Perdagangan elektronik - saluran perniagaan baru

Perdagangan Elektronik, juga dipanggil E-dagang atau dalam bahasa Inggerisnya Electronic Commerce (EC) adalah sebuah sistem perniagaan dan jual beli yang banyak menggunakan kemudahan teknologi maklumat terutama telekomunikasi canggih sehingga dapat melindungi dan memuaskan pengguna-penggunanya iaiitu yang terdiri daripada penjual, pembeli dan pihak-pihak yang ketiga seperti bank, syarikat kewangan, syarikat kad kredit, pengeluar sijil pengesahan digital dan lain-lain lagi.  Kebelakangan ini, ianya banyak menggunakan Internet khususnya Web untuk  mengadakan satu rangkaian yang menyatukan pelanggan, penjual dan pihak-pihak ketiga dalam satu persekitaran elektronik yang selamat untuk semua pihak dan boleh dipercayai.
 
 

Dengan E-dagang sesebuah syarikat atau individu boleh melakukan transaksi jual dan beli dari dan di mana sahaja di dunia ini. Pra syarat terpenting untuk menjalankan perniagaan dalam suasana yang menggunakan teknologi E-Dagang ini ialah pemilikan kelengkapan IT yang sesuai dan prasarana telekomunikasi yang membolehkan anda mengkases Internet.  Ini sudah tentunya bermula dengan sebuah komputer, modem dan talian telefon. Penggunaan E-dagang dijangka akan melonjak naik dari setahun demi setahun sesuai dengan meningkatan penerimaan IT di kalangan masyarakat, walau bagaimanapun di antara yang membelenggu penerimaan e-dagang secara lebih meluas di kalangan khalayak ramai ialah persepsi bahawa e-dagang masih tidak boleh dipercayai dari segi keselamatan dan kepercayaannya berbanding dengan cara-cara tradisional perdagangan.

Integrasi perniagaan

E-dagang semakin meluas digunakan di kalangan masyarakat Internet terutama di negara-negara barat mulai pada pertengahan tahun 1990an.  Malah e-dagang sekarang ini diakui oleh syarikat-syarikat antarabangsa dan pakar-pakar pemasaran sebagai satu sektor perniagaan dan pemasaran yang tidak boleh diabaikan lagi dan menjadi satu alternatif wajib untuk apa jua jenis perniagaan yang ingin pergi ke peringkat antarabangsa.

Salah satu kebaikan dan keuntungan daripada menggunakan kaedah e-dagang ini ialah perangkaian dan integrasi di antara semua syarikat-syarikat yang berhubung baik sebagai pembeli, penjual ataupun penyedia perkhidmatan yang berkenaan. Dengan cara ini pertukaran maklumat dan transaksi perniagaan dapat dijalankan daam sekelip mata yang dahulunya mungkin dibelenggu oleh karenah mengisian borang-borang kertas dan birokrasi.

Secara idealnya semua ini dapat dijalankan dengan efisyen oleh semua pihak yang terlibat dalam rangkaian e-dagang itu dan tidak dibelenggu oleh isu-isu ketidakserasian (incompatibility) atau piawaian (standard) teknologi dan telekomunikasi yang tidak serupa.  Ini telah ditawarkan oleh teknologi Internet yang menggunakan protokol telekomunikasinya yang dipanggil TCP/IP yang telah diterima pakai sebagai satu piawaian yang membolehkan sebarang pelantar (platform) komputer dapat saling berhubung dan bertukar maklumat dengan mudah.  Pengguna Web juga dapat berinteraksi dengan dunia Web dengan mudah dengan hanya menggunakan sebuah perisian pelayar Web (Web browser) seperti Netscape Navigator, Internet Explorer dan lain-lain lagi.

