Laman Web Games

Anda suka main games (permainan) komputer? Jika anda menjawab tidak, mungkin anda berbohong kepada saya kerana majoriti orang yang menggunakan komputer pasti akan berminat dengan permainan komputer. Malah saya sendiri mula berjinak-jinak dengan komputer menerusi permainan komputer ketika di bangku sekolah.

Tahukah anda, anda boleh mendapatkan perisian permainan percubaan percuma daripada Internet? Anda juga boleh mendapatkan ulasan dan cara bermain sesuatu permainan itu daripada laman-laman Web permainan. Malah dengan adanya laman-laman Web ini anda boleh mendapat tahu permainan terbaru yang bakal memasuki pasaran dan juga senarai 10 permainan terbaik mingguan. Berikut adalah beberapa laman Web permainan komputer yang boleh anda kunjungi.

GameCenter
http://www.gamecenter.com

Tapak Web ini merupakan sebahagian daripada tapak Web CNET yang mempunyai pelbagai ulasan, prebiu dan perisian untuk dipindah terima. Malah tapak Web ini sering menjadi tapak Web yang dikunjungi oleh para pemain fanatik permainan komputer kerana ia sering memberikan panduan permainan yang lengkap dan tepat. Ia juga memaparkan ciri portal yang memudahkan anda mencari maklumat yang anda kehendaki. Contohnya jika anda ingin mencari maklumat tentang permainan Grim Fandango ia akan membentangkan prebiu, ulasan penuh, perisian tambahan, perisian percubaan, gambar permainan dan panduan permainan.

Gamers Central
http://www.gamerscentral.net

Tapak ini berasal daripada Belanda dan telah berjaya mencapai tahap anugerah Webby (anugerah seakan Oscar untuk laman Web) untuk tapak Web permainan. Ia merupakan gudang maklumat seperti berita, ulasan permainan dan maklumat permainan komputer. Ia juga mempunyai koleksi sambungan (links) dan paparan permainan yang banyak. Ini merupakan sebuah tapak Web yang dibina oleh peminat permainan untuk bertukar pendapat dan idea.

GameSpot
http://www.gamespot.com

GameSpot adalah salah satu tapak Web ZDNet dan ia merupakan sebuah pusat sumber untuk berita permainan, prebiu, ulasan, perisian percubaan dan pelbagai perisian untuk dipindah terima. Ia telah bekerjasama dengan majalah Computer Gaming World untuk memberikan para pembaca pilihan reviu yang lebih luas. Tapak Web ini juga mempunyai reputasi yang tinggi untuk menjadi yang pertama untuk memaparkan permainan terkini. Dalam laman Web ini juga terdapat sebuah diari yang dipanggil Designer Diaries di mana anda boleh mendapatkan idea dan bagaimana sesebuah permainan itu dibuat.

MSN Gaming Zone
http://www.zone.com

Jika anda mahu mencari lawan untuk bermain permainan komputer secara dalam talian anda boleh pergi ke Gaming Zone kerana terdapat lebih 10,000 pemain dalam talian akan berada di sini setiap hari. Kebanyakannya akan bermain permainan berasaskan papan seperti catur, backgammon atau kad. Namun begitu ramai juga yang bermainan permainan strategi seperti Age of Empires atau permainan simulasi Fighter Ace tetapi anda hendak membayar sedikit yuran untuk bermain. Jika anda rasa anda seorang yang handal mungkin anda boleh ketemu dengan lawan yang setanding dengan anda di sini.

Gamesdomain
http://www.gamesdomain.co.uk

Ini merupakan salah sebuah laman Web permainan yang tertua dan popular selain daripada Gamespot. Laman Web yang berasal daripada United Kingdom ini mempunyai lapan cawangan laman Web di seluruh dunia termasuk di Jerman dan Amerika Syarikat. Ia merupakan laman Web yang menggunakan ciri portal supaya pengunjung mudah untuk mendapatkan maklumat. Gamesdomain mempunyai panduan permainan, soalan lazim (FAQ) permainan, soalan lazim perkakasan permainan dan segmen Sistem Panduan Univrsal (UHS atau "Universal Hint System"). Dengan UHS ini para pemain akan mendapat sebuah panduan yang umum untuk menang kerana setiap genre permainan mempunyai ciri yang serupa di antara satu dengan yang lain. Ia juga mempunyai ruang untuk syarikat penghasil permainan untuk mengemaskinikan maklumat permainan yang dihasilkan oleh mereka.