Redline
 
Redline adalah sebuah permainan aksi terbaru daripada Accolade yang mampu membuatkan anda rasa ketagih dan khayal dengan dunia yang dihidangkan. Ia menyerupai Quake dari segi enjin dan grafiknya malah dengan penggunaan kad grafik 3D ia kelihatan lebih jelas dan nyata.

Namun begitu Redline adalah gabungan antara Quake, Carmageddon 2 dan Interstate 76. Jika anda sukakan ketiga-tiga permainan ini, anda pasti akan suka pada Redline dan kepermainan yang dibentangkan. Dalam Quake anda perlu berjalan dan meletupkan musuh anda dalam gaya yang brutal dan menurut pandangan orang pertama. Manakala Carmageddon 2 pula, anda dikehendaki memandu dan melakukan kemusnahan dengan bekalan senjata yang ada. Dalam Interstate 76 pula, ia mengabungkan strategi dan keberanian serta ketepatan menembak berdasarkan kepada misi yang ditugaskan. Dengan itu Redline telah berjaya membuktikan bahawa genre-genre permainan boleh digabungkan untuk menghidangkan sebuah permainan yang unik dan canggih.

Redline dipersembahkan dalam gaya dan integriti yang memberikan aksi orang pertama dapat dihidupkan dengan begitu sesuai. Contohnya misi “Airport” adalah sebuah misi yang kompleks yang melibatkan beberapa pergaduhan di dalam terowong barangan, meletupkan sebuah trak minyak dan pemanduan menerusi beberapa jalan berliku. Menarik bukan? Sekali imbas ia seperti permainan adventur seperti Tomb Raider.

Grafik dalam adalah agak baik kerana enjin grafiknya cekap mengeluarkan imej-imej beresolusi tinggi dengan efek pencepat 3D seperti yang kita sering harapan dalam sebuah permainan aksi. Animasi watak kelihatan seperti satu dimensi dan sering disertakan dengan latarbelakang yang gelap. Namun begitu anda boleh melihat rendering objek-objek yang baik, letupan yang menggegarkan skrin dan keadaan sekeliling yang mampu memberikan satu suasana yang suram sesuai untuk Redline. Walaupun Redline dilengkapi dengan humor dan pencahayaan yang canggih tetapi ia penuh dengan keganasan, perkataan lucah dan sifat garang. Pada saya Redline adalah sebuah permainan sesuai untuk orang dewasa kerana ia memaparkan pelbagai bahagian badan yang terputus dan darah.
 

Redline adalah sebuah permainan yang hampir sempurna walaupun ia dihasilkan oleh sebuah syarikat baru. Permainan dalam Redline boleh disimpan dengan menggunakan kombinasi kekunci walaupun anda sedang beraksi pada sebarang tahap dan anda boleh menambah beberapa komen pendek. Grafik, audio dan pilihan kawalan boleh diubahsuai ketika permainan sedang berlangsung. Setiap kenderaan mempunyai dua pintu dan semua bahagian kereta yang mampu bergerak terdedah kepada sebarang kerosakan yang boleh dilakukan oleh musuh.

Redline cuba menuruti beberapa permainan aksi dari segi strategik dan kepermainan. Malah beberapa kuasa tambahan (powerups) diletakkan pada ruangan yang tidak sepatutnya. Segmen pemanduan kenderaan pula memaparkan rupabentuk arked dan anda boleh memandu sesuka hati anda. Walaupun ia bukan sebuah permainan yang mampu membawa sebuah dimensi atau genre baru kepada industri permainan seperti permainan Quake dahulu tetapi ia sebuah permainan baru yang hanya membawa sebuah idea baru.

Pro : Grafik yang lancar dan penuh dengan efek. Misi yang menghiburkan. Banyak penambahan aksi. Kepermainan mampu membuatkan anda ketagih. Sebuah permainan aksi yang 99% lengkap.
Kontra : Musuh tidak berapa bijak. Memerlukan perkakasan yang tinggi. Tidak sesuai untuk kanak-kanak.
Spesifikasi sistem minima : Pentium 200, memori 32MB RAM, 150MB ruang cakera keras, kad pencepat 3D dan sistem multimedia.