Pada awal tahun lalu versi BeOS
Resease 4.0 (R4) yang dibangunkan untuk Intel telah pun
dilancarkan dan merupakan salah
sebuah sistem operasi (OS) bagi pengoptimaan media yang turut
memberi sokongan tambahan kepada
perkakasan, antaramuka, kepenggunaan dan meningkatkan
kecekapan serta keseluruhan aplikasi
komputer.
Be Inc yang bertanggungjawab sebagai
pembangun serta pengeluar perisian ini telah berusaha untuk
menyediakan lebih keupayaan pengkomputeran
yang sebelum ini hanya boleh dilakukan pada sistem
berkuasa tinggi. Maklamat tersebut
akhirnya tercapai apabila Be telah berjaya membuktikan keupayaan
perkomputeran yang tinggi juga boleh
dilaksanakan pada sistem komputer yang rendah keupayaannya.
Sehubungan itu versi terbaru BeOS
ini telah diuji pada sistem komputer
Dual Pentium II/300 yang
turut disokong dengan memori 128MB
dan sebuah cakera keras 6GB yang telah dipasangkan dengan
sistem operasi Windows 98. Manakala
penggunaan perisian PartitionMagic di dalamnya juga telah
berjaya untuk memasangkan BeOS bersama-sama
dengan Windows dalam cakera keras yang sama.
Pemasangan BeOS ke dalam cakera keras
akan dipermudahkan lagi jika anda menggunakan disket boot
yang disediakan. Selain tempoh pemasangannya
yang agak singkat, ia juga berkemampuan untuk
mengesan segala perkakasan yang
terpasang dan di penghujung proses pemasangannya, pengguna akan
diberi pilihan samada untuk memasangkan
pengurus boot kepunyaan BeOS ataupun Windows.
Para pengguna juga boleh menjalankan
BeOS pada resolusi yang berasingan begitu juga dengan
penentuan tahap warna bagi imej
latarbelakang ‘bitmap’ miliknya. Pada masa yang sama pengguna
Windows juga boleh menggunakan kekunci
pintasannya seperti Alt, Ctrl dan Twitcher (Task Switcher)
yang mana sama fungsinya seperti
kekunci pintasan Alt+Tab pada sistem Windows.
Versi terbaru BeOS ini turut dilengkapi
dengan beberapa aplikasi baru dan panel rujukan, misalnya
Systemwide Translators yang memberi
keupayaan kepada setiap aplikasi untuk membaca dan menulis
format bagi data asing. Manakala
panel terbarunya iaitu Devices memiliki persamaan dengan Device
Manager pada Windows yang memaparkan
sumber semua peranti yang telah dipasang pada komputer.
Pengguna juga boleh mengkonfigurasi
beberapa kayu bedik yang popular menerusi panel pusat yang
disediakan selain membuat beberapa
ketetapan pada sistem bunyi komputer mereka. Sebuah panel
audio terbaru turut melengkapi R4
ini yang berfungsi mengawal semua aspek pengaliran audio samada
masuk ataupun keluar. Untuk keterangan
lanjut kunjungilah laman Web miliknya di www.be.com.