CD storan mudah

Storan komputer merupakan salah satu komponen penting dalam penggunaan komputer. Storan yang biasa digunakan ialah disket (1.44MB) dan juga cakera keras (harddisk) yang bersaiz di antara 1GB hingga 30GB. Kini terdapat storan luaran lain seperti CD-R, CD-RW, pita, katrij dan magnetik seperti pemacu Zip dan Jaz.

Pemacu cakera optik

Pemacu cakeara optik adalah sebarang peranti yang menggunakan laser untuk membaca data daripada dan menulis kepada media storan. Pemacu ini ditafsirkan menerusi media storan yang digunakan contohnya pemacu yang membaca CD-ROM adalah pemacu CD-ROM dan pemacu yang membaca DVD-ROM ialah pemacu DVD-ROM. Antara pemacu cakera optik yang popular ialah CD-ROM, CD-RW dan DVD-ROM. Pemacu cakera optik yang lain ialah CD-R dan DVD-RAM.

Pemacu CD-ROM. Apabila CD-ROM mula diperkenalkan pada 1983 ia merupakan sebuah revolusi. Dengan kapasiti 650MB, CD-ROM boleh menyimpan 10 kali ganda storan cakera keras biasa. Ia mempunyai diameter 12 cm dan kelebaran 1.2 mm iaitu saiz yang lebih besar sikit daripada disket 1.44MB. Kombinasi kapasiti yang besar dan saiz yang kompak telah membuatkan CD-ROM sebuah media yang baik untuk kandungan multimedia.

Kini teknologi CD-ROM telah berubah, data boleh ditulis kepadanya hanya sekali dan ia tidak boleh dipadamkan. Pemacu CD-ROM boleh membaca data daripada CD audio, CD-ROM, CD-R dan CD-RW. Ia tidak boleh membaca daripada dan menulis kepada DVD. Mungkin satu daya penarik CD-ROM ialah harganya yang murah iaitu di antara RM100 hingga RM250. Antara jenama pemacu CD-ROM yang terdapat ialah Creative Labs (http://www.creative.com), TEAC (http://www.teac.com), Toshiba (http://www.toshiba.com) , Hewlett-Packard (http://www.hp.com), Iomega (http:// www.iomega.com), Plextor (http://www.plextor.com), dan Sony Electronics (http://www.sel.sony.com). Manakala media CD-RW dihasilkan oleh Acer (http://www.acer.com), Hewlett-Packard (http://www.hp.com), Maxell (http://www.maxell.com), dan TDK (http://www.tdk.com).

Pemacu CD-RW

Ia merupakan alternatif kepada CD-ROM dan CD-R, malah pemacu CD-RW telah menjadi komponen piawai pada spesifikasi PC. Pemacu CD-RW mempunyai keupayaan untuk menulis (merekod) data kepada cakera di mana CD-ROM tidak boleh dan ia juga boleh menulis semula seberapa banyak kali yang anda mahu di mana CD-R tidak boleh. CD-RW juga boleh menulis keapda media CD-R dan CD-RW dan ia boleh memainkan CD audio, CD-ROM, CD-R dan CD-RW. Hanya satu media sahaja yang tidak boleh dibaca oleh CD-RW iaitu DVD.

iomega cd-rw

Pemacu DVD-ROM

Cakera optik paling tinggi dalam hierarki ialah DVD-ROM. Ia merupakan cakera plastik yang berkilat dan mempunyai saiz dan bentuk yang sama dengan CD. Ia mempunyai kapasiti di antara 4.7GB hingga 17GB data yang hanya boleh dibaca. DVD mempunyai corak litar pada permukaan yang lebih pendek dan kecil berbanding dengan CD. DVD juga mempunyai keupayaan dua permukaan (double sided) dan data boleh disimpan pada kedua-dua belah permukaan cakera. Teknologi DVD juga membolehkan data ditulis kepada DVD dalam dua lapisan pada setiap permukaan cakera. Dengan itu standard DVD harus mempunyai lebih trek, lebih ruang, lebih permukaan boleh guna dan lebih lapisan boleh guna daripada CD.

Pemacu DVD-ROM kini berharga lebih kurang RM1,500. Antara pengeluar pemacu DVD-ROM ialah Creative Labs, Pioneer New Media Technologies (http://www.pioneerusa.com), dan Toshiba. Terdapat juga syarikat seperti Toshiba dan Iomega, merancang untuk mengeluarkan pemacu kombinasi CD-RW/DVD-ROM. Pemacu jenis ini akan mempunyai satu ruang pemacu yang menyokong DVD dan CD bagi memudahkan pengguna.

Sejarah CD

Teknologi CD dibangunkan oleh Philips dan Sony pada tahun 1982 sebagai satu media baru untuk muzik. Walaupun ia tidak bertujuan untuk digunakan pada komputer tetapi ia tidak mengambil masa yang lama untuk menjadikannya sebahagian daripada komputer. Spesifikasi untuk CD-ROM dikeluarkan pada tahun 1984 dan sebuah storan baru untuk komputer dilahirkan.

Spesifikasi baru telah dibuat untuk teknologi CD dan ia telah disatukan ke dalam buku-buku bagi menjamin piawaian dan keserasian dalam keseluruhan industri. Buku-buku ini mengandungi maklumat terperinci bagaimana teknologi CD beroperasi.

Buku pertama iaitu untuk spesifikasi CD audio digelar buku Merah (Red Book). Buku ini menerangkan ciri-ciri fizikal CD dan pengenkodan digital. Setelah itu lahir pula buku Kuning (Yellow Book) yang mengandungi standard CD untuk komputer menerusi spesifikasi CD-ROM (1984) dan perpindahan pemain CD kepada komputer.

plexwriter 12/10/32

Buku Hijau (Green Book) pula dikeluarkan pada 1987 dan menerangkan spesifikasi dan fungsi media dan pemain CD-I (interaktif). Buku ini juga telah membawa video MPEG kepada CD. Buku seterusnya ialah buku Oren (Orange Book) yang menerangkan mengenai media optikal boleh rekod dan spesifikasi CD-MO (Magneto Optical), CD-R, dan CD-RW.

Sejurus lepas itu buku Putih (Whie Book) pula dikeluarkan yang menerangkan spesifikasi untuk CD Video pada tahun 1993 dan ia telah mengembangkan keupayaan video untuk CD. Buku ini telah dikemaskini beberapa kali.

Buku terakhir ialah buku Biru (Blue Book) yang menerangkan mengenai CD muzik tahap yang lebih tinggi. CD dalam kategori ini boleh dimainkan dalam pemain CD audio dan PC. Ia juga serasi dengan pemain CD terkini.

pemacu dari yamaha juga bagus

CD terkini

Berjuta-juta pemain cd telah dilahirkan sejak kemunculan CD. Pada tahun 1998, lebih 94 juta pemacu CD-ROM dijual, manakala pemacu CD-RW pula sejumlah 4.9 juta (13 juta pada tahun 1999) dan pemacu DVD pula berjumlah 6.1 juta.

Pemacu CD-ROM terpantas ialah 52X iaitu 10 kali ganda lebih laju daripada pemacu yang diperkenalkan pada tahun 1990. Manakala pemacu CD-RW dan CD-R pula mencapai kelajuan pembacaan sehingga 16X manakala menulis dan menulis semula di antara 2X hingga 10X.