Make your own free website on Tripod.com
Menilai Windows 2000
Oleh Jalal

Adakah Windows 2000 sesuai untuk anda? Saya tidak akan berkata "tepuk dada tanyalah selera" kerana keputusan untuk menggunakan Windows 2000 adalah berdasarkan fakta dan bukannya selera. Dalam ruangan terdahulu saya telah katakan bahawa Windows 2000 adalah bagi anda yang telah menggunakan Windows NT tetapi ia bukan bermakna anda yang menggunakan Windows 95/98 tidak boleh menggunakan Windows 2000. Walaupun terdapat beberapa masalah kecil semasa peningkatan daripada Windows 95/98 kepada Windows 2000 tetapi ia masih boleh diatasi dan anda boleh menggunakan Windows 2000 dengan selamat.

Menilai Windows 2000 bukanlah daripada beberapa insiden ketidakserasiannya tetapi daripada kekuatan Windows 2000 itu sendiri. Saya telah menilai Windows 2000 daripada lima segi iaitu penggunaan Desktop atau PC, penggunaan dalam rangkaian, penggunaan pelayan Web (Web Server), penggunaan pelayan fail dan cetak (File and Print Server) dan pelayan aplikasi (Application Server). Saya telah mengariskan secara ringkas kekuatan Windows 2000 dalam penggunaan-penggunaan tersebut dan menilai sejauh mana Windows 2000 mampu dimanipulasi.

Penggunaan Windows 2000

Desktop atau Pelanggan

Kini terdapat pelbagai ciri desktop telah dimuatkan ke dalam Windows 2000 seperti Palam dan Guna (PnP), pengurusan kuasa, satu kod binari untuk semua bahasa, teknologi pengurusan IntelliMirror, peningkatan kepantasan berbanding Win95/98 atau WinNT 4.0. Ia juga mampu mengoptimakan pengurusan memori, capaian pendaftaran aplikasi dan capaian cakera atau storan.

Rangkaian (Networking)

Windows 2000 berupaya memaksimakan penggunaan rangkaian tahap tinggi dengan menggunakan kad Gigabit. Ia juga boleh meningkatkan penggunaan TCP/IP dalam Windows 2000 menerusi sokongan penurunan beban "checksum" dan penghantaran beban besar. Windows 2000 juga mampu meningkatkan truput rangkaian kepada 25% lebih daripada Windows NT 4.0. Di mana ia boleh mencapai truput sehingga 4 gigabit persaat. Dengan keupayaan yang tinggi ini maka pengguna akan mendapat manfaat daripada peningkatan kapasiti pelayan Web, pelayan fail dan pelayan aplikasi.

Pelayan Web

Jika menggunakan Windows 2000, pelayan yang telah menggunakan Windows NT Server 4.0 sebelum ini, akan meningkat keupayaannya secara mendadak. Kemajuan telah dilakukan dalam Windows 2000 untuk meningkatkan keupayaan Active Server Page (ASP) dan penskalaan SMP. Aplikasi ASP yang digunakan akan berfungsi dengan lebih baik dalam Windows 2000. Ujian telah menunjukkan bahawa keupayaan ASP meningkat lebih tinggi dengan Windows 2000 berbanding dengan Windows NT Server 4.0. Malah menurut ujian SPECWeb 96, keupayaan berjaya ditingkatkan dengan Windows 2000.

Pelayan Fail dan Cetak

Pelbagai peningkatan yang dilakukan ke atas komponen pelayan fail seperti saiz cache maya daripada 496MB kepada 960MB, peningkatan arahan SMB dalam Windows 2000 dan mengoptima sistem ffail Windows NT (NTFS). Windows 2000 menawarkan sebuah penyelesaian pelayan fail yang berkeupayaan tinggi dan berskala. Menurut ujian NetBench, rangkaian yang menggunakan Windows 2000 Server di komputer pelayan dan Windows 2000 Professional di komputer pelanggan, meningkat keupayaannya sebanyak 20% berbanding dengan penggunaan Windows NT Server 4.0 dan Windows NT Workstation 4.0. Secara tidak langsung keupayaan rangkaian yang menggunakan Windows 2000 adalah dua kali ganda lebih cekap dan pantas.