Penggunaan e-dagang oleh sesebuah syarikat itu juga dapat membantu mengintegrasikan semua bahagian dalaman syarikat tersebut dengan sesebuah transaksi perniagaan itu untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.  Sebagai contohnya apabila pelanggan membuat tempahan pembelian menerusi e-dagang, tempahan tersebut boleh dengan serta merta dihantar kepada beberapa bahagian dalaman yang berkenaan seperti bahagian penjualan, bahagian logistik dan bahagian pembuatan.  Dengan ini pengkoordinasian dalaman untuk memenuhi pesanan tersebut akan menjadi lebih efisyen.

E-dagang sebenarnya terdiri daripada beberapa komponen yang mempunyai ciri-ciri dan fungsinya yang tersendiri sebagai contohnya Pertukaran Data Elektronik atau Electronic Data Interchange (EDI), Internet, pensijilan digital, tandatangan digital, wang digital, Electronic Funds Transfer , Electronic Catalogs, Intranets, Kod Bar dan lain-lain lagi.

Jenis-jenis E-dagang

E-dagang dapat dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu di antara perniagaan  dan perniagaan dan yang keduanya di antara perniagaan dan pengguna. Jenis e-dagang yang pertama iaitu di antara perniagaan dan perniagaan melibatkan transaksi di antara dua atau lebih perniagaan atau syarikat di mana seringkali satu pihak merupakan syarikat pembekal kepada satu pihak yang lain.  Sebagai contohnya pengeluar kicap akan berinteraksi dengan sebuah pasaraya dalam proses memesan, menghantar dan membayar pesanan botol-botol kicap.

Jenis e-dagang yang kedua pula iaitu di antara perniagaan dengan pengguna pula melibatkan transaksi di antara penjual akhir sesuatu produk itu misalnya sebuah pasaraya yang menjual produk-produk kepada pengguna terakhir ialah orang ramai yang memesan satu atau dua botol kicap melalui e-dagang.

Dari segi jumlah transaksi yang dilakukan melalui e-dagang, jenis pertama iaitu transaksi di antara perniagaan dengan perniagaan sebenarnya paling banyak memberi kemanfaatan kepada sesebuah syarikat itu kerana jumlah pesanan di antara perniagaan seringkali besar dan kerap berbanding dengan di antara perniagaan dengan pengguna akhir.  Walau bagaimanapun perkara ini mungkin berubah apabila lebih ramai pengguna akhir menggunakan e-dagang untuk membeli barangan seharian seperti kicap, bunga, beras, baju, kereta dan lain-lain keperluan konsumer sesebuah mesyarakat itu.

Saiz E-dagang

Menurut sebuah kajian oleh sebuah syarikat penyelidikan IntelliQuest's Worldwide Internet/Online Tracking Service hanya 12 peratus pengguna Internet menggunakan E-dagang. Ini merupakan satu peratusan yang akan mengecewakan dan merupakan satu potensi yang besar untuk diperkembangkan lagi pada masa depan.  Malah menurut sebuah lagi kajian oleh Computer Intelligence hanya dua peratus daripada 4.8 juta perniagaan yang berkomputer seluruh dunia menggunakan E-dagang untuk menjalankan kesemua atau sebahagian daripada transaksi perniagaannya.

Menurut perangkaan terkini saiz pengguna Internet akan meningkat kepada lebih 200 juta pengguna untuk akses melalui sambungan dail terus dan seramai 17.5 juta lagi yang menggunakan sambungan tetap seperti talian suwa (leased line) dan daripada itu dianggarkan seramai 35 juta pengguna akan membuat pembelian melalui Internet.

Dua syarikat penyelidik iaitu Forrester Research dan Cowles/Simba pula telah melakukan penyelidikan mengenai profil pengguna yang melakukan e-dagang  menerusi Internet. Kajian ini mendapati bahawa pembeli kebanyakannya terdiri daripada kaum lelaki yang mempunyai jumlah pendapatan setahun sebanyak RM50,000 dan berusia lebih daripada 30 tahun.  Hasil kajian yang sama juga menjangka bahawa urusniaga pembelian menerusi e-dagang akan meningkat lebih kurang 10 peratus setiap tahun bermula daripada nilai AS$800 juta pada tahun 1997 kepada AS$8 bilion menjelang tahun 1999.

