Ledakan IT meletus dimana-mana sepanjang masa. Tanpa mengira tempat dan waktu, evolusinya seakan-akan tidak terhenti. Mula-mula dari segi telekomunikasi, peralatan audio dan video, komputer dan sebagainya, semuanya mengalami evolusi yang begitu pantas. Namun, IT bagi pandangan masyarakat lebih tertumpu kepada komputer jika dibandingkan dengan peranti-peranti lain seperti yang dinyatakan diatas. Ketika komputer mula-mula popular seawal dekat 80-an, penggunaanya lebih menjurus kepada permainan kanak-kanak serta kerja-kerja penaipan data di pejabat, tidak lebih daripada itu.
Di masa itu siapa yang tidak kenal dengan komputer Atari, Amstrad, CAT dan sebagainya yang menjadi kegilaan kanak-kanak memaksa ibu bapanya membeli komputer tersebut semata-mata untuk bermain PACMAN. Namun, semenjak perkakasan IT yang lain dimajukan terutamanya dalam bidang komunikasi data, komputer tidak hanya difokuskan kepada kegunaan penaipan dipejabat ataupun rekreasi sahaja tetapi dihargai lebih dari itu. Pengkomersilan Internet, penghasilan rangkaian komunikasi data yang lebih pantas dan selamat, pengenalan LAN (Local Area Network), WAN (Wide Area Network), pemajuan teknologi penyimpanan data dari analog kedigital menyebabkan teknologi IT jauh kehadapan.
Begitu juga dengan perkakasan komputer yang semakin berteknologi tinggi serta boleh didapati dengan harga yang berpatutan. Kepesatan IT ini telah mempengaruhi iklim ataupun atmosfera kemodenan sedunia. Semuanya tidak mahu ketinggalan. Semua sektor ingin mengetahui, mempelajari serta mengkaji apa yang boleh disumbangkan serta penyumbangan yang boleh dilakukan oleh dunia IT sendiri. Dari sektor perubatan, ekonomi, perkapalan, astronomi, hartanah, pendidikan dan sebagainya,semuanya ketika ini berlandaskan IT. Pendidikan amnya mengalami perubahan yang sangat ketara. Bermula dengan penggunaan papan hitam tradisional disekolah, kemudian beralih kepapan putih, kemudian kealat bantuan mengajar seperti OHP dan seterusnya yang terkini pembelajaran secara on-line ataupun dalam bahasa ITnya dewasa kini e-learning. E-learning yang seakan-akan mitos 10 tahun dulu kini menjadi keperluan semenjak web mendominasi Internet.
Di Malaysia, e-learning masih lagi 'baru' kehadirannya jika dibandingkan dengan negara-negara Barat khasnya di US dimana setengah sekolah telah menjadikan ianya sebagai satu kaedah asas pembelajaran bagi menggantikan teknik-teknik pembelajaran tradisional. E-learning di negara kita lebih terarah kepada pembelajaran secara jarak jauh dan on-line yang kebanyakannya hanya ditawarkan diperingkat Universiti serta kolej-kolej swasta yang menjalankan usahasama Universiti-universiti luar negara. Antara pusat pengajian tinggi tempatan yang menawarkan pembelajaran secara maya ini ialah Universiti Putra Malaysia melalui Program IDEAL ( Institut Pendidikan & Pembelajaran Jarak Jauh). Menerusi usahasama dengan syarikat tempatan Mahirnet Sdn. Bhd., UPM julung-julung kalinya menawarkan program Bacelor Komunikasi secara maya. Walaupun yurannya kelihatan agak tinggi berbanding dengan program ijazah saluran biasa namun jika dibandingkan dengan corak pembelajarannya, ia dianggap berbaloi, dengan jadual kuliah yang fleksibel, nota dan tutorial yang boleh didapati dari Internet serta perkuliahan secara on-line. Dengan tidak disedari, ianya dapat menjimatkan kos dan masa terutamanya bagi mereka yang berkerja sepenuh masa serta tempat tinggal yang jauh daripada universiti. Dalam ertikata yang lain, melalui pembelajaran secara maya ini, tiada lagi jurang masa dan jarak yang menjadi halangan untuk belajar.
