Laman Web 10 kelab terkaya di dunia

Pada bulan Januari lalu, sebuah senarai 10 kelab terkaya di dunia telah dikeluarkan oleh FIFA, di mana kelab Manchester United telah berada di tangga teratas dengan jumlah aset AS$87.9 juta. Lain-lain kelab yang tersenarai adalah Barcelona (AS$58.9 juta), Real Madrid (AS$55.7 juta), Juventus (AS$53.2 juta), Bayern Munich (AS$51.6 juta), AC Milan (AS$47.5 juta), Borussia Dortmund (AS$42.2 juta), Newcastle United (AS$41.1 juta), Liverpool (AS$39.2 juta) dan Inter Milan (AS$39.1 juta).

Dalam ruangan sepak siber kali ini, mari kita kunjungi laman-laman Web kelab-kelab bolasepak ini dan mendapatkan maklumat daripada isi kandungan laman Web ini. Anda boleh mendapatkan pelbagai maklumat terkini seperti jadual perlawanan dan berita-berita semasa kelab. Selain daripada itu anda juga boleh memperolehi bahan-bahan multimedia seperti RealAudio, klip video, gambar dan “desktop theme” untuk komputer daripada laman-laman Web ini. Marilah kita kunjungi laman-laman Web ini.

Manchester United

Manchester United (ManUtd) merupakan salah sebuah kelab yang paling berjaya di dunia dan antara kelab terbaik untuk tahun 1990an. Maka tidak hairanlah kelab ini mempunyai ramai penyokong yang datangnya daripada seluruh pelusuk dunia dan kelab penyokong ManUtd merupakan kelab peminat yang paling aktif di dunia. Di Malaysia, kelab penyokong ManUtd telah ditubuhkan sejak 10 tahun lalu dan telah membuka beberapa cawangan kelab di seluruh negara.

Menurut carian menerusi AltaVista, terdapat lebih daripada 10,000 laman Web tidak rasmi (unofficial) ManUtd yang dibina oleh para penyokong dan peminat setia kelab itu. Namun begitu terdapat tiga laman Web ManUtd yang merupakan laman Web rasmi untuk kelab tersebut. Laman-laman Web itu adalah Manchester United , M.U.F.C dan Theatre of Dreams.

Ketiga-tiga laman Web ini mempunyai segmen-segmen seperti Fixtures, Results, Match Reports, Premiership Table, UEFA Champions League, Virtual Reality Tour, Player Biographies, MUTV dan Reds On The Radio. Laman Web ManUtd.Com akan menyiarkan ulasan secara langsung semua perlawanan ManUtd menerusi laman Web dengan menggunakan RealAudio.

Barcelona

Kelab yang berada di kedudukan kedua di bawah ManUtd ialah kelab bolasepak Barcelona daripada Sepanyol. Kelab ini juga merupakan sebuah kelab yang bersejarah di mana ia telah ditubuhkan pada tahun 1899. Sejak ia ditubuhkan, ia telah memenangi kejohanan Eropah sebanyak beberapa kali dan salah sebuah kelab mempunyai koleksi para pemain yang terbaik di dunia seperti Patrick Kluivert dan Rivaldo.

URL untuk laman Web kelab ini ialah http://www.fcbarcelona.es/ dan ia boleh didapati dalam dua bahasa iaitu Sepanyol dan Inggeris. Rekabentuk laman ini adalah ringkas dan mudah dicapai oleh pengguna. Antara kandungan yang terdapat dalam laman Web ini adalah History, FC Barcelona Foundation dan Supporters Associations.

Sempena ulang tahun ke 100 kelab ini, beberapa majlis dan sambutan telah dijadualkan seperti yang dipaparkan dalam laman Web ini. Anda boleh pergi ke URL http://www.fcbarcelona.es/angles/centenari/index.html untuk mendapatkan maklumat yang lengkap mengenai sambutan satu abad ini.

Real Madrid

Kelab ini merupakan salah satu kelab yang ternama di Sepanyol selain kelab Barcelona. Laman Web rasmi kelab ini tidak dapat dikesan walaupun dengan menggunakan enjin pencari AltaVista. Laman tak rasmi yang terbaik saya temui terletak pada http://zipi.fi.upm.es/~a930273/r98_99/index.html. Dalam laman Web ini terdapat beberapa maklumat biodata pemain, statistik pasukan dan para pemain lagenda yang pernah berkhidmat dengan kelab ini.

Juventus

Laman web kelab dari Itali ini terletak di http://www.juventus.it/ dan mengandungi berita, laporan perlawanan terkini, gambar pasukan 1998/99, stadium Juventus, poskad elektronik dan galeri foto hitam putih. Bahagian paling menarik dalam laman Web ini adalah galeri foto di mana terdapat pelbagai jenis foto aksi dalam perlawanan dan latihan. Laman Web ini tidak memberikan maklumat bertulis seperti laporan perlawanan dan berita yang memuaskan.

