iBook menyusul kejayaan iMac

Dengan keluaran terbaru Apple, kini anda dapat bergerak bebas melakukan kerja pengkomputeran atau tugasan harian kerana komputer bimbit baru yang di panggil iBook memberikan anda pelbagai keselesaan. Komputer bimbit iBook Apple sebuah komputer buku yang memberikan akses mudah untuk ke Internet. Ia dikeluarkan dalam dua warna pilihan serta dibekalkan banyak perisian percuma bersama-sama dengannya. Ia bagaikan memberikan satupersonaliti baru dalam dunia pengkomputeran bimbit.
 
iBook memang dicipta bagi pengkomputeran bergerak dengan rekabentuk yang praktikal. Rupabentuknya yang tidak berbucu tetapi bulat serta licin di setiap sudutnya membuatkan ia begitu mudah dibawa kemana sahaja. Sifat ini juga membuatkan iBook kelihatan lebih menarik berbanding komputer buku yang lain. Ia sesuai untuk diletakkan di dalam beg galas anda. iBook ini mempunyai badan yang kuat diperbuat daripada polycarbonate yang tahan lasak. 

Keselesaan pada komputer bimbit ini bukan setakat itu sahaja, Apple memastikan ia mempunyai ciri tambahan iaitu dengan mengadakan satu tangkai pemegang bagitujuan memudahkan pergerakan. Sekiranya anda tidak mahukan tangkai itu, ia boleh dilipat dengan mudah supaya tidak kelihatan daripada pandangan anda. Maka tidak hairanlah jika iBook diberi satu sambutan dan perhatian yang di luar jangkaan daripada kalangan peminat Apple. 

Corak luaran iBook memang cukup menarik dan berjaya menambat hati peminatnya.Ia dilengkapi dengan skrin paparan resolusi tinggi maktrix-aktif yang luas iaitu sebesar 12.1 inci.

Dunia internet sudah menjadi mainan masa kini dan iBook tidak ketinggalan mengikuti peredaran perkembangan ini dari segi media komunikasi.  Ia dilengkapi dengan sebuah modem 56K yang pantas untuk menghubungkan anda dengan Internet. iBook adalah siap-Internet untuk membolehkan anda terus menggunakannya sekiranya anda sudah sedia ada mempunyai akaun sendiri daripada mana-mana ISP (Internet Service Provider).

Penggunaan kuasa pemproses 300MHz PowerPC G3 yang pantas memberi kelebihan kepada iBook. Ini membuatkan pelayaran Internet anda menjadi lebih licin dan segala tugasan harian anda dapat diselesaikan dengan lebih terjamin tanpa gangguan. Secara tidak langsung, ia memberi kesan komunikasi yang lebih baik dalam penghantaran serta penerimaan e-mel anda.
 
Di samping itu juga, penggemar permainan komputer juga merasa lebih selesa kerana tiada gangguan ketika bermain dan ia juga sesuai bagi permainan yangmemerlukan lebih daripada seorang pemain. 

Dari segi rangkaian sistem komputer pula, iBook menawarkan faedah-faedah penting yang tidak hanya berkaitan dengan komputer tetapi juga kepada kebebasan untuk bergerak tidak kira samada anda sedang bekerja, bermain permainan komputer, atau sedang melayari Internet. Anda benar-benar bebas dan anda tidak terikat dengan rangkaian berkabel seperti lazimnya. 

Kebebasan ini adalah penting kerana kerana macamana baik sekalipun rekabentuk rumah atau tempat anda bekerja, anda pasti menghadapi masalahmenyambung wayer anda yang berselirat ke soket telefon dan kadang kala tempat-tempat sambungan telefon ini berada ditempat yang sukar dan salah. 

Keadaan ini pasti merumitkan anda untuk bergerak dengan komputer anda secarabebas dari bilik ke bilik atau dari satu meja ke satu meja yang lain. Dengan kaedah baru yang digabung dengan penggunaan komunikasi rangkaian komputer iBook anda tidak lagi memerlukan kabel yang berselirat di atas lantai atau di meja-meja anda. Segala masalah ini selesai dengan adanya satu pilihan yang mampu anda miliki untuk mengatasinya. Ia dipanggil AirPort, dan kaedah ini membenarkan anda menggunakan iBook tanpa mengambil kira dimana anda berada seperti di atas sofa,di tempat letak kereta, ruang terbuka, atas tiang telefon, mana-mana sahaja tempat yang adalah rasa selesa atau bangunan tempat anda perlu bertugas asalkanjarak iBook anda dengan titik akses perkakasan yang mudah dipasang tidak melebih150 kaki.
 
Anda dapat membebaskan diri anda daripada segala macam gangguan yangdisebabkan oleh kabel rangkaian komputer dan telefon dengan menggunakan pilihankad rangkaian tanpa wayer AirPort. Ini dapat memberikan anda satu cara yang mudah, untuk membawa Internet ke setiap bilik atau meja di dalam bilik kerja anda dengan kepantasan sehingga 11 megabit sesaat. Anda cuma perlu memasang kad tersebut dan berhubung dengansebuah rangkaian tanpa wayer AirPort. Setelah itu anda dapat melayari Internet daripada mana-mana tempat dalam lingkungan 150 kaki daripada Stesen Airport itu.

