Pilihan Pelayar Web

Anda sering dengar nama seperti Internet Explorer dan Netscape, Netscape dan Internet Explorer. Kemudian apabila orang bercakap tentang perang pelayar web hanya kedua-duanya sahaja yang disebut akan menguasai dunia. Gabungan kedua-dua pelayar tersebut menguasai lebih 90% daripada pasaran pelayar web. IE dan Netscape berjaya mendominasi kerana ia telah diuji dicuba serta disokong oleh syarikat besar. Microsooft menyokong IE manakala America Online dan Sun Microsystems memiliki Netscape.

Pelayar lain yang terdapat ialah Opera dan NeoPlanet. Kedua pelayar ini telah dilabel sebagai pelayar web alternatif yang baik. Namun begitu ia tidak digunakan secara meluas memandangkan hanya 10% pasaran sahaja bagi kedua-dua pelayar web ini. Pembangun web tidak menguji laman web mereka di NeoPlanet atau menggunakan Opera sebagai keserasian pelayar. Walaupun keduanya tidak mempunyai kesinambungan seperti Netscape dan IE tetapi ia masih mampu mengugat jika anda lihat pada ciri-ciri yang ada pada mereka. Mari kita lihat keempat-empat pelayar web ini dan keupayaan serta kelemahan mereka.

Opera 4.02

Opera sering diletakkan sebagai pelayar ketiga selepas IE dan Netscape. Pelayar ini dihasilkan oleh Opera Software dari Norway dan ia digemari oleh para pelayar yang mahukan pelayar web yang ringkas dan cepat melayari web. Opera tidak dibebani dengan pelbagai jenis ciri dan ia bergantung kepada asasnya yang mempunyai ciri yang sering digunakan dan mudah guna. Saiz Opera ialah 2MB bagi versi biasa dan 9MB untuk versi berkeupayaan Java.

Opera membolehkan anda mengawal sepenuhnya menu dan anda boleh letakkanya di mana-mana bahagian skrin yang anda mahu. Bebutang yang paling menarik terdapat pada Opera ialah paparan skrin penuh. Apabila ikon ini diklik pelayar akan memenuhi skrin dengan semaksima yang mungkin dan laman web akan dipaparkan dalam skrin yang kecil sahaja.

Ciri senarai laman-laman web Opera dikenali sebagai Hotlist dan ia akan diletakkan pada sebelah kiri pelayar web. Hotlist membenarkan anda memilih tiga jenis ciri iaitu Bookmarks, E-mail, dan Contacts. Ciri Bookmarks kelihatan seperti Windows Explorer dan dilengkapi dengan ikon-ikon berwarna kuning dan petanda ( + ) dan ( - ). Manakala ciri E-mail dan Contacts pula kelihatan seperti Microsoft Outlook dan Netscape Messenger. Anda boleh gunakan E-mail jika anda mahukan sebuah perisian yang lengkap dan mempunyai antaramuka yang mudah serta tidak memerlukan fungsi yang istimewa.

Fungsi Progress dalam Opera merupakan sebuah ikon yang terletak pada sebelah kiri yang membenarkan anda memindah terima laman web samada dengan imej atau tidak. Ikon lain pula membenarkan anda menukar ciri-ciri teks laman yang anda mahu atau kekal ciri laman tersebut. Ciri ini membolehkan anda memaparkan dan membaca dengan mudah.

Ikon Printview juga sebuah ciri yang membezakan Opera dengan pelayar web lain kerana ia akan menukar seluruh pelayar web sebagai skrin previu dokumen sebelum mencetak. Anda boleh menukar peratusan pemaparan dengan pilihan daripada 20% hingga 1,000%.

Kelemahan Opera ialah harganya. Walaupun anda boleh memperolehi perisian ujian percuma untuk 30-hari daripada Opera tetapi anda hendaklah mendaftar dengan harga USD39. Ia mungkin tidak mahal tetapi ada pelayar web lain yang percuma.

NeoPlanet 5.2.

Jika Opera adalah pelayar web yang ringan dan mudah digunakan manakala NeoPlanet pula adalah sebuah pelayar yang lengkap dengan pelbagai kemudahan. NeoPlanet digelar "Internet Desktop" dan ia mempunyai ciri integrasi e-mel, pesanan langsung (instant messaging), chat, carian dan pelanggan carian (search clients). Saiz NeoPlanet adalah 6.1MB sahaja dan ianya percuma.

