Tahun 1998 dan 1999 merupakan tahun
yang paling “glamour” untuk permainan strategi kerana terdapat banyak permainan
strategi yang bagus dikeluarkan di pasaran. Antaranya Alpha Centauri dan
RollerCoaster Tycoon. Namun begitu terdapat sebuah permainan yang menawarkan
sebuah kepermainan yang asli, menyeronokkan dan memuaskan para peminat
permainan strategi iaitu Commandos: Behind Enemy Lines.
Permainan ini membentangkan sebuah
permainan yang mudah dan cabaran yang menarik dalam misi-misi yang disediakan.
Ia bukanlah sambungan atau peniruan daripada mana-mana permainan strategi
lain. namun begitu permainan ini merupakan sebuah permainan yang dibentuk
daripada lapan misi baru, beberapa watak baru, sejumlah senjata baru dan
grafik yang dipertingkatkan.
|
Di mana-mana sahaja terdapat askar Jerman, pasukan S.S. dan agen Gestapo, anda perlu memastikan anda melepasi mereka atau juga memusnahkan mereka. Jika musuh anda nampak kelibat anda pasti mereka akan menyerang anda dan misi anda akan tamat bila komando anda kecundang. Ruangan pandangan musuh anda boleh anda cam dengan kehadiran pancaran cahaya sekeliling mereka seperti sebuah radar. Jika anda berada di luar jangkauan pandangan mereka, anda akan selamat.
Serang hendap yang dirancang juga harus selaras dengan misi semasa hendak menyerang dan membunuh musuh. Jika anda berjaya membunuh musuh, ini bermakna anda akan mempunyai ruangan untuk bergerak dan seterusnya melangkah ke tangga kejayaan. Jika anda menembak musuh itu maka bunyi tembakan akan menyedarkan musuh lain. Maka anda hendaklah menggunakan pisau atau senapang sniper atau anak panah. Anda juga hendaklah pastikan bahawa mayat itu tidak dapat dikesan oleh askar musuh yang lain dengan mengheretnya ke dalam semak. Jika tidak misi anda akan tamat begitu sahaja.
Permainan ini membentangkan sebuah
permainan yang agak sukar kerana ia mampu membuatkan pemain berasa bosan
dan berhenti bermain. Walaupun merupakan cabaran yang harus anda tempuhi
tetapi anda pasti akan puas apabila berjaya melengkapi misi anda. Anda
boleh menyimpan permainan anda pada bila-bila masa dan ia merupakan satu
langkah penting kerana ia akan menentukan kejayaan atau kegagalan anda.
Jika anda bukan seorang yang penyabar dan suka melepaskan tembakan membabi
buta maka permainan ini bukanlah untuk anda.
Commandos menawarkan dua tahap permainan iaitu Easy (mudah) dan Hard (payah). Dalam tahap Easy, jumlah askar adalah rendah dan kurang agresif tetapi ia masih sukar dan menjengilkan anda. Dalam tahap ini juga kurang ruang untuk menyorok dan masa untuk merancang pergerakan yang seterusnya. Walaupun jumlah askarnya sedikit tetapi mereka semua lebih suka menyorok dan melakukan serang hendap.
Berbanding dengan versi terdahulu, skuad anda merupakan skuad yang lebih bersedia. Terdapat anggota baru yang bernama Lips (orang Belanda) iaitu seorang wanita yang mampu membunuh musuh dengan daya tarikan dan ketangkasan yang ada padanya. Pada anggota lain senjata dan barangan baru yang disediakan ialah penumbuk, blackjack, klorofom, gari, rokok, batu dan senapang sniper.
Resolusi grafik Commandos telah dipertingkatkan sebanyak dua kali ganda. Hasilnya ialah grafik yang baik walaupun tanpa menggunakan kad grafik 3D. Dengan sentuhan animasi seperti ombak di tepi pantai dan burung berterbangan, ia membuatkan pandangan permainan ini bertambah hidup. Apabila terdapat penyesuaian dengan muzik latar belakang yang rancak maka bertambah menariklah aksi permainan ini.
Nampaknya permainan Commandos ini masih terdapat beberapa kekurangan dari segi kepermainan dan kebijaksanaan. Permainan ini adalah menyerupai sebuah perisian tambahan atau “expansion pack” dengan misi-misi tambahan. Jika anda pernah bermain permainan Commandos yang pertama mungkin anda akan berasa kecewa dengan permainan ini.
Yang menarik : grafik, kesan
bunyi, misi yang mencabar dan aksi perang yang mendebarkan.
Yang kurang menarik : kepermainan
dan kebijaksanaan yang tidak banyak berbeza dengan yang asal.
Kehendak sistem minima :
Pentium 200, 32MB RAM, 150MB ruang cakera keras, 8x pemacu CD-ROM dan sistem
multimedia yang memuaskan.