Di pentas tempatan, ia tidak jauh
berbeza malah apa yang dapat kita lihat ialah kepekaan pihak kerajaan terhadap
kehadiran teknologi serta kemampuannya sebagai sumber ekonomi serta enjin
ekonomi yang berupaya memacu ekonomi negara menjelang alaf mendatang.
Koridor Raya Multimedia (MSC) ternyata menjadi petanda jelas akan keyakinan
kita terhadap potensi teknologi tersebut.
Di dalam teknologi multimedia, animasi serta teknologi yang berkait rapat dengannya merupakan antara unsur terpenting. Sifat multimedia sebahagian besarnya diberikan oleh teknologi animasi, antaranya termasuklah ciri yang dinamik serta interaktif. Berbeza dengan media yang statik serta kaku, animasi menawarkan kemampuan untuk penampilan sesuatu objek yakni warnanya, jenis permukaan yang ingin ditampilkan serta kemampuan pergerakannya. |
Kemampuan ini turut bergantung kepada sejauh mana keupayaan serta kecanggihan perisian pembangun animasi tersebut. Jika ianya adalah perisian pembangun animasi yang ringkas seperti perisian pembangun animasi GIF, maka keupayaannya mungkin setakat berupaya mengalihkan grafik yang terhimpun di dalam fail tersebut dengan selang masa yang ditetapkan. Tetapi jika ianya adalah sebuah perisian pembangun animasi yang lengkap serta canggih seperti yang digunakan dalam menghasilkan filem-filem berasaskan animasi di Hollywood seperti Toy Story serta Species, hasilnya ternyata amat menakjubkan. Anda sendiri tentu dapat menyaksikan betapa hidupnya adengan tersebut. Ada waktunya kita sukar untuk membezakan samada ia adalah benar ataupun dihasilkn dengan kesan animasi.
Kehadiran multimedia turut menyaksikan penerimaannya secara meluas di dalam segmen pendidikan. Di dalam aplikasi perdana MSC, penggunaan multimedia merupakan antara usur penting di dalam penyediaan serta pembangunan kandungan persekolahan bestari. Kelangsungannya ia turut membabitkan penggunaan animasi secara meluas serta aktif. Dengan cirinya yang dinamik serta berwarna, kandungan berasaskan animasi bukan sahaja nampak lebih hidup serta ceria tetapi turut mampu merangsang kecenderungan serta minat para pelajar.
Dunia pendidikan sejak dahulu lagi telah mempergunakan pelbagai kaedah serta teknologi dalam usaha memperalihkan pengetahuan serta ilmu di antara tenaga pengajar dengan para pelajar. Bermulalah dengan kaedah lisan, tulisan, lukisan dan kemudiannya menggunakan teknologi yang lahir kemudiannya seperti teknologi penyiaran yang membawakan penggunaan radio, telivisyen dan layar perak. Namun, sehingga kini kita masih melihat bagaimana sukarnya seseorang guru memperalihkan pengetahuan serta pelajaran secara efektif. Malah, ada waktunya kita turut pernah melihat guru kita berhempas pulas melukis di papan hitam serta mengulang sesuatu pelajaran itu untuk beberapa kali semata-semata untuk memahamkan kita.
Pelbagai pengalaman manusia yang
lepas serta kepayahannya dalam memperalihkan ilmu kini cuba diatasi serta
diperbaiki dengan penggunaan animasi di dalam multimedia. Lakaran
visual ditunjukkan secara jelas serta dapat dimainkan secara berulangan
oleh para pengguna untuk memastikan mereka benar-benar memhaminya.
Animasi sebenarnya mempergunakan serta memanfaatkan sepenuhnya keupayaan
pancaindera manusia
Kebelakangan ini kita turut menyaksikan kemampuan animasi yang mampu menyerupai persekitaran yang nyata serta realiti. Istilah yang lebih popular digunakan untuk menjelaskan kenyataan di atas ialah realiti maya. Inilah yang sebenarnya akan merintis jalan kepada proses pembelajaran yang tidak terpernah kita terfikir serta diimiginasi dahulu. Bayangkanlah jika anda mempelajari pelajaran geografi mengenai negara Australia, teknologi animasi dan multimedia dengan penggunaan perkakasan yang betul akan membolehkan anda seolah-olah berada di bumi Australia. Untuk sekarang ini, ia mungkin dianggap sebagai khayalan tetapi jangan terperanjat jika ia menjadi kenyataan dalam masa yang terdekat ini. Teknologi animasi memungkinkannya dan proses pembelajarannya pastinya akan menjadi pengalaman yang menyeronokkan. |