Make your own free website on Tripod.com

TOP 10
10 Laman Web Terbaik

Setelah menjadi pengguna Internet khususnya Web selama lebih kurang 5 tahun, saya sudah tentu mempunyai senarai alamat-alamat (URL) laman Web yang saya gemari kerana rekabentuknya yang menarik, maklumat atau perkhidmatannya yang berguna atau isi kandungannya yang menghiburkan.  Dengan erti kata lain saya telahpun menandakan alamat-alamatnya di dalam menu "bookmark" atau "Favorites" di dalam pelayar Web (browser) saya.  Kompilasi "Laman Web Terbaik" saya ini juga berdasarkan kepada statistik pelawat yang telah disediakan oleh beberapa laman Web statistik Internet. Kategori kali ini adalah untuk permainan, Internet, direktori Web dan enjin pencari. Dalam keluaran-keluaran Majalah PC yang akan datang,  sepuluh laman Web terbaik dalam setiap kategori akan di bentangkan setiap bulan. Susunan laman-laman Web yang berikut ini tidak disusun menurut  kepentingannya.

Happy Puppy
Anda akan dapat tahu segala-galanya mengenai permainan komputer jika anda singgah ke laman Web Happy Puppy Anda juga boleh membeli permainan untuk Nintendo 64 atau Sony PlayStation, memindah terima perisian permainan demo atau shareware. Melalui laman Web ini juga anda boleh bermain dengan pemain-pemain dalam talian yang lain melalui Internet. Dalam laman Web ini juga terdapat panduan, tips, "cheats" (kod pintas), iklan kerja, ruangan borak dan akhbar mingguan yang dihantar melalui e-mel. Selain daripada Happy Puppy anda juga boleh singgah ke laman-laman Web permainan yang lain seperti GameSpot dan CNET's Gamecenter.com untuk mendapat maklumat , berita dan reviu mengenai permainan-permainan yang terkini.

Happy Puppy

CNET
CNET boleh dikatakan laman Web yang terbaik dalam penyediaan maklumat yang berkaitan dengan dunia komputer. CNET mempunyai misi untuk menolong pengguna IT dalam penggunaan komputer mereka seharian melalui laporan-laporan khas mengenai pelbagai topik seperti e-mail percuma terbaik, perkakasan terbaik dan pemilihan penyedia perkhidmatan Internet. Ia juga menyediakan beberapa alamat-alamat Web yang memang tidak asing lagi di kalangan peminat komputer iaitu download.com yang menyediakan reviu dan lokasi perisian shareware , computers.com yang menyediakan panduan membeli komputer dan peranti-perantinya dan builder.com yang menyediakan maklumat dan tunjuk ajar untuk pembina laman Web.
 

ZDNet
ZDNet pula merupakan pusat untuk berita dan rencana mengenai komputer, ZD atau Ziff Davis sebenarnya adalah penerbit pelbagai majalah komputer seperti PC Magazine, PC Computing, Computer Shopper, FamilyPC dan Yahoo Internet Life. Ia mempunyai banyak reviu-reviu produk IT di mana sistem ujikaji dan reviu produk ZDNet telah diterima sebagai sebuah piawaian   industri. Anda juga boleh mendapatkan perbandingan produk, memindah terima perisian dengan percuma, melabur dalam talian, panduan pelayari laman Web, panduan untuk  pembina laman Web dan juga kepada  peniaga industri kecil dan professional industri IT.

Winfiles
Untuk pengguna Windows tidak kira 95, 98, NT, atau CE, laman Web Winfiles ini merupakan sumber fail-fail  yang berguna. Ia juga mengandungi tips, pintasan (shortcut) dan cara mengguna sistem pengoperasian Windows keluaran Microsoft ini. Ia juga mempunyai segmen-segmen untuk mengatasi  pepijat dan bagaimana untuk memperbaiki perisian Windows yang bermasalah. Anda juga boleh memindah terima perisian-perisian dan juga driver-driver untuk pelbagai perkakasan.
 

