Industri Animasi Komputer Semakin Subur

Konsep komputer animasi biasanya merujuk kepada kepenggunaan komputer sebagai teras yang turut meliputi perkakasan dan perisiannya untuk merekacipta pelbagai bentuk animasi. Sebenarnya terdapat beberapa kaedah yang berbeza untuk menghasilkan animasi berbantukan komputer dan satu daripadanya ialah animasi tiga dimensi (3D). Satu daripada tekniknya ialah dengan mencipta objek yang kemudiannya diubahsuai dan digerakkan, di mana akhirnya akan menghasilkan animasi 3D yang lengkap.

Kaedah lain untuk mencipta animasi komputer ialah dengan menggunakan alat pengecatan komputer yang standard untuk mengecat bebingkai-bebingkai tunggal sebelum ianya digabungkan. Ini kemudiannya boleh disimpan sebagai sebuah fail wayang gambar (movie) atau output berbentuk video.
 
Manakala kaedah yang terakhir ialah dalam penghasilan animasi komputer ialah dengan menggunakan transisi dan kesan-kesan khas yang lain seperti 'morphing' untuk mengubahsuai imej-imej dan video yang sedia ada.

G rafik komputer pula merujuk kepada sebarang imej yang direkacipta dengan menggunakan apa jua jenis komputer. Terdapat jumlah imej yang besar dan pelbagai bentuknya yang boleh direkacipta oleh sesebuah komputer grafik, selain terdapat banyak teknik untuk mencipta imej-imej tersebut. Imej-imej yang direka menerusi komputer grafik boleh jadi yang terlalu mudah (misalnya sebuah garisan dan bulatan) sehinggalah kepada imej yang terlalu kompleks sifatnya seperti pecahan dan pergerakan animasi yang lebih rumit. 

Perkakasan dan Perisian

Animasi komputer sebenarnya boleh dihasilkan dengan menggunakan pelbagai jenis komputer. Sesebuah hasil animasi yang mudah misalnya tidak memerlukan lebih daripada sebuah sistem komputer yang berupaya menangani grafik yang mudah dan ringkas selain menggunakan mana-mana perisian animasi yang sesuai. Namun, animasi komputer yang sering kita tonton di televisyen (TV), yang kebanyakannya berbentuk dua dimensi (2D) dan tida dimensi (3D) telah dihasilkan menggunakan stesen kerja yang cukup canggih.

Apabila memperkatakan tentang produksi animasi berkomputer, kita boleh menjelaskannya berdasarkan kepada dua sudut iaitu perisian dan perkakasan. Lazimya perkakasan komputer animasi didatangkan dalam pelbagai bentuk, saiz dan keupayaan, di mana sesetengah perkakasannya dikhususkan untuk sesuatu tugasan, manakala jenis perkakasan yang lain akan melaksanakan pelbagai perkara lain.
 
Berikutan teknologi animasi berkomputer ini telah berkembang di Barat, maka kebanyakan daripada perkakasannya telah dimajukan di sana. Antara perkakasan komputer yang sudah popular dan sering digunakan dalam industri ini di seluruh duna termasuklah komputer Silicon Graphic (SGI) - berasaskan UNIX, PC - berasaskan Windows, Macintosh (Mac) - berasaskan MacOS, dan Amiga - berasaskan Commodore.

Sebagaimana kita sedia maklum, mana-mana perkakasan komputer animasi yang terbaik di dunia sekalipun tidak akan bermakna jika tanpa menggunakan sebuah pakej perisian yang baik dan sesuai. Setakat ini sudah terdapat beratus-ratus pakej perisian komputer animasi dan grafik di pasaran, tetapi hanya beberapa pakej sahaja yang menjadi kegemaran dalam industri tersebut.

Jadi tidak hairanlah jika perisian yang sudah popular itu lebih mendapat perhatian di kalangan pelbagai organisasi di seluruh dunia yang meliputi syarikat, sekolah atau individu profesional. Antara perisian animasi komputer yang sudah tersohor namanya di pasaran ialah 3DStudio Max, 3Dstudio, LightWave3D, Adobe Photoshop, Adobe Premiere, AliasIWavefront, Animator Studio, Elastic Reality, SoftImage, dan Strata Studio.

Aplikasi Komputer Animasi

Seperti yang kita ketahui terdapat pelbagai kegunaan animasi komputer dewasa ini, lebih-lebih lagi dalam era pembangunan industri multimedia. Mungkin ramai yang menyangka bahawa penggunaan animasi komputer hanya tertumpu kepada penghasilan permainan komputer, siaran TV atau bahan-bahan bercirikan  multimedia. Sangkaan ini sebenarnya kurang tepat kerana penggunaan animasi komputer turut diadaptasikan ke dalam pelbagai bidang lain sekaligus tidak lagi tertumpu kepada bidang tertentu sahaja.
 
Antara bidang-bidang yang turut menyediakan ruang kepada penggunaan aplikasi komputer animasi termasuklah pengiklanan, arkeologi, senibina, kesenian, sains kimia, pendidikan, kejuruteraan, produksi filem, simulasi penerbangan, forensik, perubatan, ketenteraan, visual bercorak saintifik, simulasi, penjelajahan angkasa lepas, dan produksi video. Berikutan kesesuaian diadaptasikan ke dalam pelbagai bidang, maka tidak mustahil peggunaannya akan diperluaskan lagi dalam bidang-bidang yang baru.

Ketika ini industri animasi komputer telah memperlihatkan riak perkembangannya samada di seluruh dunia mahupun di negara ini. Umpamanya sudah menjadi satu tren di dalam penerbitan media elektonik khususnya TV dengan menerbitakan lebih banyak program bercorak animasi untuk menambahkan lagi nilai kepada siaran mereka sekaligus untuk mempastikan para penonton tetap setia berada di hadapan TV.

Di samping itu terdapat juga permintaan terhadap animasi komputer dalam bidang-bidang lain seperti yang telah dinyatakan tadi. Manakala bertambahnya permintaan dalam industri animasi komputer itu sendiri, turut merangsang pertumbuhan syarikat-syarikat baru yang berminat untuk menceburi bidang berteknologi ini di serata dunia termasuklah syarikat-syarikat di Malaysia yang bakal bertumpu kepada Koridor Raya Multimedia (MSC).

Sehubungan itu agak mustahil untuk menyenaraikan kesemua syarikat atau organisasi  yang terbabit di sini kecuali nama-nama yang sudah tersohor. Antaranya ialah Adobe Systems Inc., Alias Wavefront, AutoDesk, Bentley, Caligari, Computational Logic Inc., ComputerVision, ElectricImage, ElectroGIG, Fractal Design, InterGraph, Lateiner Dataspace, MacroMedia, National Association of Broadcasters, NewTek, ReZ.n8, SigGraph, Silicon Graphics, Strata Inc., dan ViewPoint Datalabs.

Sebahagian nama dalam senarai tersebut memang sudah biasa kita dengari. Malah masing-masing sudah memiliki tapak Web sendiri yang boleh kita kunjungi untuk mengetahui latar belakangnya, termasuklah produk serta perkhidmatan yang ditawarkan. Perlu juga kita sedari bahawa Malaysia sedang giat dengan usahanya untuk menyuburkan industri ini seperti penubuhan institusi pengajian tinggi yang berkaitan bagi memenuhi permintaan tenaga kerja dan kepenggunaan animasi komputer dalam pelbagai bidang.