Internet – Chat

Saya telah menerangkan penggunaan FTP dan cara-cara fail dipindahkan daripada satu tempat ke satu tempat dengan menggunakan protokol tertentu. Dengan itu kali ini saya akan menerangkan mengenai satu lagi perkhidmatan Internet yang paling popular di kalangan Netizen (warga Internet) iaitu pekhidmatan “chat” atau berborak.

Perkhidmatan chat merupakan salah satu perkhidmatan yang awal disediakan oleh Internet selain FTP, emel dan laman Web. Malah ketika Internet dibina pada awalnya, chat adalah satu cara yang mudah untuk berkomunikasi dengan individu lain yang berada jauh di tempat lain. Di Malaysia, chat mula diperkenalkan pada awal 1995 tetapi tidak ramai yang menggunakannya dan mempunyai capaian Internet. Pada ketika itu juga kegiatan Internet hanyalah bertumpu kepada pelayaran laman Web dan penggunaan kumpulan berita (newsgroup) sahaja.

Hanya pada awal 1997, kegiatan chat semakin popular di kalangan pengguna Internet tempatan kerana kafe siber mula muncul dan semakin ramai pengguna mempunyai komputer serta akaun Internet. Ketika ini juga jumlah pelayan (server) chat terutamanya IRC (Internet Relay Chat) di seluruh dunia semakin bertambah. Kehadiran perisian mIRC yang telah dihasilkan oleh seorang warga Britain telah mempopularkan rangkaian chat IRC. Setelah itu banyak perisian chat lain dihasilkan, antaranya ialah pIRCh, WarMaster dan KombatIRC.

Kini IRC merupakan sebuah rangkaian yang besar dan melibatkan ratusan pelayan chat di seluruh dunia. Pelayan-pelayan ini disediakan oleh syarikat atau organisasi perkhidmatan Internet yang menyediakan jenis rangkaian yang berbeza. Antara rangkaian IRC yang terdapat ialah Efnet, Undernet, IRCnet, ChatNet, DALnet dan Afternet. Biasanya pengguna di Malaysia menggunakan rangkaian Undernet kerana ia adalah lebih mudah dicapai dan lebih popular.

Sebelum anda memasuki IRC anda perlu ada nama khas sebagai pengenalan anda di dalam dunia siber itu. Nama khas ini digelar nickname atau nick secara ringkasnya dan biasanya nick ini akan menggunakan nama yang ganjil dan jarang orang menggunakan nama asal sebagai nick. Antara nick yang digunakan dalam IRC ialah Neo, RippeR, MaX, Maul dan CreX.

Setelah anda memasuki sebuah rangkaian contohnya Undernet anda hendaklah memilih channel (saluran) yang biasanya dimulakan dengan tetanda #. Dalam setiap saluran terdapat seorang moderator (penyelaras saluran) iaitu W dan X, yang merupakan sebuah aturcara atau bot bagi memudahkan saluran itu diuruskan. Dalam channel itu juga terdapat seorang atau lebih operator channel iaitu tuanpunya saluran atau rakan-rakannya di mana mereka akan mempunyai tanda @ pada pangkal nick mereka. Operator channel ini boleh menjalankan tugas-tugas penyelenggaraan saluran seperti menukar topik, menendang keluar pengguna yang melakukan kesalahan dan juga menetapkan mod saluran.

Selain daripada chat menggunakan perisian seperti mIRC, anda juga boleh menggunakan chat berasaskan Web iaitu sebuah laman Web yang menyediakan kemudahan chat menerusi pelayar Web. Antara laman Web yang menyediakan ruangan chat berasaskan Web ialah Yahoo Chat, Snap Chat dan Xoom Chat. Biasanya chat berasaskan Web ini menggunakan program Java Applet dan pengguna memerlukan sebuah pelayar Web yang boleh menerima Java.

Anda juga boleh membuat laman Web chat sendiri dengan mendapatkan Java Applet daripada Xoom atau Homestead. Anda akan diberi satu senarai kod yang perlu menyalin ke dalam laman Web anda dan juga sebuah fail Java Applet (fail bersambungan .class). Anda hendaklah menyimpan fail HTML dan fail Java Applet dalam satu folder supaya ia mudah dicapai.

Selain daripada itu, terdapat satu lagi cara untuk anda berkomunikasi menerusi Internet iaitu dengan menggunakan ICQ (I Seek U) dan Yahoo Messenger. Kedua-dua perisian ini disambung kepada Internet menerusi sebuah rangkaian khas dan membolehkan pengguna berhubung dengan menggunakan mesej, chat, emel dan suara. Tambahan daripada itu, kedua-dua perisian ini juga mempunyai kemudahan diari, peringatan mengenai tarikh-tarikh penting, penerimaan harga-harga saham, ramalan cuaca dan juga mendapatkan berita-berita terkini.

Ketika menggunakan perkhidmatan chat menerusi Internet, anda hendaklah mematuhi beberapa etika bagi mengelakkan salah faham dan pergaduhan di antara pengguna. Contohnya jangan gunakan huruf besar kerana anda akan dianggap menjerit kepada pengguna lain, jangan gunakan perkataan lucah, jangan “flood” (tindakan tujuan memenuhi channel dengan teks yang banyak) dan jangan melakukan “nuke” (tindakan memutuskan sambungan pengguna lain daripada IRC dengan menggunakan program tertentu).

Nasihat saya kepada anda bertindak bijak dan bersopanlah di dalam Internet. Pastikan anda melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai IRC atau ICQ sebelum menggunakannya. Jika anda ada sebarang masalah atau pertanyaan mengenai Internet anda boleh menghantar e-mel kepada saya. InsyaAllah dalam keluaran hadapan kita akan menyentuh mengenai corak komunikasi yang lain menerusi Internet.