Secara mudah, Internet merupakan kumpulan rangkaian yang disambungkan bersama-sama. Internet dibangunkan di atas sekumpulan jaringan yang merangkumi seluruh dunia dan jaringan yang terbentuk tersebut mengandungi banyak jenis komputer yang berbeza. Oleh itu, sesuatu mesti ada yang membolehkan jaringan-jaringan itu dapat dirangkaikan bersama-sama. Inilah yang dinamakan TCP/IP. Aktiviti komunikasi dilakukan dengan menggunakan satu protokol utama yang dinamakan protokol kawalan transmisi/protokol Internet atau TCP/IP (Transmission Control Protocol/Internet Protocol), dan komunikasi wujud dalam dua hala.
Sesetengah orang pula menerangkan bahawa Internet adalah satu koleksi longgar rangkaian, tapi saling bersambungan antara satu sama lain. Kedua-dua makna Internet tersebut adalah benar, namun begitu ia tidak memadai untuk menerangkan sepenuhnya mengenai Internet. Ini terjadi kerana memang agak susah untuk benar-benar mencari makna di sebalik Internet. Internet membawa makna yang berbeza bagi kumpulan pengguna yang berlainan.
Kalau bertanya kepada para remaja, mereka akan mengatakan bahawa Internet adalah satu medium baru untuk berkomunikasi, melalui penggunaan e-mel dan bilik borak. Kalau bertanya kepada para peniaga, khususnya peneraju dunia perniagaan, pasti mereka menjawab bahawa Internet merupakan peralatan terkini dalam melaksanakan urusan perdagangan. Kalau kita merujuk kepada para pelajar, guru, pensyarah dan penyelidik, mereka akan berkata Internet adalah tempat yang banyak mengandungi maklumat dalam pelbagai bidang kehidupan dan teknologi.
Perhatikan bahawa di sebalik semua makna Internet yang diberikan, terdapat dua tema utama, iaitu Internet dan komuniti yang terlibat. Dapat disimpulkan bahawa kedua-dua elemen alat (Internet) dan komuniti (manusia) dapat mewakilkan makna Internet tersebut. Pada pandangan pengguna Internet umum, Internet dibentuk dari rangkaian komputer yang membawa maklumat. Kecanggihan dan keajaiban Internet sebenarnya banyak bergantung kepada kandungan maklumat yang boleh dibawa bersamanya. Walaupun teknologi pembawa maklumat atau rangkaian adalah elemen asas yang membentuk Internet, namun sebahagian besar pengguna Internet tidak menghiraukan apa yang ada di sebalik tabir. Apa yang penting ialah medium ini mengandungi berjuta-juta laman web dan sumber kandungan untuk kita terokai dan jelajahi.
Akhirnya Internet bukanlah sekadar rangkaian komputer dan perkhidmatan maklumat yang diberikan sahaja. Ia juga adalah bukti bahawa manusia boleh berkomunikasi secara bebas dengan kos yang amat berpatutan, tanpa mengira latar belakang sosial dan sejarah kehidupan terdahulu. Setiap orang boleh memasukinya. Anda tidak akan ditempelak kerana memakai pakaian warna lain, menganuti agama berlainan, warna kulit yang tidak serupa dan datangnya dari bahagian dunia yang berlainan. Internet secara keseluruhan merupakan satu 'dunia baru', yang mengandungi pelbagai watak kehidupan manusia. Dari satu segi Internet seolah-olah satu dunia 'pelarian' atau dunia alternatif kepada dunia nyata yang kita diami sekarang.
Fakta dan Jumlah
Disebabkan Internet berkembang begitu pantas, agak sukar menentukan berapa banyak komputer telah bersambung ke Internet. Namun saya merujuk kepada satu sumber yang didapati di laman web www.headcount.com (Computer Industry Almanac, edisi September 1998) yang melaporkan bahawa terdapat lebih 327 juta orang yang mencapai Internet di seluruh dunia.
Pihak IDC menganggarkan jumlah keseluruhan pengguna Internet di Malaysia akan meningkat kepada 328,826 pada akhir tahun 1998 dan mencecah 2.11 juta pada tahun 2001. IDC juga menganggarkan pengguna World Wide Web di Malaysia akan meningkat kepada 293,910 pada akhir 1998 dan akan berkembang kepada 2.06 juta menjelang tahun 2001.
Dari angka tidak rasmi kedua-dua pengguna yang berdaftar dengan JARING dan TMNet, sekarang ini terdapat lebih dari 400,000 pengguna. Jika anggaran setiap akaun digunakan oleh tiga (3) orang yang berlainan, maka sekarang ini Malaysia sudah mempunyai 1.2 juta pengguna Internet.
Sejarah paket
Internet sebenarnya dibangunkan sebagai
satu eksperimen oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat pada tahun 1969,
dengan nama ARPAnet. Internet dibangunkan bagi menangani dua kegunaan.
Pertamanya bagi menyebarkan penemuan penyelidikan di kalangan institusi
ketenteraan, industri dan pihak universiti. Keduanya bagi mengadakan saluran
komunikasi yang kukuh dan masih berfungsi walaupun serangan nuklear terjadi.
