Make your own free website on Tripod.com
Superbike 2000 : Arked perlumbaan motorsikal
Oleh Crex

Dengan menggunakan lesen rasmi daripada siri World Superbike, pembanguna perisian permainan EA Sports telah membawakan sebuah lagi permainan perlumbaan yang dikuasai oleh rakyat British. EA Sports telah memperkenalkan simulasi perlumbaan dalam permainan Superbike 2000. Apabila motor beratur dalam garis permulaan, bunyi ekzos adalah jelas dan kuat kemudian anda akan dapat melihat bagaimana juara dunia empat kali Carl Fogarty menguasai litar.

Grafik yang dipaparkan adalah menarik dan terperinci. Sudut kamera dan realiti dalam Superbike 2000 adalah dalam tahap terbaik dan menyamai perlumbaan sebenar. Setiap pergerakan dalam Superbike 2000 adalah baik dan anda dapat memerhatikan pelumba beraksi dengan pantas dan ganas. Kelemahan pada permainan ini adalah keperluan spesifikasi PC yang tinggi, contohnya dengan menggunakan Pentium III-500MHz dan kad TNT1, anda hanya akan mendapat paparan 800x600 dengan ciri permainan yang minima. Jika anda menggunakan GeForce barulah paparan dapat ditingkatkan tapna sebarang masalah dan resolusi yang tinggi.

Seperti permainan simulasi perlumbaan yang lain, Superbike 2000 membenarkan anda mengawal tahap kepayahan dengan mengubahsuai bantuan komputer yang diperlukan. Kekotak giar automatik, panduan, brek dan pecutan boleh dikawal dan penunggang hanya perlu mengawal motor dengan baik. Tanpa ciri-ciri tersebut penunggang akan terhumban ke hadapan dan jatuh walaupun pada jalan yang lurus. Bantuan penunggang adalah sebagai tambahan dan ia akan membolehkan penunggang tidak terjatuh jika motor itu bergoyang.

Enjin perisian Superbike 2000 adalah gresif dan begitu menyakinkan serta mempunyai kecanggihan yang tinggi. Jika anda cuba memotong pelumba lain dengan cara yang tidak ortodoks maka penunggang lain akan menunjukkan penumbuk kepada anda. Anda juga hendaklah agresif dan berhati-hati kerana penunggang lain mungkin akan menghimpit anda dan cuba menjatuhkan anda. Anda juga hendaklah pastikan yang anda dapat mengendalikan motor anda dengan baik.

Nampaknya enjin perisian Superbike 2000 agak bijak kerana apabila anda cuba memecut motor anda dengan lebih pantas, anda akan dapati penunggang lain juga cuba memecut dengan lebih pantas. Adakalanya juga penunggang lain cuba mengusik anda dengan menyentuh motor anda. Dengan itu berhati-hatilah.

Jika anda terjatuh ada kemungkinan anda akan dilanggar oleh penunggang lain dan ia boleh mengakibatkan anda mengalami kecederaan yang teruk. Malah penunggang lain itu juga bagaikan tidak mampu berhenti atau mengelak penunggang yang jatuh. Jika anda bertembung dengan insiden itu dan jatuh anda pasti kelam-kabut untuk mendapat motor anda kembali.

Keadaan litar dan motor adalah sebegitu sempurna sehinggakan ia kelihatan tidak realistik. Contohnya litar Donington Park yang mempunyai selekoh tajam, kelihatan tidak tajam dan ia mudah diambil walaupun dalam kelajuan yang tinggi. Adalah menarik jika anda dapat melihat "fairing" berdetak dan blok enjin bergetar apabila anda terbabas atau menekan brek yang dengan kejap.

Secara amnya, motor dua silinder dan empat silinder akan menghasilkan bunyi yang berbeza dan ini tidak terdapat dalam kesan bunyi Superbike 2000. Enjin "twin" tidak memberikan ngauman yang ganas dan menakutkan sebaliknya sebuah ngauman yang menyerupai bunyi suara kucing.

Keupayaan permainan rangkaian menerusi Intenet, LAN dan dwi skrin mod dua pemain. Jika anda mahukan yang terbaik pastikan rakan anda menggunakan komputer yang menyamai spesfikasi dengan anda, jika tidak ia menjadi kurang menarik.

Superbike 2000 telah mengambil langkah yang berbeza daripada permainan GP500. Simulasi motor dalam Superbike 2000 adalah kurang menarik dan tidak realistik. Pada saya Superbike 2000 lebih tertumpu untuk menarik lebih ramai penunggang muda turut serta dalam kejohanan Superbike. Permainan Superbike 2000 adalah sebuah permainan arked yang baik dengan ciri bantuan yang maksima. Dengan grafik yang menarik, pastikan yang dapat menikmati pemandangan yang baik.

Pro : Grafik terbaik. Agak realistik. Simulasi dan arked hampir sama.
Kontra : Payah untuk dikawal. Kesan bunyi kurang memuaskan. Kesan kerosakan tidak menarik.

Statistik
Kategori : Perlumbaan motorsikal
Grafik : 1600x1200 dengan Direct3D.
Audio: DirectSound dan EAX.
Kawalan : Papan kekunci dan kayu bedik.
Spesfikasi minima komputer : Pentium II-400MHz, 64MB RAM dan 300MB ruangan cakera keras.

Laman Web Superbike 2000 : http://www.easportssuperbike.com/