Permainan terbaik tahun 2000

Walaupun sudah berada dalam bulan ke empat dalam tahun 2001 tetapi masih tidak terlambat untuk menyenaraikan permainan-permainan terbaik untuk tahun lalu. Hanya yang terbaik akan disenaraikan di dalam halaman ini dan anda masih tidak terlambat untuk menikmati permainan-permainan ini jika anda masih belum memilikinya.

Permainan aksi terbaik

Half-Life: Counter-Strike
Penerbit : Sierra Studios
Pembangun : The Counter-Strike Team

Counter-Strike merupakan salah satu mod terbaik yang dihasilkan untuk Half-Life. Ia mempunyai graifk yang baik, multi-pemain, kesan bunyi yang baik dan kepermainan yang menarik.

No One Lives Forever
Penerbit : Fox Interactive
Pembangun : Monolith Productions

Permainan ini bukanlah untuk mereka yang lemah semangat dan tidak sukakan keganasan. Grafiknya ringkas dan mempunyai kepermainan yang menarik. Tahap permainan dalam NOLF adalah setanding dengan Doom.

MechWarrior 4: Vengeance
Penerbit : Microsoft
Pembangun : Microsoft

Grafik dalam Vengeance boleh dikategorikan sebagai memuaskan. Ia lebih baik daripada yang MechWarrior lepas. Sebuah permainan yang mampu memberikan aksi berbeza setiap kali anda bermain. Manakala multipemainnya juga adalah baik.

Crimson Skies
Penerbit : Microsoft
Pembangun : Zipper Interactive

Misi dalam permainan ini adalah mudah dituruti dan segala kempen adalah bercantum antara satu sama lain dengan baik. Muzik dan grafik latarbelakang dalam permainan ini adalah menarik serta menurut aksi permainan. Aksi 3D yang dibentangkan adalah antara yang terbaik.

Permainan adventur terbaik

Escape from Monkey Island
Penerbit : Publisher: LucasArts
Pembangun : LucasArts

Sebuah lagi permainan aksi berasaskan sebuah watak humor dan dilakarkan dalam suasana kartun. Namun begitu aksi dan jalan cerita yang dipaparkan adalah terbaik dan menarik. Ia sebuah permainan yang menyeluruh dan ia akan pasti menarik anda terus melekap pada komputer anda.

The Longest Journey
Penerbit : Funcom
Pembangun : Funcom

Sebuah permainan yang memberikan anda suasana lain daripada yang lain. Jalan cerita, grafik dan bunyi yang dihasilkan adalah bagus. Jika anda pernah bermain atau menyaksikan permainan Final Fantasy maka ia LJ menghampiri kualiti tersebut. LJ merupakan antara permainan yang mempunyai aksi suara yang terbaik.

Permainan perlumbaan terbaik

Need for Speed: Porsche Unleashed
Penerbit : Electronic Arts
Pembangun : Electronic Arts

Siri NFS kali ini juga tidak mengecewakan walaupun anda tidak menyukai kereta Porsche. Ia memberikan kepermainan dan pemanduan yang menhampiri aksi sebenar. Enjin perisian juga antara yang paling memuaskan.

Motocross Madness 2
Penerbit : Microsoft
Pembangun : Rainbow Studios

Jika anda pernah menunggang motorsikal lasak anda pasti tahu bagaimana rasanya. Menerusi MM2 anda pasti akan terbang dan melakukan aksi loncatan yang tidak pernah terfikir oleh anda. Grafik dan enjin perisian beraksi dengan baik dan lancar.

4x4 Evolution
Penerbit : Gathering of Developers
Pembangun : Terminal Reality

Permainan pacuan empat roda merupakan sesuatu yang baru dan ia sebuah pengalaman yang menarik. Ia mempunyai kepermainan dan pemanduan yang menarik serta sungguh lasak. Grafik dan enjinnya juga bertindak dengan cemerlang.

