Make your own free website on Tripod.com

Windows 2000

Active Directory : Intipati Windows 2000

Sistem operasi yang menggunakan teknologi NT ini dilengkapi khidmat aplikasi Web dan keselamatan Internet yang standard. Manakala prestasinya yang telah terbukti pada kos yang rendah hingga menjadikannya pilihan terbaik untuk menjalankan perniagaan dengan kemudahan Internet. Windows 2000 juga sedia berskala dengan sekurang-kurangnya sebuah pelayan untuk berdozen-dozen klien hinggalah mencapai beratus pelayan dengan beribu klien. Keupayaan ini amat penting khususnya untuk organisasi yang melibatkan pengurusan sumber di dalam rangkaian.

Kita juga sedia maklum rangkaian komputer menjadi semakin penting dalam perniagaan untuk mengekalkan daya saing dan sebuah sistem operasi perlu mengurus identiti dan perhubungan sumber di dalamnya. Ini sebenarnya dapat direalisasikan menerusi khidmat sebuah direktori yang menyediakan lokasi untuk menyimpan maklumat mengenai entiti rangkaian seperti aplikasi, fail, pencetak, dan pengguna. Malah ia juga boleh menyediakan kaedah konsisten untuk menama, menerang, menempat, mengakses, mengurus, dan menyimpan maklumat setiap sumber tersebut.

Sebagai sebuah autoriti berpusat, khidmat direktori juga berperanan sebagai pengurus identiti, penghubung sumber-sumber dan membolehkan kerjasama dilaksanakan. Oleh kerana khidmat direktori menyediakan fungsi asas sistem operasi rangkaian, maka ia mestilah berkait rapat dengan mekanisma pengurusan dan keselamatan sistem operasi itu bagi memastikan integriti dan 'privacy' rangkaian. Ia juga membolehkan organisasi mendefinisi dan menyelenggara infrastruktur rangkaian, melaksanakan pentadbiran sistem, dan mengawal semua pengguna dalam sistem maklumat.

Keperluan terhadap khidmat direktori bersepadu yang lebih berkuasa, bersifat telus, dan ketat didorong oleh ledakan dan pertumbuhan dalam perkomputeran rangkaian. Berikutan berkembangnya rangkaian kawasan setempat (LAN) dan rangkaian kawasan luas (WAN) sehingga menjadi semakin besar dan lebih kompleks, maka rangkaian kini perlu dihubungkan kepada Internet, dan aplikasi memerlukan lebih daripada sebuah rangkaian seperti dihubungkan kepada sistem lain menerusi intranet korporat. Oleh itu, banyak khidmat yang diperlukan daripada sebuah direktori.

Peranan Active Directory

Segmen penting dalam pentadbiran rangkaian ialah pengurusan pengguna, komputer, dan kumpulan. Sebuah sistem
operasi yang baik dapat memastikan hanya pengguna dan komputer yang dikenalpasti sahaja boleh memasuki sistem rangkaian dan setiap sumbernya pula tersedia untuk pengguna yang diizinkan sahaja. Di dalam Windows 2000, khidmat Active Directory memainkan beberapa peranan utama dalam menyediakan keselamatan. Antara peranannya ialah pengurusan yang berkesan untuk mendaftar kemasukan dan keizinan pengguna di dalam rangkaian tersebut.

Dengan memberikan nama untuk pengguna atau sumber, khidmat direktori boleh menyediakan keperluan maklumat untuk mengakses kepada pengguna dan sumber tersebut. Salah satu cabaran di dalam persekitaran komputer teragih berskala besar ialah pengenalpastian dan penempatan sumber-sumber seperti pengguna, kumpulan, pencetak dan dokumen. Apabila sebuah khidmat direktori menjadi sebahagian daripada persekitaran perkomputeran berpusat, maka satu cara untuk menempatkan dan mengenalpasti pengguna dan sumber-sumber di dalamnya boleh disediakan.

Umumnya, sebuah khidmat direktori melibatkan pengurusan peralatan dan pengguna di dalam sesebuah organisasi. Kita sedia maklum, bilangan objek di dalam sebuah rangkaian akan membesar dan menyebabkan khidmat direktori yang menjadi 'hub' di dalam sebuah sistem rangkaian semakin besar dan penting. Untuk memenuhi keperluan ini, Active Directory diperkenalkan menerusi Windows 2000 Server. Ia merupakan set bersepadu khidmat direktori untuk meningkatkan pengurusan, keselamatan, dan kebolehan interoperasi bagi sistem operasi rangkaian Windows.

Dari sudut teknikal pula, Active Directory merupakan satu bahagian penting dan tidak berasingan di dalam senibina rangkaian Windows 2000. Pengguna juga difahamkan bahawa Windows 2000 yang dilancarkan baru-baru ini adalah pengganti kepada sistem operasi Windows NT 4.0 sebelum ini dan matlamatnya untuk menyediakan sebuah khidmat direktori bagi persekitaran rangkaian teragih. Sehubungan itu Active Directory membolehkan sesebuah organisasi berkongsi dan mengurus maklumat mengenai sumber-sumber dalam rangkaian dan penggunanya dengan efisyen.

Selain mengutamakan aspek-aspek keselamatan rangkaian, Active Directory juga membolehkan sistem operasi ini
mengesahkan identiti pengguna dan mengawal akses mereka kepada sumber-sumber dalam rangkaian. Tidak kurang pentingnya ialah peranan Active Directory sebagai satu titik bersepadu yang berperanan menghimpunkan sistem dan menggabungkan tugas-tugas pengurusan. Dengan keupayaan kombinasi seperti ini, organisasi boleh menggunakan peraturan yang standard untuk mengagihkan aplikasi dan sumber-sumber rangkaian yang ada dengan berkesan.

Salah satu kelebihan Active Directory ialah kebolehannya membantu organisasi dalam mengintegrasikan sistem-
sistem yang bukan berasaskan Windows dengan aplikasi yang berasaskan Windows begitu juga dengan peranti-peranti yang serasi Windows. Kebolehan seperti ini sebenarnya meningkatkan nilai pelaburan organisasi terhadap persekitaraan rangkaian yang sedia ada. Secara tidak langsung kebolehan integrasi sistem juga dapat mengurangkan kos keseluruhan perkomputeran organisasi kerana persekitaran rangkaian mereka menjadi lebih mudah diurus.