabentuk yang keras dan tahan lama. Malangnya kad memori agak mahal dan kosnya per megabyte adalah tinggi berbanding dengan cakera magnetik, pita dan media optikal. Kebanyakan kad memori mempunyai ciri yang mengelakkan anda memasukkannya dengan cara yang salah seperti SmartMedia atau CompactFlash. Namun begitu ia boleh mengendalikan voltan yang berlainan iaitu 3, 3.3 atau 5 volt dan anda hendaklah pastikan kad yang anda beli serasi dengan perantinya.

SmartMedia

Kad memori ini mempunyai saiz 0.03 inci tebal, 1.46 inci lebar dan 1.77 inci panjang. Ia merupakan antara yang paling popular di dalam pasaran. Dalam tahun 1999 SmartMedia dipopularkan oleh kamera digital dan pemain MP3. Kad SmartMedia berharga di antara RM120 untuk 8MB, RM240 untuk 16MB, RM380 untuk 32MB, dan RM700 untuk 64MB. Ia merupakan di antara RM11.80 hingga RM14.25 per megabyte walaupun kapasiti kad memori tidak tepat.

smartmedia

 

 

compactflash

CompactFlash

CompactFlash keluaran SanDisk adalah sepopular SmartMedia. Kos CompactFlash adalah di antara RM115 untuk 8MB hingga RM610 untuk 64MB (RM9.50 hingga RM14.25 perMB). Kad jenis ini mempunyai kapasiti yang besar seperti kad dari Simple Technology bersaiz 512MB (RM6,000).

Kad CompactFlash Type I berukuran 0.13 x 1.69 x 1.43 inci. Manakala kad Type II pula adalah lebih tebal iaitu 0.20 x 1.43 x 1.69 inci.(Soket Type II boleh menerima kad Type I). Type II mempunyai kapasiti di antara 16MB hingga 1200MB (bergantung kepada pengeluar). Produk dengan slot CompactFlash adalah seperti kamera digital Nikon CoolPix 990, PDA Compaq iPAQ H3630 dan pemain MP3 RCA Lyra RD2201.

Kelajuan menulis kad memori adalah penting jika anda mempunyai kamera digital dengan imej berkualiti multimegapiksel dan mahukan setiap imej disimpan dengan pantas. Terdapat juga kad CompactFlash yang boleh menulis dengan kadar 150KBps (kilobytes persaat).

Memory Stick

Kad memori keluaran Sony ini juga semakin ramai pengguna dengan penjualan kamera digital Sony semakin meningkat. Kad ini mempunyai saiz 0.11 x 0.85 x 1.97 inci. Kad memori ini mempunyai saiz di antara 8MB dan 192MB serta harganya adalah di antara RM9.00 hingga RM14.00 perMB. Memory Sticks yang lebih besar dan pantas sehingga 1GB masih di dalam pembikinan.

MultiMediaCard

Kad jenis ini telah direka oleh SanDisk dan Infineon di mana ia mempunyai saiz 0.06 x 0.94 x 1.26 inci. MultiMediaCard adalah sesuai untuk peranti kecil. Harga kad ini adalah di antara RM150 untuk 8MB hingga RM600 untuk 64MB. Kad jenis ini terdapat pada kamera digital Panasonic PV-DC3000, pemain MP3 Compaq iPAQ Personal Audio Player PA-1 dan pemain stereo kereta Rockford Fosgate RFXMP3.8.

Secure Digital

Saiz Secure Digital (SD) adalah 0.08 x 0.95 x 1.26 inci dan ia adalah lebih tebal sedikit berbanding dengan MultiMediaCards. Ia mempunyai saiz dan teknologi yang sama tetapi kad SD tidak boleh digunakan pada slot MultiMediaCards. Perbezaan yang nyata pada SD ialah ia boleh mengawal salinan. Antara peranti yang menggunakan SD ialah stereo kereta Panasonic CQ-SRX7000 dan pemain audio Toshiba MEA-110. Palm juga merancang untuk menggunakan SD pada PDA keluaran mereka.

Kad PC

Kad PC ini mempunyai saiz sebuah kad kredit dan ia juga dikenali sebagai kad PCMCIA (Personal Computer Memory Card International Association). Kad PC bersaiz 2.14 x 3.37 inci. Slot kad PC terdapat pada kebanyakan komputer bimbit. Kad PC direkabentuk dengan kuat dan ia lebih kuat daripada cakera keras.

Cakera keras

Tidak semua kad storan mudahalih mempunyai memori dalaman. Ada di antaranya menggunakan teknologi cakera keras. Contohnya Microdrive IBM iaitu cakera keras bersaiz seinci dan boleh dimuatkan pada soket CompactFlash Type II. Microdrive mempunyai kepantasan yang sama dengan kad memori 8MB hingga 64MB. Harga pemacu kecil ini ialah RM930 untuk 340MB, RM1520 untuk 512MB dan RM1860 untuk 1GB. Malangnya cakera keras kecil ini tidaklah setahan kad memori dan ia menggunakan kuasa bateri yang tinggi semasa digunakan.

Katrij

Sama seperti cakera keras, katrij mudahalih memerlukan kuasa bateri lebih daripada kad memori. Katrij juga agak perlahan ketika beroperasi tetapi ia adalah murah berbanding dengan storan yang lain.

Iomega 40MB cakera Clik! tidak berapa popular sehinggalah ia telah diubah namanya kepada PocketZip dan penggunaannya pada pemain muzik MP3 Iomega HipZip. Selain itu terdapat sebuah lagi storan katrij kecil yang dikenali sebagai DataPlay dan ia mempunyai kapasiti sebanyak 500MB. DataPlay mempunyai salinan kawalan dan ia mungkin sesuai untuk lagu-lagu dan kandungan web.

Memori selamanya

Storan memori adalah penting walaupun kos sering menjadi isu utama di dalam pemilihan sesebuah storan. Kos pengeluaran memori flash semakin menurun iaitu 30% setahun dan ini akan memberikan perkembangan yang memberangsangkan kepada para pengguna. Teknologi memori pasti akan berkembang pesat dengan kepesatan yang meningkat dalam penggunaan peranti kecil seperti PDA, kamera digital, telefon bimbit dan komputer bimbit. Kini storan-storan media kecil seperti CompactFlash, Memory Stick dan SmartMedia juga digunakan pada pencetak dan pengimbas.

dari majalah pc #53