Dirt Track Racing: Sprint Cars
Pembangun : Ratbag
Penerbit : WizardWorks

Jika anda pernah melihat perlumbaan pecut di litar Batu 3 Shah Alam maka Sprint Cars menyerupai suasana tersebut. Kepermainannya mudah dan ringkas tetapi anda hendaklah berjaya mengurus pasukan anda sehingga berjaya. Grafik dan kesan bunyi yang dihasilkan adalah baik dan merupakan sebuah pengalaman yang menarik memandu kereta dengan laju.

Permainan RPG terbaik

Baldur's Gate II: Shadows of Amn (Permainan terbaik 2000)
Penerbit : Interplay
Pembangun : BioWare

Plot, grafik, aksi suara dan muzik dalam Shadows of Amn adalah antara yang terbaik. Ia memberikan suasana yang menyegarkan dan juga sebuah aksi yang menarik. Sebuah permainan yang menyeluruh dan realistik berbanding dengan Baldur's Gate asal.

Diablo II
Penerbit : Blizzard
Pembangun : Blizzard North

Sebuah permainan yang menekankan kecemerlangan grafik dan kepermainan. Ia boleh dimain berkali-kali tanpa rasa bosan dan memberikan pengalaman baru setiap kali anda bermain. Aksi menarik dan kesan bunyi yang baik juga antara ciri menarik dalam Diablo II.

Deus Ex
Pembangun : Ion Storm
Penerbit : Eidos Interactive

Deus Ex merupakan gabungan permainan System Shock dan The X-Files yang mampu menghasilkan kepermainan dan jalan cerita yang menarik. Dalam pertarungan anda manusia dan mesin, andalah yang akan menjadi penentunya. Jika anda gagal maka mesin akan menguasai dunia.

Permainan simulasi terbaik

Combat Flight Simulator 2: WWII Pacific Theater
Penerbit : Microsoft
Pembangun : Microsoft

Permainan ini hampir menjadi sebuah permainan simulasi yang sempurna dan dilengkapi dengan aksi dan kepermainan yang baik. Anda boleh berlatih dengan secukupnya jika anda tidak mahir dan anda boleh bermain dengan baik walaupun anda tidak berapa mahir. Sebuah permainan yang menarik untuk dimiliki.

B-17 Flying Fortress: The Mighty 8th
Penerbit : Hasbro Interactive
Pembangun : Wayward Simulations

Permainan simulasi kapal terbang gergasi ini merupakan sebuah aksi dan pengalaman yang berlainan berbanding dengan simulasi yang lain. Anda akan dapat melihat ribuan bom dilepaskan dan ribuan askar terjun dengan menggunakna payung terjun.

Jane's F/A-18 Simulator
Pembangun : Electronic Arts
Penerbit : Electronic Arts

Simulasi ini adalah antara yang terbaik pernah dihasilkan dalam siri Jane. Dengan menggunakan model tercanggih kapal terbang perang Navy maka anda pasti boleh merasai kecanggihan permainan ini. Jika anda mahu merasai menjadi juruterbang perang permainan ini adalah suatu pengganti yang boleh memberikan kepuasan.

Permainan sukan terbaik

Tony Hawk's Pro Skater 2
Penerbit : Activision
Pembangun : Neversoft

Sebuah permainan yang kompleks dan anda pasti akan melekat pada PC anda untuk menguasainya. Ia mempunyai grafik yang baik dan enjin perisian yang memuaskan. Anda perlu menguasai beberapa aksi sebelum boleh melakukannya dengan baik.

FIFA 2001 Major League Soccer
Penerbit : EA Sports
Pembangun : EA Sports

Permainan ini seronok dimainkan beramai-ramai dengan rakan anda. Jika anda pernah bermain permainan FIFA sebelum ini anda akan dapat merasai kelainan dan kecanggihannya. Ia merupakan permainan bolasepak terbaik tahun 2000.

NHL 2001
Penerbit : EA Sports
Pembangun : EA Sports

Hoki ais memang tidak pernah dimainkan di rantau sebelah sini secara serius tetapi anda masih boleh merasai keseronokannya menerusi permainan ini. Walaupun ia tidak selancar permainan hoki ais sebenar tetapi ia masih mampu memberikan kesan yang menarik. Sebuah kejayaan buat EA kerana berjaya menghasilkan sebuah permainan yang baik.