Sekumpulan penyelidik telah memulakan eksperimen dengan idea rangkaian
komputer pantas dan sesuai dengan menggunakan sambungan biasa seperti talian
telefon. Hasil sumbang saran mereka, lahirlah teknologi rangkaian pensuisan
paket (packet switching).
Maklumat yang merentasi rangkaian
dipecahkan kepada cebisan-cebisan yang dinamakan paket. Maklumat yang dibawa
oleh paket bukan sahaja maklumat utama yang sepatutnya dibawa, malah ia
termasuk maklumat destinasi paket dan nombornya, seperti paket 1, 2 dan
berikutnya. Dengan ini, pesanan atau kandungan yang dihantar akan melalui
jalan yang berlainan menuju ke destinasi yang sama. Kandungan akan sampai
ke destinasi dalam banyak kaedah. Apabila kandungan sampai ke tempat tujuannya,
baharulah ia digabung kembali dan komputer serta manusia akan dapat membaca
kandungan tersebut.
Platfom yang berlainan
Bagaimana komputer yang mempunyai pelbagai platfom dan sistem pengoperasian yang berlainan dapat berkomunikasi menggunakan Internet? Jurutera harus mencari jalan supaya komputer dapat 'bercakap' dengan menggunakan bahasa yang sama. Pada tahun 1983, terhasilnya TCP/IP, bahasa piawai Internet.
Banyak komputer yang mempunyai sambungan terus dan sepenuh masa ke Internet menggunakan sistem pengoperasian UNIX. Sistem ini boleh menyambungkan dari jenis komputer meja (PC) sehingga kepada kerangka utama. Sehingga sedikit masa dahulu pun, menggunakan Internet bermakna perlu memahami sedikit sebanyak arahan UNIX. Sekarang ini dengan adanya teknologi antara muka bergrafik (GUI), apa yang anda perlu tahu, pada peringkat paling asas, untuk menjelajah dunia siber ialah kepandaian tunjuk dan heret melalui penggunaan tetikus komputer.
Sistem Pengoperasian
Pilihan sistem pengoperasian komputer selalunya bergantung kepada minat setiap individu. Dalam kebanyakan kes, pilihan tertumpu kepada dua sistem, sama ada Microsoft Windows (95 dan 98) atau Apple Macintosh. Kedua-duanya dapat beroperasi dengan baik dan dapat bersambung ke Internet dalam kaedah yang sama, walaupun mungkin set up agak berbeza. Terdapat juga pengguna yang menggunakan Windows CE bagi komputer telapak dan Linux.
Ada juga pengguna Internet yang masih menggunakan sistem pengoperasian yang agak lama, seperti Microsoft Windows 3.x (x sebagai ganti versi .1 dan ke atas). Ini adalah sistem yang telah lama wujud, yang selalunya tidak mempunyai komponen perisian penting yang dinamakan 'dialer'. Perisian dialer ini menggunakan TCP/IP bagi bersambung ke Internet. Jika anda masih menggunakan Windows 3.x dan masih tidak mempunyai dialer, jangan bimbang, sila dapatkan di sini: www.jaring.my/jaring/helpdesk.
Sila ikuti langkah-langkah di bawah:
1. Pilih medan "Technical Support"
2. Dari sana, klik "Getting Connected"
3. Pilih "Windows 3.x"
4. Klik di "Download Trumpet Winsock
3.0" (juga terdapat tatacara bagaimana untuk sediakan (set up) perisian
Trumpet Winsock tersebut).
5. Simpan ke dalam disket atau cakera
keras
Tapak www.jaring.my/jaring/helpdesk ini juga menyediakan maklumat pemasangan bagi semua sistem pengoperasian yang lain, iaitu Linux, Windows NT, Windows 98 dan 95, Macintosh, Windows CE, Celular Phone (penyediaan Internet, WWW dan e-mel) dan MyWeb (produk dari Philips).
Pastinya Windows 95, 98 dan Macintosh adalah sistem pengoperasian yang paling popular dan paling mudah dikonfigurasikan. Lagipun, aplikasi penting seperti aturcara dialer dan seumpamanya sudah sedia ada. Apa yang anda perlukan sekarang ialah sama ada Netscape Communicator atau Internet Explorer atau kedua-dua sekali.
Dalam Windows 95 misalnya, terdapat
atur cara yang bernama Windows 95 Dial-Up Networking yang akan mengendalikan
sambungan ke Internet. Apa yang anda perlukan dari penyedia perkhidmatan
Internet (ISP) ialah panduan bagaimana untuk set up program tersebut dan
membuat beberapa pilihan yang ada. Dalam sistem pengoperasian Macintosh,
anda boleh menggunakan Apple Internet Dialer atau atur cara CONFIG PPP
bagi membuat sambungan ke Internet. Pengguna Internet juga boleh menggunakan
atur cara freePPP yang boleh didapati dari tapak web tertentu, misalnya
www.download.com.