AirPort juga membolehkan anda berkongsi dengan lebih banyak komputer dengan hanya satu sambungan Internet secara serentak tanpa melibatkan kos tambahan seperti membuka lebih banyak akaun ISP, pemasangan talian telefon tambahan serta rangkaian kabel komputer yang mungkin menyukarkan anda. Apple telah bekerjasama dengan Lucent Technologies., pengusaha utama dalam rangkaian tanpa wayer, untuk merekabentuk dan menghasilkan AirPort yangdisebutkan tadi. Kerjasama selama 18 bulan itu telah membuahkan penyelesaianulung yang pernah dihasilkan dalam rangkaian komputer tanpa wayer yang menitikberatkan kos dan memudah penggunaan. Ini menjadi keistimewaan serta kelebihan yang dapat dinikmati bersama iBook.

AirPort bukan sahaja merupakan satu cara membawa Internet ke setiap ruang pejabat atau rumah yang mudah tanpa penggunaan wayer tetapi juga mengurangkankos tambahan anda seperti penyediaan talian telefon tambahan, atau perkakasan rangkaian yang komplek.Malahan AirPort membuatkan semua orang merasa gembira kerana ini membolehkan seluruh keluarga anda berada dalam talian serentak melayari web daripada pelbagai tapak yang berbeza, mengakses e-mel menerusi satu akaun servis Internet sahaja.

AirPort menggunakan teknologi frekuensi untuk berkomunikasi. Ini banyak memberikan kelebihan berbanding dengan signal cahaya merah-unggu (infrared) yangmemerlukan kawasan yang tiada halangan atau sekatan yang tidak dapatditembusinya antara unit kawalan jauh dan stesen. Frekuensi radio pula boleh menembusi halangan seperti dinding dan jarak pancarannya juga lebih baik.

Dengan penggunaan AirPort, kelajuan data keluar masuk 11 megabit sesaat iaitu sehingga 10 kali lebih pantas berbanding dengan kebanyakan produk rangkaian di rumah. Kelajuan ini menyamai satu rangkaian Ethernet. AirPort dapat mengendali perkongsian fail yang diperlukan dan juga untuk permainankomputer pelbagai pemain.

Oleh sebab AirPort berasaskan piawai IEEE 802.11 DSSS, terdapat beberapa firma yang menghasilkan produk yang juga dapat digunakan serta mempertingkatkan rangkaian AirPort. Kad AirPort Card dianggarkan berharga AS$99. Stesen AirPort pula berharga AS$299 dan boleh dibeli daripada kedai Apple. Perisian AirPort Access Point datang bersekali dengan pembelian kad AirPort . AirPort telah berada di pasaran pada bulan September. Rangkaian LAN tanpa wayer merupakan satu pilihan baik yang memberikan andakebebasan bergerak ketika melayari Internet.

Dalam memperkatakan mengenai berapa lamakah kuasa bateri iBook dapat bertahan, ini juga mungkin mengembira kebanyakan peminatnya. Pada hakikatnya, ada diantara kita bekerja atau bermain lebih daripada enam jam secara berterusan tanpa sebarang rehat. iBook beroperasi dengan kuasa bateri lithium-ion yang dapat bertahan sehingga enam jam. Dengan kuasa bateri yang lebih panjang, anda masih boleh meneruskan aktiviti untuk mengekalkan produktiviti anda ketika menggunakan iBook.

Tiada kos caj semula kerana ketika anda sedang bekerja dengan iBook yang dipasang pada soket bekalan elektrik ia dicaj secara automatik. Ini menjamin penggunaan yang berterusan. Malahan iBook ini memberitahu anda sekiranya bateri itu sudah siap dicaj.
 
Anda boleh memperolehi iBook dalam dua warna yang telus yang menarik.Ia juga dilengkapi dengan pemacu CDROM terbina dalam, sebuah cakera keras sebesar 3.2 gigabyte, dan satu pacuan grafik berkeupayaan tinggi ATI RAGE Mobility.Anda boleh terus melayari Internet kerana ia memiliki segala perkakasan sertaperisian yang anda perlukan termasuk modem 56-kilobit-per-second yang terbina dalam dan sebuah penghubung 10/100BASE-T Ethernet.Sistem yang digunakan adalah sistem operasi Mac OS versi 8.6 dan semua perisian tambahan yang lain telah siap dipasang dalam cakera keras. PerisianInternet yang dibekal bersama iBook ini adalah Microsoft Internet Explorer, Netscape Communicator, America Online, dan EarthLink TotalAccess. Selain itu anda juga diberi banyak aplikasi lain yang mungkin berguna.

iBook mempunyai cache paras dua bertujuan untuk mempertingkatkan keupayaannya. Bagi pengendalian tugasan yang melibatkan kerja grafik dan animasi, iBook dilengkapi dengan pengawal grafik dengan ingatan video 4MB SDRAMbagi pacuan grafik 2D dan 3D graphics, dan pemain semula Quicktime yang telah dipertingkatkan. Anda juga dapat mengakses bantuan Internet Setup dengan lebih pantas dan mudah untuk membawa anda ke Internet dalam masa beberapa minit. iBook juga menyedia kemudahan kunci yang boleh diprogram bagi membolehkan anda membuka pelayar, e-mel, atau aplikasi kegemaran anda dengan satu klik sahaja. Modem yang dibekalkan berkeupayaan menyediakan laluan data dengan kelajuan data sehingga 56 Kbps dan faks 14.4 Kbps. Kelajuan untuk beban terima pula adalah berbeza-beza bergantung kepada keupayaan talian dan modem ISP.