Bayern Munich

Kelab ini merupakan salah satu kelab daripada dua kelab daripada Jerman yang memasuki senarai 10 kelab terkaya ini. Laman Web kelab ini merupakan sebuah laman bergambar (pictorial) bagi juara liga Jerman (Bundesliga) 1996/97. Laman ini juga menyenaraikan semua pemain musim 1998/99 yang lengkap dengan biodata serta statistik pemain.

Ia juga mempunyai arkib gambar semua perlawanan Bayern Munich dan juga gambar-gambar aksi pemain kelab. Antara pemain yang tersenarai adalah Markus Babbel, Mario Basler, Giovane Elber, Thorsten Fink, Dietmar Hamann, Thomas Helmer, Carsten Jancker, Bixente Lizarazu, Lothar Matthäus, Christian Nerlinger, Ruggiero Rizzitelli, Mehmet Scholl, Thomas Strunz, Michael Tarnat dan Alexander Zickler. LamanWeb ini merupakan laman Web tidak rasmi dan ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kelab Bayern Munich.

AC Milan

Kelab ini merupakan jiran kepada kelab Inter Milan dan ia merupakan kelab kelima terkaya di dunia. Laman Web kelab ini  mempunyai dua pilihan bahasa iaitu Inggeris dan Itali. Kelab ini juga menyambung ulang tahun ke 100 pada tahun 1999. Laman Web ini mengandungi galeri, ruangan borak dan sejarah kelab.

Borussia Dortmund

Kelab ini berusia 90 tahun pada tahun ini dan merupakan juara liga Jerman pada 1996. Borussia Dortmund merupakan kelab Jerman kedua dalam senarai kelab terkaya di bawah Bayern Munich dan merupakan kelab yang paling berjaya dalam tahun 1970an dan 1980an.

Laman Web kelab ini  membentangkan pelbagai maklumat dan fakta mengenai kelab ini. Oleh kerana kelab ini merupakan salah seuah kelab tertua di Jerman, ia mempunyai koleksi gambar-gambar yang banyak sejak perlawanan pertama kelab pada 1911 sehingga kini. Bagi anda yang pernah melihat aksi kelab ini di kaca televisyen silalah saksikan pula mereka di dalam Web.

Newcastle United

Kelab kedua daripada England yang tersenarai dan merupakan kelab yang paling agresif corak permainannya selepas kelab Wimbledon. Walaupun kelab ini merupakan kelab yang tidak ternama pada tahun 1970an dan 1980an tetapi ia banyak menghasilkan para pemain yang baik seperti Kevin Keegan dan Chris Waddle.

Laman Web Newscastle United  mengandungi ruangan berita, sejarah kelab, statistik perlawanan, kedai barangan kelab, ruangan borak dan multimedia. Ia juga menyenaraikan semua pemain yang pernah berkhidmat dengan kelab ini sejak daripada penubuhannya pada tahun 1908. Antara pemain yang tersenarai adalah Peter Beardsley, Andy Cole, Les Ferdinand, Paul Gascoigne, Kevin Keegan dan Chris Waddle.

Liverpool

Kelab Liverpool juga merupakan salah satu kelab Inggeris yang terkenal di dunia selain kelab ManUtd. Kelab ini juga mempunyai kelab peminat di Malaysia yang telah ditubuhkan kira-kira 4 tahun lalu. Ia juga mempunyai ribuan laman Web tidak rasmi yang telah dibina oleh para peminat kelab ini.

Seperti kelab ManUtd, Liverpool mempunyai tiga laman Web utama iaitu Liverpool Carling, Liverpool FSN dan Liverpool FC. Ketiga-tiga laman Web ini membentangkan maklumat seperti berita, previu perlawanan, keputusan perlawanan, maklumat kelab, statistik kelab, arkib multimedia, ruangan borak dan laporan pertukaran pemain.

Inter milan

Kelab terakhir yang berada di dalam senarai adalah Inter Milan. Laman Web kelab ini merupakan salah sebuah kelab yang mempunyai paling ramai pemainnya beraksi di  Piala Dunia 98. Dalam laman Web ini mengandungi maklumat kelab, jadual perlawanan, kedai web dan ulasan audio yang disiarkan terus menerus daripada venue perlawanan.

Ia juga memaparkan gambar menarik memgenai para pemain kelab dan perlawanan mingguan mereka di mana pemain yang paling banyak dipaparkan ialah Ronaldo. Menerusi laman Web ini juga anda boleh mendapatkan majalah kelab, Inter Football Club dengan melanggannya menerusi laman Web ini.