Dengan kesedaran yang semakin meninggi tentang E-dagang maka dijangkakan pada tahun 2001 jumlah ini akan melonjak kepada lebih AS$546 bilion yang akan diurusniagakan dalam talian dan jumlah ini dijangkakan akan terus meningkat. Media yang akan mempopularkan E-dagang adalah seperti menerusi Internet dan juga menerusi kaedah elektronik yang lain seperti TV interaktif dan telefon berskrin.

Pada tahun 1998, jualan produk komputer merupakan produk yang paling laris dijual dengan menggunakan e-dagang sehingga mencecah AS$196.2 juta, ini diikuti oleh produk pengguna (AS$186 juta), majalah dan buku (AS$38.3 juta) dan produk hiburan dan muzik (AS$ 35 juta).

Skop E-dagang

Secara amnya pasaran E-dagang meliputi enam bidang iaitu pengiklanan, pendidikan, kewangan, bidang professional, peruncitan dan pelancongan. Keenam-enam bidang ini telah menyumbang kepada pertumbuhan E-dagang yang memberangsangkan. Dalam tahun 1998 sahaja jumlah pendapatan pengiklanan menerusi Internet telah mencecah sehingga AS$1.3 bilion dan jumlah aset yang berjaya diurusniagakan oleh broker dalam talian adalah AS$420 bilion. Dalam bidang pendidikan pula jumlah penuntut jarak jauh telah meningkat daripada 120 ribu pelajar pada tahun 1997 kepada 710 ribu pada tahun 1998 dan jumlah ini dijangkakan meningkat kepada 2.2 juta penuntut menjelang tahun.

Dalam bidang professional pula seperti bidang perubatan, penggunaan teleperubatan telah meningkat sejumlah 300 peratus di seluruh dunia dan lebih 3 juta orang telah menerima manfaat daripada teleperubatan pada tahun 1998. Bidang kewangan pula telah menyaksikan peningkatan dalam pembelian aplikasi perbankan Internet kepada AS$93 juta pada tahun 1998 dan jumlah ini dijangkakan meningkat kepada AS$326 juta pada tahun 1999. Pada tahun 1997 hanya AS$100 juta diperolehi daripada penempahan tiket melalui Internet tetapi angka ini dijangka akan  meningkat kepada AS$3.1 bilion pada tahun 2002. Dalam masa yang sama pengguna yang menggunakan Internet untuk merancang perjalanan mereka akan meningkat daripada 3.1 juta kepada 11.7 juta pengguna.

Jaminan pengguna

Para pengguna kad kredit seperti VISA dan Mastercard tidak akan menghadapi sebarang masalah apabila mereka menggunakan kad kredit mereka untuk membeli-belah menerusi Internet. Dengan kehadiran teknologi enkripsi data seperti Secure Sockets Layer (SSL) dan Secure Electronic Transaction (SET) maka pengguna akan lebih terlindung untuk melakukan pembelian menerusi Internet. Satu alternatif lain pula ialah dengan mengunakan perkhidmatan-perkhidmatan seperti Net.Trader,  Cybercash dan DigiCash yang membolehkan menghantaran wang menerusi talian tanpa menggunakan sebarang nombor kad kredit.

Lain-lain teknologi yang mennyokong dan menambahkan keselamatan transaksi e-dagang termasuklah sistem kriptografi PKI atau Public Key Infrastructure dan sijil digital.  PKI dan sijil digital bertindak seperti kad pengenalan yang akan mengesahkan identiti sebenar pengguna dan penjual dalam setiap transaksi e-dagang dan ini meningkatkan kebolehpercayaan transaksi tersebut.