Di U.S pula, terdapat beribu-ribu laman web pendidikan yang mengatakan bahawa mereka menyediakan program e-learning. Namun menurut Linda C. Joseph, penyelidik dari Columbus (Ohio) Public Schools, Konsep e-learning tidak hanya sekadar penghantaran nota-nota kuliah kepada pelajar ataupun penghantaran tugasan kepada pensyarah melalui e-mail semata-mata tetapi yang sebenarnya pengisian web tersebut mestilah dipenuhi dengan forum/perbincangan dua pihak secara komunikasi dua hala, pengorganisasian maklumat dengan lebih teratur dari segi nota kuliah, jadual, bayaran yuran, tutorial dan juga peperiksaan.Dengan menemui kriteria yang dinyatakan diatas, pembelajaran yang lebih efektif dan interaktif dapat dilaksanakan.
Diantara contoh-contoh kelas maya yang terdapat di U.S ialah seperti California State University yang menawarkan program sijil perguaman kepada pemohon-pemohon yang berkelulusa ijazah dan lulus dalam Carlifonia Basic Education Skills Test (CBEST). Program ini amat berguna bagi mereka yang ingin belajar dalam kadar yang segera. Program yang dipersajikan secara maya ini direkabentuk betul-betul seperti didalam bilik kuliah dimana pelajar-pelajar boleh berinteraksi dengan rakan-rakan yang lain serta profesor mereka melalui laman web. Pada setiap hari Sabtu pula, pelajar-pelajar akan menghadiri seminar secara maya.Bagi Universiti Of Nebraska pula, e-learning melalui web lebih bersifat komersial dimana pelajar boleh memilih mana-mana kursus yang disukai untuk melengkapkan pengajiannya diperingkat sekolah tinggi ataupun diploma.
Perkembangan e-learning dinegara kita agak membanggakan kerana terdapat organisasi-organisasi besar yang tidak mementingkan komersial sebaliknya lebih menekankan kepada penyebaran ilmu pengetahuan terutamanya dikalangan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah. E-learning tidak hanya mencakupi pembelajaran jarak jauh secara maya malahan melibatkan 'Web Portal'. Kelebihan web portal, pendidikan ini ialah ia mempunyai bank-bank ujian, pelan pengajaran, bilik darjah maya, bahan-bahan pengajaran untuk guru, ujian untuk pelajar, dan direktori laman-laman web yang berkaitan dengan tujuan pembelajaran serta maklumat-maklumat yang berguna seperti maklumat-maklumat sekolah, kelender tahunan, aktiviti pendidikan dan sebagainya. Antara organisasi yang melibatkan diri dalam menjayakan penubuhan web portal ini ialah seperti MIMOS Berhad melalui laman webnya, www.cikgu.net.my dan juga Kumpulan Utusan yang melancarkan laman webnya, www.tutor.com.my baru-baru ini. Cikgu.Net (disebut Cikgu dot Net) merupakan portal pendidikan yang pertama sekali dilancarkan dinegara kita pada bulan Mac 2000. Dengan isi kandungan yang berbahasa Melayu, ia berjaya menarik ribuan pengguna yang mendaftar dengannya, dianggarkan sekurang-kurangnya lebih 120 ribu pengunjung telah pun melawat portal tersebut. Dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai perantaraannya, kesesuaiannya dengan iklim pendidikan tempatan serta aktiviti kokurikulum dapat diselaraskan. Dengan disokong kuat oleh Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Pearson Education Malaysia, DBP serta beberapa lagi organisasi besar, sumbangan Cikgu Net terhadap pendidikan negara sememangnya tidak dapat disangkalkan lagi. Begitu juga dengan Portal Pendidikan Utusan yang mendapat sambutan hangat ketika mula-mula dilancarkan.
