Make your own free website on Tripod.com
Penggunaan teknologi dalam perniagaan

Teknologi yang relevan boleh memberikan impak positif jika digunakan dalam sesebuah perniagaan. Selain
menjadi komponen penting dalam perniagaan, perhubungan harmoni di antara teknologi dan perniagaan
harus diwujudkan. Malah, jika penggunaan teknologi diabaikan, perniagaan akan hilang daya saing samada
di peringkat tempatan dan global. Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai penggunaan teknologi
dalam perniagaan, kita ikuti petikan daripada satu persidangan yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.

Dr. Martin Berlin, Pengurus Pengambilan, McKinsey & Company (Malaysia), selaku pengerusi dalam
persidangan tersebut telah mendapatkan pandangan dan ide bernas daripada ahli panel yang terdiri daripada
Jason Lim, Pengarah, Kumpulan Perniagaan Internet, Microsoft (Malaysia), Yohani Yusof, Pengurus
Saluran e-Niaga Asia Pasifik, Intel Electronics, John Wong, Rakan Kongsi dari General Atlantic Partners,
Baharum Salleh, Presiden, TM Multimedia, dan Ramesh Subramaniam, dari McKinsey & Co (Singapura).

Sewaktu menjawab soalan pertama yang diajukan dalam persidangan yang diadakan bersempena program
Venture 2001 itu, John berpendapat bahawa teknologi yang diterapkan dalam pelbagai bidang perniagaan
seperti telekomunikasi, peruncitan, broker saham, kewangan dan sebagainya adalah untuk tujuan kebaikan.
Malah, katanya, teknologi akan terus menjadi sebahagian atau komponen dalam apa juga jenis perniagaan.
Dan, banyak pembangunan teknologi untuk beberapa tahun kebelakangan ini dibiayai oleh pemodal teroka.

Merujuk kepada kelebihan teknologi, Jason turut memberikan pendapat yang selari. Katanya "Wujud angin
perubahan dari segi persaingan samada dalam dan luar negara. Jadi, syarikat perlu menggunakan teknologi
untuk meningkatkan hasil, mengurangkan kos operasi, meningkatkan kepuasan pelanggan, rakan kongsi
dan pekerja. Selain membantu dalam peningkatan hasil, penggunaan teknologi juga dapat mengembangkan
capaian ke negara lain apabila wujudnya teknologi canggih seperti Internet dan e-dagang. Persoalannya
sekarang, bagaimana teknologi boleh digunakan pakai untuk membantu perniagaan menjadi lebih cekap."

Apabila beliau ditanya mengenai kepentingan cantuman teknologi dalam perniagaan sepanjang masa, Jason
menegaskan bahawa wujud hubungan yang harmoni di antara teknologi dan perniagaan, misalnya teknologi
maklumat (IT) boleh membantu syarikat agar lebih berjaya. Yohani juga mengakui perlunya hubungan ini,
tetapi menekankan peranan 'orang' sebagai salah satu elemen penting untuk memastikan teknologi yang
digunakan berfungsi. Jadi, tumpuan kepada pengguna teknologi perlu menerusi pendidikan dan latihan agar
mereka memahami bagaimana teknologi mewujudkan hubungan harmoni untuk pertumbuhan perniagaan.

Sementara itu John cuba membahagikan teknologi kepada dua bahagian iaitu membina dan membinasakan.
Katanya, "teknologi membina dari segi penyediaan aplikasi, peningkatan produktiviti, kecekapan, dan
perkara lain yang baik, hasil penggunaan teknologi. Manakala, bahagian yang merosakkan boleh dilihat
dalam beberapa aspek, contohnya apabila perniagaan menjadi terlalu produktif dan kecekapan meningkat,
maka berlaku kejatuhan harga produk. Ini menyebabkan perniagaan berkenaan lebih sukar bersaing untuk
mengekalkan atau meningkatkan bahagian pasaran. Kesannya, ada perniagaan yang terus lemah dan gagal."

Bagaimanapun, reliti kejayaan sesebuah perniagaan tidak tertakluk kepada teknologi semata-mata. Menurut
Ramesh, syarikat perlu asas perniagaan yang baik dalam ekonomi baru kerana model perniagaan yang baik
dari segi kewangan akan berjaya. Teknologi pada asasnya hanya membantu dan pengusaha tidak boleh lari
daripada kenyataan bahawa perniagaan perlu asas dan model yang baik. Contohnya, model terbaru seperti
'brick and click' sekali pun perlu asas perniagaan yang baik untuk dijalankan. Jika tiada model perniagaan
yang baik untuk digabungkan dengan inovasi dan teknologi pintar, maka perniagaan itu tidak akan berjaya.

penggunaan teknologi adalah kunci kejayaan e-biz

Sementara itu, Baharum cuba melihat penggunaan teknologi dalam perniagaan dari perspektif berlainan.
Satu daripadanya, teknologi sebagai pemudah dan satu lagi teknologi sebagai produk akhir. Contohnya
mikroprosesor merupakan salah satu produk akhir teknologi yang berjaya sejak berpuluh tahun yang lalu.
Satu lagi teknologi yang sering diperkatakan ialah Internet di mana kecanggihannya cuba dibuktikan dalam
beberapa perniagaan yang berteknologi seperti B2C (perniagaan-ke-pelanggan), dan gerbang (portal) Web.