Jika anda bosan dengan warna dan paparan pelayar web anda, NeoPlanet membolehkan anda menukar paparan dan ciri-ciri pelayar web menurut mood anda. Ciri ini dikenali sebagai "Internet Fashion" dan ia membolehkan anda menukar rupa pelayar web dengan menggunakan "skins". Ia tidak serupa dengan tema desktop. Skin baru akan memberikan ciri-ciri seperti warna, set ikon dan animasi tetikus yang berkainan. Kesemua ciri-ciri paparan laman boleh diubah melainkan ruang paparan laman web. Anda boleh mendapatkan lebih daripada 500 jenis skin secara percuma daripada laman web NeoPlanet.

NeoPlanet mempunyai sebuah ruanng Channel pada sebelah kanan pelayar dan ia boleh dipadam jika mahu. Channel memudahkan pengendalian pautan web yang dikendalikan menerusi topik, folder dan sambungan terbaik. Jika anda memilih sebuah saluran, NeoPlanet akan memaparkan sebuah senarai lama web yang boleh anda pilih.

Selain daripada melayari web, e-mel merupakan aplikasi internet yang sering digunakan dan ciri ini terdapat dalam NeoPlanet. Anda boleh mencapai akaun e-mel POP3 sama seperti Microsoft Outlook atau Netscape Mail. Anda boleh mengimport ciri-ciri e-mel daripada sebarang perisian e-mel lain.

NeoPlanet juga mempunyai sebuah ciri yang dipanggil Communities iaitu sebuah ciri yang menyerupai ICQ atau Instant Messenger. Ciri ini mempunyai kaitan dengan Lycos Communities di mana anda boleh menghantar dan menerima mesej. Anda juga melakukan chat satu dengan satu bersama rakan anda atau menggunakan bilik chat peribadi.

NeoPlanet mempunyai beberapa ciri yang boleh membantu anda melakukan penyelidikan menerusi internet. NeoPlanet mempunyai sebuah medan carian dalaman yang terletak di sebelah medan lokasi. Anda juga boleh memilih untuk melakukan carian dengan HotBot atau Lycos dan carian akan dilakukan serta hasilnya akan dipaparkan pada tetingkap tertentu. Ia juga memaparkan maklumat tambahan daripada rakan maklumat seperti Rolling Stone, Business Week, and Merrill Lynch.

NeoPlanet juga mempunyai Download Manager yang memudahkan anda melakukan perpindahan fail tanpa sebarang gangguan dan ia juga membolehkan anda menyambung semula perpindahan fail jika terputus. Anda juga boleh menjadualkan perpindahan fail dan menentukan fail tersebut dipindahkan kepada folder tertentu. Fungsi Dailer pula adalah menyerupai Dial-Up Networking tetapi dengan ciri tambahan yang dipanggil Modem Speed Booster bagi menambah kecepatan modem.

Satu ciri yang kurang memuaskan yang ada pada NeoPlanet ialah ia memerlukan Internet Explorer 4.0 atau terkini untuk membolehkan ia berfungsi. Adakah NeoPlanet pelayar web atau penghias rupabentuk?

Netscape 6.1

Netscape 6.1 (http://home.netscape.com) merupakan antara yang terbaru dilancarkan. Ia hanya menggunakan nama Netscape sahaja dan tidak lagi Navigator. Ia memaparkan enjin pemapar laman yang baru (Gecko), ciri-ciri baru dan rupa yang baru.

Dua sebab utama pengguna memilih Netscape ialah sudah biasa dengannya dan ia bukan dari Microsoft. Jika anda terdapat dalam dua kategori pengguna tersebut maka anda pasti akan menyukai Netscape 6.1. Ia mempunyai rupa yang moden dan bergaya walaupun anda masih boleh menggunakan paparan klasik. Ia juga mempunyai Themes yang menyerupai skin NeoPlanet dan ia boleh dipindah terima daripada laman web Netscape.

