Permainan ini adalah berdasarkan kepada sebuah buku bertajuk DragonRiders of Pern oleh Anne McCaffrey. Buku tersebut telah mencapai 19 volum dan beliau telah diiktiraf sebagai penulis fantasi yang terbaik. Namun begitu dalam ruangan ini kita tidak akan membincangkan mengenai bukunya tetapi mengenai permainan komputer yang diterbitkan berdasarkan kisah fantasi buku tersebut.
Dunia Pern adalah sekumpulan penunggang naga berapi yang berhadapan dengan penceroboh asing yang dikenali sebagai "Thread". Parasit jahat ini datang setiap 200 tahun dan ia akan memusnahkan apa sahaja yang disentuhnya. Penghuni planet tersebut adalah bekas koloni daripada Terra yang menjalani cara hidup Spartan. Kemudian mereka telah mengubahsuai genetik cicak berapi menjadi naga berapi dan ia menjadi tunggangan mereka.
Suasana
Dunia Pern dibentuk dengan teliti dan terperinci. Jika dilihat daripada hasilnya, sudah tentu ia mengambil masa dan proses yang agak rumit. Setelah anda melihat suasana permainan anda pasti akan merasa lega dan selesa.
Watak hero anda ialah D'kor, seorang penunggang naga yang tinggal di Fort Weyr. Weyrwoman atau ketua wanita Weyr, telah mati dan anda hendaklah mendapatkan pengganti dengan melawat kawasan-kawasan lain yang terdapat di Pern. Semasa D'kor menjelajah, beliau akan berhadapan dengan beberapa masalah dan sejenis penyakit merbahaya. Anda ditugaskan untuk mendapatkan ubat untuk penyakit itu.
Anda hendaklah menjelajah dan berhubungan dengan penduduk lain untuk mendapatkan cerita sebenar. Perjalanan ini agak rumit dan lambat bagi orang yang kurang sabar. Setelah D'kor melengkapkan tugas-tugasnya, beliau akan mendapat tiga ciri iaitu strength (tenaga), knowledge (pengetahuan) and reputation (reputasi) yang akan membantu untuk mencari penawar. Tiga ciri ini penting bagi meningkatkan keupayaan D'kor di mata watak-watak lain.
Setelah anda melalui permainan kira-kira sejam anda akan dapati bahawa DragonRiders lebih kepada sebuah buku cerita interaktif daripada sebuah permainan adventur. Bagi peminat buku DragonRiders maka permainan ini adalah sesuatu yang menarik tetapi bagi individu yang hanya mahu bermain permainan komputer DragonRiders adalah membosankan.
Aksi
Paparan klip dalam DragonRiders adalah terlalu banyak bagi memaparkan interkasi di antara D'kor dengan penduduk Pern. Ada sesetengah klip dipaparkan agak panjang bagi memaparkan plot permainan. Segala klip ini adalah penting sebagai kesinambungan plot dan permainan. Namun begitu anda akan mendapati bahawa tiada suara terkeluar daripada watak-watak dan hanya teks sahaja yang muncul memaparkan dialog antara watak.
Setiap kali D'kor terbang untuk ke kawasan lain maka anda akan dihidangkan dengan klip permainan yang panjang. Anda tidak boleh memotong terus ke ruang permainan kerana enjin permainan mahu menghabiskan klip sehingga tamat. Oleh kerana watak D'kor perlu berhijrah dari satu tempat ke satu tempat maka anda perlu bersabar kerana perjalanan D'kor akan mengambil masa.
Kabur
Visual dalam permainan adalah memuaskan dan tekstur naga adalah ditingkatkan berbanding dengan naga-naga daripada permainan lain. Tekstur wajah watak adalah kurang memuaskan kerana ia kelihatan berkotak dan agak kabur. Namun begitu ia tidak akan menganggu anda daripada menikmati aksi DragonRiders yang mempunyai suasana yang menarik.
Paparan kamera dalam permainan di mana aksi boleh dilihat mempunyai pelbagai sudut paparan dan pergerakan kamera adalah dinamik. Kesan khas sinematik adalah cantik dan berjaya memaparkan ruang-ruang yang ada dalam Pern dengan baik. Adakalanya pergerakan kamera tersebut menganggu perjalanan permainan kerana ia bergerak terlalu pantas. Hasil daripada pergerakan kamera yang pantas ini membuatkan pemain merasa agak keliru dengan kedudukan.
Menjadi peminat
DragonRiders adalah sebuah permainan yang dinanti oleh para peminat siri buku DragonRiders. Permainannya adalah kompleks dan menarik perhatian sama seperti buku-bukunya. Ia mempunyai pelbagai kedalaman permainan lebih-lebih lagi apabila berpandukan kepada 19 volum buku DragonRiders. Tiada inovasi dalam kepermainannya tetapi terdapat gabungan yang sesuai di antara RPG dan adventur. Nasihat saya ialah DragonRiders hanya buat individu yang meminati dunia fantasi hasil nukilan Anne McCaffrey.
Statistik
Spesifikasi : Pentium III, memori 128MB RAM dan paparan grafik yang menarik.
Pro : Dunia Pern yang menarik. Kisah yang digarap dengan baik. Jalan cerita
yang memuaskan.
Kontra : Klip paparan yang terlalu panjang. Hanya sesuai untuk peminat utama
Anne McCaffrey.
Laman web : http://www.ubisoft.com/