"Kita tidak patut lebih tertumpu kepada teknologi, lalu mengabaikan model perniagaan yang patut menjadi
pertimbangan utama. Misalnya, terdapat banyak perniagaan yang tidak menggunakan teknologi seperti
pernigaaan restoren tetapi lebih menekankan kepada 'sentuhan personal'. Manakala, teknologi pengering
beku menjadi pemudah dalam pengeluaran makanan seperti rendang atau serunding. Soalnya, adakah
produk akhir yang dijual adalah teknologi itu sendiri atau dihasilkan menerusi penggunaan teknologi. Jadi,
model perniagaan perlu mengenali perbezaan ini yang melibatkan pengeluaran khidmat atau produk akhir".

Menurut beliau lagi, teknologi sebagai pemudah bergantung kepada segmen yang dimasuki. Misalnya,
bagi pengunjung restoren 'sentuhan personal' adalah lebih penting berbanding menjual secara dalam talian.
Namun, jika perniagaan melibatkan pemasaran atau pengeluaran secara besar-besaran dengan jualan yang
cukup baik (seperti rendang atau serunding), maka teknologi banyak memainkan peranan. Terutamanya,
pengeluaran besar-besaran perlu mengabungkan teknologi makanan yang berkaitan untuk memastikan
kesegaran makanan tersebut. Selain itu, tempahan dalam talian dan penjualan menerusi Web boleh dibuat.

pengetahuan mengenai IT dan internet adalah kelebihan untuk CEO

Ketika menjawab pertanyaan yang sama Yohani berkata, "perniagaan seperti restoren, pendidikan, latihan,
perdagangan atau apa sahaja bentuk perniagaan yang tidak menggunakan teknologi berkemungkinan akan
'terjerat'. Apabila kita perhatikan di sekeliling, peningkatan persaingan bukan sahaja berlaku di peringkat
tempatan tetapi juga di peringkat global. Jika, sesuatu tidak dilakukan, persaingan akan hadir dalam bentuk
baru seperti penggunaan IT, Internet, SMS, dan komunikasi tanpa wayar untuk mengatasi pesaing mereka."

Menurut beliau lagi, perniagaan yang memilih untuk tidak menggunakan teknologi akan menjejaskan daya
saing sekaligus bahagian pasarannya. Jadi, pengusaha perlu memahami apakah 'alat' yang boleh digunakan
untuk terus berdaya saing. Walaupun perniagaan seperti restoren memang diakui mengutamakan makanan,
perkhidmatan dan persekitarannya, namun satu lagi aspek yang penting ialah penggunaan teknologi dalam
pemasaran. Ini untuk memastikan kunjungan yang berterusan dan restoren tersebut boleh diketahui ramai.

"Ada restoren yang menggunakan teknologi SMS. Para pelanggan boleh memperolehi maklumat mengenai
sesebuah restoren semudah dihujung jari menerusi telefon bimbit dan bukannya pergi dari sebuah kedai ke
kedai yang lain. Ini merupakan salah satu penggunaan teknologi dalam aspek pemasaran yang diguna pakai
kebanyakan restoren di seluruh dunia ketika ini, khasnya untuk bersaing dengan yang lain. Ada banyak
kreativiti dalam pemasaran. Tanpa mengira jenis perniagaan, persaingan perlu diambil kira," kata Yohani.

e-biz bukan sahaja mengenai membeli-belah

Dalam perbincangan yang sama, ahli-ahli panel turut diminta mengulas mengenai perkembangan teknologi
untuk tempoh 10 tahun yang akan datang. Dalam hal ini John berpendapat bahawa pebangunan teknologi
akan bertambah pantas dan bukan sebaliknya. Menurut beliau, pemproses mikro merupakan satu contoh
yang baik dari segi kepantasan dan saiznya. Sejarah telah membuktikan, pengecilan saiz pemproses mikro
merupakan satu contoh teknologi yang baik, manakala pembangunan teknologi dijangka terus meningkat.

"Teknologi juga boleh dikelaskan sebagai teknologi dari rak. Ia merujuk kepada sesuatu yang boleh dibeli
dan diakses oleh setiap orang seperti PC dan notebook yang ada pada hari ini. Banyak perniagaan hari ini
membeli dan menggunakan teknologi dari rak. Ada juga teknologi maju yang boleh membezakan sesebuah
syarikat dengan yang lain, dan untuk lebih berdaya saing. Penggunaan teknologi maju perlukan pelaburan
yang banyak. Manakala teknologi tanpa wayar untuk aplikasi merupakan satu contoh bagi teknologi maju."

Selanjutnya John menjelaskan bahawa, terdapat teknologi yang benar-benar termaju. Tetapi, tidak semua
syarikat akan menggunakan teknologi tersebut kerana ia tidak diperlukan atau tidak mampu dimiliki pada
hari ini. Contohnya, teknologi termaju dalam industri biotek, di mana satu kajian yang sedang berjalan
ketika ini telah menemui gen yang berguna dalam pengubatan. Malah, dalam bidang IT sendiri terdapat
teknologi terbaru, namun tidak semua syarikat menggunakannya kerana ia tidak diperlukan pada ketika ini.

Dalam sesi perbincangan yang semakin hangat itu, barisan ahli panel turut memberikan pandangan berbeza
apabila ditanya mengenai teknologi yang diramal berpotensi di masa akan datang khasnya dalam kategori
aplikasi utama (killer application). Antara teknologi yang dijangka menjadi aplikasi penting termasuklah
aplikasi tanpa wayar, 3G (generasi ketiga), pembantu peribadi digital (PDA), dan perkomputeran di rumah.
Sebagai rumusan, semua ahli panel bersetuju bahawa teknologi akan terus digabungkan dalam perniagaan.