Sebagai pelayan cetak pula, Windows 2000 mampu mengendalikan pemprosesan tiga kali lebih daripada Windows NT Server 4.0. Malah dengan penambahan pencetak di dalam sistem rangkaian yang menggunakan Windows 2000 Server, ia tidak mengurangkan kepantasan cetakan. Tambahan dari itu Windows 2000 mampu melakukan proses "render" tiga kali lebih pantas.

Pelayan Aplikasi

Windows 2000 Server adalah sebuah platform terbaik untuk menjalankan aplikasi perniagaan. Dengan penskalaan SMP yang lebih baik, keupayaan rangkaian dan sokongan untuk memori yang telah ditingkatkan, maka ia akan membuatkan suasana rangkaian lebih efektif. Kemajuan yang telah dilakukan kepada COM+ (dahulunya COM dan Microsoft Transaction Server) telah membolehkan pengguna menjalankan aplikasi berasaskan COM.

Perbandingan Windows 2000 dengan OS lain

Windows 2000 Professional

Pro
Stabil dan berkeupayaan tinggi
Sokongan IEEE 1394 (FireWire), USB, dan AGP
Ciri termaju untuk komuter bimbit (notebooks) termasuk sokongan ACPI dan kad PC.
Boleh menjalankan pelbagai jenis perisian Windows.
Ciri keselamatan yang tinggi dan keupayaan pengurusan korporat.
Kontra
Masalah keserasian perkakasan dan perisian terutama peranti multimedia dan permainan
Peningkatan yang payah daripada Windows 95/98
Kehendak perkakasan yang tinggi
Agak mahal

Windows 98

Pro
Sokongan perkakasan dan perisian yang baik
Kehendak perkakasan yang rendah berbanding Windows 2000
Kontra
Walaupun lebih stabil daripada Windows 95, masih ada masalah

Win NT4

Pro
Stabil dan terbukti
Kehendak perkakasan yang lebih rendah daripada Windows 2000
Kontra
Sokongan komputer bimbit yang kurang baik
Kurang sokongan USB dan AGP
Mahal

Mac OS 9

Pro
Antaramuka berinovasi
Sokongan USB dan IEEE 1394 (FireWire)
Digunakan dalam sistem yang kelihatan canggih
Kontra
Keupayaan pelbagai tugas yang kurang baik
Lebih mudah terganggu daripada Windows NT, Windows 2000, dan Linux
Kurang pilihan perisian berbanding dengan Windows

Linux

Pro
Percuma atau harga amat rendah
Amat stabil dan baik
Laju dan kehendak sistem yang minima
Banyak perisian percuma
Pembinaan sumber terbuka (open-source) untuk memudahkan peningkatan versi
Kontra
Konfigurasi perkakasan yang agak sukar
Antramuka pengguna kurang memuaskan
Pilihan perisian komersial yang kurang
Memerlukan kepakaran teknikal yang lebih berbanding Windows atau MacOS

Sejarah Windows 2000

Beta 1 - dikeluarkan pada 27 September 1997
Beta 2 - dikeluarkan pada 20 Ogos 1998
Beta 3 - dikeluarkan pada 16 Disember 1998
Beta 3 kedua - dikeluarkan pada 17 Mac 1999
Beta 3 ketiga - dikeluarkan 29 April 1999
Release Candidate 1 (RC1) - 2 Julai 1999
Release Candidate 2 (RC2) - 15 September 1999
Release Candidate 3 (RC3) - 11 November 1999
Versi penamat - 15 Disember 1999
Versi MSDN - pada 19 Januari 2000
Untuk pengeluar komputer - 24 Januari 2000
Versi utama (sokongan pelbagai bahasa) - 14 Januari 2000
Pelancaran Windows 2000 - 17 Februari 2000
Pelancaran Windows 2000 di Malaysia - 8 Mac 2000