Mac Fix It
Untuk pengguna Macintosh pula terdapat laman Web MacFixIt yang penuh dengan berita-berita terkini dan pelbagai panduan kepenggunaan produk Macintosh. Dalam laman Web ini juga anda boleh memindah terima fail-fail penting untuk Macintosh anda. Ia juga mempunyai maklumat terkini mengenai Mac OS 8.5.1 dan juga masalah-masalah yang timbul dan bagaimana untuk mengatasinya.  .

Yahoo!
Yahoo! merupakan salah sebuah direktori Web yang tertua dalam Internet dan ia merupakan Web Portal atau Mercu Tanda Web yang paling digemari oleh peluncur Web di seluruh dunia. Ia mempunyai senarai laman Web menurut kategori dan direktorinya mempunyai struktur hirarki yang dibahagikan kepada 14 topik utama dan seterusnya terbahagi kepada ribuan subtopik. Jika anda gagal mendapatkan sebarang maklumat menerusi topik-topik ini, anda boleh menggunakan enjin pencari Inktomi yang telah disediakan dan juga untuk mendapatkan keputusan daripada enjin pencari lain seperti AltaVista, Deja News, HotBot dan Infoseek. Selain daripada Yahoo, anda juga boleh menggunakan direktori Web seperti Excite dan Lycos, di mana kedua-dua laman Web direktori ini mempunyai cara tersendiri untuk mengkategorikan laman-laman Web.

Alta Vista
Walaupun terdapat banyak engin-enjin pencari, tetapi AltaVista masih mampu mempertahankan kejaguhannya dalam bidang ini. Kepantasan dan ketepatan pencariannya memang sukar untuk ditandingi engin-engin pencari yang lain.  Ia telah mengindeks pelbagai tapak Web dan indeknya ini melebihi kebanyakan index engin-engin pencari yang lain.. Ia juga  menggunakan teknologi bahasa semulajadi daripada Ask Jeeves, di mana anda boleh terus menaip soalan dan mendapatkan jawapan yang sesuai dengan soalan anda. Contohnya "What is the Internet?" (apakah itu Internet). Anda juga boleh mencari laman Web yang dikehendaki dengan menggunakan index AltaVista yang mengandungi jutaan alamat laman Web yang diindeks secara individu.

HotBot
Sebuah lagi enjin pencari yang semakin popular adalah HotBot dan ia  dihasilkan oleh sebuah majalah komputer yang terkenal iaitu Wired. Ia berkemampuan mencari dengan pantas dan bijak serta memaparkan keputusan dengan sistematik dan tersusun. Ia mengkategorikan maklumat kepada empat bahagian iaitu Stay Informed (News, Sports, Entertainment, Reference, Health); Plan a Purchase (Cars, Home & Real Estate, Travel, Shopping Directory); Manage Your Money (Finance, Jobs, Business, Education) dan Use Technology (Computers, Downloads & Games). Hotbot juga ada menyediakan perkhidmatan e-mel dan laman Web percuma.

HotBot

GeoCities
GeoCities adalah pelopor perkhidmatan penghosan laman Web secara percuma. Ia sering dinamakan sebagai sebuah 'negara' dalam Internet yang mempunyai lebih daripada sejuta ahli yang terdiri daripada 5,000 komuniti yang dipanggil homesteaders yang sering datang hampir setiap hari untuk membina atau mengubah laman-laman Web mereka atau menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan yang lain.  Capaian pengguna (hits) Geocities mampu mencecah sejuta capaian setiap hari. Untuk membina laman Web dalam Geocities anda perlu mendaftar diri dengan laman Web ini,  ia juga menyediakan bantuan dan tunjuk ajar tentang cara-cara membina laman Web.

Tripod
Laman Web Tripod merupakan penghos percuma laman Web yang kedua terbesar selepas Geocities.  Maklumat dan tunjuk ajarnya mengenai pembinaan laman Web boleh dianggap diantara yang terbaik dalam Internet.