Netscape telah menambah sebuah tetingkap khas di sebelah kiri yang serupa dengan Opera Hotlist, NeoPlanet Channel dan IE Explorer. Netscape menamakannya My Sidebar dan ia mempunyai bahagian-bahagian seperti Search, Stocks, dan News. Ruang Search Netscape mempunyai kaitan dengan direktori Netscape Web dan juga enjin pencari Google. My Sidebar juga bergabung dengan AOL Instant Messenger di mana anda boleh memuatkan senarai rakan-rakan pada Buddy List.

Netscape telah meningkatkan ciri keselamatan dan peribadi dalam Netscape 6.1. Ia mempunyai Password Manager yang membenarkan anda memasukkan nama pengguna dan kata laluan untuk laman-laman web tertentu. Aapbila anda kembali ke laman itu ia pasti akan mengisi ruang itu secara automatik. Anda juga boleh membentuk sebuah kata laluan utama bagi mengelakkan pengguna lain menggunakan komputer anda.

Ia juga mempunyai Cookie Manager yang membenarkan anda memaparkan dan membuang cookies iaitu maklumat daripada laman web yang dihantar ke pelayar web untuk disimpan dalam komputer pengguna. Ia membenarkan anda mengawal cookies dan mengubahsuai cookie tersebut. Anda juga boleh menerima dan menolak cookies daripada laman-laman tertentu menurut kehendak anda. Akhir sekali Netscape 6.1 mempunyai Forms Manager yang membolehkan data daripada borang-borang disimpan untuk membolehkan ia mengisi data yang serupa ke dalam borang yang lain secara automatik.

Netscape 6.1 juga mempunyai ciri Autotranslation kerjasama dengan Alis Technologies. Anda hanya perlu memilih laman web yang anda mahu terjemah dan pilih menu View dan Translate. Kemudian Netscape akan memaparkan jenis terjemahan yang anda mahu iaitu Portugis, Itali, Jerman, Sepanyol, Perancis, Jepun dan China.

Netscape 6.1 mempunyai sokongan pembangun laman web yang baik. Netscape Gecko, enjin yang menjalankan pelayar adalah serasi dengan piawai enjin terkini. Dengan enjin ini para pembangun laman web tidak lagi perlu membinanya dari kosong. Oleh kerana enjin Gecko adalah sumber terbuka (open source), pembangun perisian boleh menggunakannya secara percuma dan ini akan menyaksikan kehadiran aplikasi berasaskan Gecko seperti aplikasi Internet atau pelayar web atau perisian peranti telapak.

Netscape 6.1 masih mempunyai integrasi e-mail(Mail), pengurusuan maklumat (Address Book) dan rekaan laman web (Composer). Ia juga mampu bersambung kepada PDA. Netscape juga mempunyai sokongan platfrom seeprti Windows, Macintosh, dan Red Hat Linux. Netscape mempunyai saiz kira-kira 9.5MB.

Microsoft Internet Explorer 5.5.

IE 5.5 adalah yang terbaru daripada Microsoft dan ketika artikel ini ditulis IE 6.1 masih dalam ujian. IE sering dipasang bersama dengan Windows dan ia merupakan ciri penting untuk Windows 98. IE merupakan pendahulu pasaran pelayar web dan sering menentukan piawai yang tinggi untuk pelayar web yang lain. Ia masih boleh didapati secara percuma daripada Microsoft.

IE merupakan sebuah pelayar web yang memampatkan pelbagai ciri ke dalam sebuah tetingkap yang kecil. Ia mempunyai carian web, senarai laman web, senarai sejarah pelayaran web dan sistem pesanan terus dalam sebuah tetingkap kecil.

IE 5.5 mempunyai penyunting laman web, previu cetakan dan sokongan piawai laman web seperti CSS. IE juga telah meningkatkan masa pindah terima dan membenarkan aliran media dengan lebih baik. IE mempunyai saiz yang paling besar antara keempat-empat pelayar web iaitu 18MB! .

Antara keempat-empat pelayar web anda boleh memilih mana-mana menurut citarasa anda sendiri. Anda boleh gunakan Netscape atau IE atau NeoPlanet jika anda mahukan yang lengkap. Jika anda mahu yang ringkas dan berkuasa anda boleh gunakan Opera.