Permainan strategi terbaik

Age of Empires II: The Conquerors Expansion
Penerbit : Microsoft
Pembangun : Ensemble Studios

Versi baru ini sungguh menarik untuk dimainkan di samping ia menawarkan sesuatu yang baru. Beberapa perubahan telah dilakukan kepada Age of Empires II sehingga memberikan sebuah rasa permainan baru kepadanya. Semua kumpulan dalam permainan ini mendapat sesuatu yang baru untuk dipraktik dan akhrinya membuahkan kejayaan.

Command & Conquer : Red Alert 2
Penerbit : Electronic Arts
Pembangun : Westwood Studios

Sebuah lagi permainan strategi kegemaran ramai kerana ia merupakan permainan yang pantas dan menarik. Selepas kegagalan Tiberian Sun, permainan Red Alert 2 ini telah membawa kejayaan pula. Kepermainannya telah diubahsuai dan enjinnya juga telah ditingkatkan.

Ground Control
Pembangun : Massive Entertainment
Penerbit : Sierra Studios

Sebuah permainan yang memperkenalkan sebuah corak baru permainan strategi iaitu pengurusan sumber secara bebas. Ia memberikan penelitian yang tinggi kepada kaedah pengurusan sumber yang terperinci. Ia mempunyai misi dan plot yang menarik untuk diikuti dan memaparkan perkembangan yang menarik.


Kad video terbaik
Hercules 3D Prophet II GTS Pro
Pengeluar : Guillemot

Kad video ini sungguh berkuasa walaupun harga lebih mahal daripada kad berasaskan GeForce2 MX. Kuasa 3D kad ini ditunjang oleh GeForce2 GTS dan antaramuka memorinya dikuasai dengan baik bagi memberikan paparan yang menarik.

Kad bunyi terbaik
Acoustic Edge
Pengeluar : Philips

Penghasilan kad ini adalah sesuatu yang memeranjatkan kerana Philips tidak terkenal dengan pengeluaran kad bunyi tetapi sebagai pengeluar pembesar suara sahaja. Ia mempunyai kuasa bunyi yang tinggi dan kesan 3D QSound.

Pembesar suara terbaik
ProMedia v.2-400
Pengeluar : Klipsch

Pembesar suara ini menyokong sistem empat pembesar suara dan ia memberikan sebuah kesan audio yang berkesan. Berkeupayaan THX, ProMedia merupakan sebuah pembesar suara yang berkuasa 300W dan menghasilkan bunyi yang mengegarkan. Sungguh menarik jika anda menggunakannya ketika bermain permainan strategi atau simulasi penerbangan.

Kayu bedik terbaik
X36 Flight Controller
Pengeluar : Saitek

X36 merupakan antara kayu bedik (joystick) yang paling selesa ketika dipegang. Ia mempunyai pelbagai bebutang, suis, bedik dan dail untuk memberikan kawalan yang menyeluruh dan terperinci. Kayu bedik ini memang direka untuk kawalan penerbangan dan sesuai untuk para peminat simulasi penerbangan.

Pad permainan terbaik
Thrustmaster FireStorm Dual Power
Pengeluar : Guillemot

Pad permainan ini adalah yang terbaik pernah dihasilkan oleh Guillemot. Rekabentuk pad permainan ini memudahkan ia dipegang dan segala alat pengawal terletak pada tempat yang mudah dicapai. Sesuatu yang menarik mengenai FireStrom Dual Power ialah anda boleh mengkonfigurasi keenam-enam picu tembakan pada pad permainan itu.

Tetikus terbaik
MouseMan Wheel
Pengeluar : Logitech

Tetikus adalah pengawal permainan terbaik untuk permainan strategi, tembak-menembak dan adventur. Dengan itu menggunakan tetikus dalam sebuah permainan adalah penting bagi mendapatkan kemenangan. Tetikus MouseMan Wheel menggunakan penjejak optikal dan ia boleh dipegang dengan baik. Ia juga dapat bertindak-balas dengan baik dan empat butangnya boleh diaturcarakan.