Secara amnya, pembelajaran
jarak jauh secara maya lebih popular dinegara kita terutamanay bagi kolej-kolej
dan syarikat-syarikat swasta yang menjalankan usahasama dengan universiti luar
negeri dengan menawarkan program ijazah sarjana muda dan lepasan ijazah. Antaranya
ialah seperti Hartford Management Centre Sdn Bhd menawarkan program peringkat
sarjana dengan usahasama University Of Newcastle, Australia, TL Management Centre
Sdn Bhd yang menawarkan program ijazah sarjana muda pentadbiran perniagaan usahasama
Preston University, Amerika Syarikat dan banyak lagi. Universiti maya tunggal
tempatan yang menawarkan pembelajaran secara maya sepenuhnya ialah Universiti
Tun Abdul Razak (UNITAR). Sektor swasta dilihat sebagai lebih mengeksplorisasi
penggunaan e-learning. Bagi syarikat-syarikat antarabangsa, e-learning dijadikan
platform untuk meningkatkan pengetahuan serta skil kakitangannya. IBM Corporation
misalnya, menggunakan 25% daripada latihan dalamannya lebih berbentuk jarak
jauh secara maya. Latihan secara maya ini merangkumi 135,000 kakitangannya diseluruh
dunia. Dan pada tahun 1999, IBM Corperation telah berjaya menjimatkan kos latihan
sebanyak RM760 juta (USD 200 juta). Dengan kaedah ini juga, pertukaran teknologi
dan pengetahuan dapat dilakukan secara mudah dan pantas. Mengikut laporan International
Data Corporation (IDC), pada ketika ini 87% daripada kaedah latihan disektor
swasta adalah secara tradisional iaitu pengajar bersemuka dengan pelajar secara
berhadapan didunia nyata tetapi dengan kehadiran konsep e-learning, statistik
latihan tradisional dijangka merosot kepada 74% pada tahun 2004 bagi kawasan
Asia Pasifik. Menurut IDC lagi, pertumbuhan e-learning dijangka meningkat sehingga
94% diantara tahun 1999 sehingga 2004.
Namun sejauh mana keberkesanan kaedah e-learning, belum dapat ditentukan dan
kajian keatasnya masih lagi dilakukan. Konsep e-learning dinegara kita masih
lagi diperingakat permulaan dan memerlukan banyak pengkajian keatasnya bagi
meningkatkan lagi kebolehcapaian serta keberkesanannya kepada kumpulan sasaran
samaada pelajar, kakitangan syarikat mahupun pengguna-pengguna Internet dari
seluruh dunia. Berdasarkan tanggapan pengurus jualan e-business IBM Corporation
kawasan Asia Pasifik, Heah Kheng Lye bahawa yang menjadi penghalang kepada kemajuan
e-learning bukanlah teknologinya tetapi sumber manusia, ada benarnya. Pendekatan
yang betul perlu diterapkan bagi memastikan kejayaan e-learning. Peralihan atau
anjakan teknologi perlu diseimbangkan dengan peralihan pemikiran yang lebih
positif. Yang lebih penting tenaga-tenaga pengajar, amnya diuniversiti mestilah
bersikap positif dengan konsep ini serta menggalakkan para pelajar menggunakan
kaedah ini. Seharusnya dengan adanya konsep ini, tenaga-tenaga pengajar dapat
mengeksploitasinya sebaik mungkin bukannya dengan mencemburuinya.
Dengan disokong
oleh kecanggihan sistem rangkaian seperti Internet dan Intranet serta teknologi
digital, konsep e-learning seperti web portal, dan on-line jarak jauh seharusnya
dimanfaatkan secara bersungguh-sungguh oleh semua pihak. Adalah diharapkan dengan
adanya konsep e-learning ini, mutu pendidikan negara akan meningkat dan juga
produktiviti bagi sesebuah organisasi akan bertambah baik menerusi latihan dalaman
seperti IBM Corporation. Secara tidak langsung visi negara dalam usaha menambahkan
kadar celik IT sedikit sebanyak akan berjaya dalam tempoh terdekat ini. Kaedah
e-learning ini seharusnya diperkenalkan secara lebih meluas bermula dari peringkat
sekolah rendah bagi memupuk pelajar khasnya kanak-kanak mencintai ilmu pengetahuan
disamping merangsang minat mereka untuk belajar.